Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Tuesday, December 21, 2010

Rasanya Baru Semalam 21/12/2009






(Qhairul Danial Iskandar genap 6 tahun hari ini, 21/12/2010)


Tuesday, December 7, 2010

Salam Maal Hijrah 1432H



Friday, December 3, 2010

SMK Iskandar Shah Parit Perlukan Bangunan BARU



Mungkin bekas pelajar SMKIS boleh melakukan sesuatu untuk membantu pihak sekolah dan PIBG mendapatkan bangunan baru untuk kegunaan dan keselesaan warga sekolah.

Berita Berkaitan:

PARIT – Seramai 800 pelajar terpaksa bergilir-gilir belajar di kantin atau makmal komputer sekolah apabila rayuan permohonan pembinaan bangunan tambahan Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah (SMKIS) di sini, masih tidak diluluskan sejak tahun 2003.


Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan guru (PIBG), Mohd Idris Ismail berkata, pelajar sentiasa bertambah setiap tahun tetapi sekolah ini tidak dapat menampung jumlah itu disebabkan kekurangan kelas.

Menurutnya, pelajar yang mengambil subjek pendidikan moral akan belajar di kantin atau di makmal kosong pada waktu pengajaran dan pembelajaran.

“Keadaan berlarutan hampir sepuluh tahun lalu, dan kami bermesyuarat dengan ahli jawatankuasa PIBG untuk meminta Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan peruntukan untuk sekolah ini.

“Bukan itu sahaja, bilik guru juga terlalu sempit dan sesak kerana berkongsi dengan bahagian pentadbiran serta bilik pengetua,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohd Idris berkata, program celik IT (teknologi maklumat) yang diperkenalkan kepada pelajar di luar bandar tidak dapat direalisasikan di sini apabila tiada kelas untuk menempatkannya.

“Makmal komputer yang dicadangkan pihak kementerian pelajaran kepada pelajar terutama di pinggir bandar ini tidak dapat dilaksanakan walaupun peruntukkan untuk pembelian komputer di sekolah ini ada.

“SMKIS merupakan sekolah Premier yang dibina 1949 dan masih ketinggalan dari segi prasarana iaitu kemudahan dewan sekolah, makmal komputer dan padang permainan,” katanya.

Katanya, cadangan bangunan tiga tingkat yang bernilai lebih RM1juta itu, akan menempatkan dewan serbaguna, surau, kelas, makmal komputer dan juga pejabat sekolah.

“Pada 2008, pihak sekolah dimaklumkan mendapat peruntukan membina bangunan tambahan menggunakan kaedah Sistem pembinaan perindustrian atau Industrialised Building Systems (IBS).

:“Pelan bangunan tambahan daripada Kementerian Pelajaran juga diluluskan Pihak Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) namun sehingga kini, kerja membina bangunan itu masih belum menjadi kenyataan,” katanya.

Mohd Idris berkata, PIBG mengharapkan masalah itu mendapat perhatian pelbagai pihak dalam membantu memberi suasana kondusif kepada pelajar di sekolah ini. - SH



Saturday, November 20, 2010

Pengguna Hentam Kromo, Penjual Mahu Kaya Cepat!


Ada macam-macam cara orang hari ini gunakan untuk menjaga dan meningkatkan kesihatan diri. Ada yang pakai gelang, ada yang minum air yang ditapis dan beralkali, ada yang minum pelbagai jenis kopi, ada yang makan makanan tambahan/produk kesihatan lain, malah tidak kurang juga yang memakai "detox foot patch". Perkembangan ini menunjukkan masyarakat semakin prihatin terhadap kesihatan sendiri.

Namun, ada yang negatifnya. Pertama, masyarakat hari ini hanya hentam kromo menggunakan produk kesihatan tanpa menyelidik atau menyiasat keberkesanannya. Mereka hanya bergantung pada cakap-cakap kawan atau testimoni produk yang disediakan penjual/pengedar produk kesihatan. Walhal testimoni tersebut boleh direka mengikut kehendak penjual. Lebih malang, produk yang dianggap dapat meningkatkan kesihatan tetapi akhirnya mendatangkan pelbagai masalah kesihatan kepada pengguna.

Kedua, pengedar/penjual mengambil kesempatan menipu pengguna dari segi harga dan keberkesanan produk. Dari segi harga, ada pengedar yang menjual produk kesihatan yang dibelinya secara borong/pukal dengan harga yang berlipat kali ganda. Misalnya, detox foot patch yang agak popular hari ini dijual sehingga RM7 sepasang. Walhal, ada pengedar yang menjualnya dengan harga RM1 sepasang (mahal atau murah, namun tiada bukti klinikal untuk menyokong produk ini). Suatu ketika dahulu, ada sebuah syarikat MLM menjual minyak anggur perahan sejuk dengan harga RM60 bagi 300 ml, walhal hari ini anda boleh membeli produk import dengan harga yang sama untuk 1 l. Begitu juga dengan minyak kelapa dara yang boleh anda peroleh dengan kuantiti yang banyak pada harga jualan sesetengah pengedar tempatan di pasar raya.

Dari segi keberkesanan produk, banyak penjual dan pengedar produk kesihatan menipu pengguna. Baru-baru terbongkar kisah gelang magnetik bukan sahaja didakwa tidak mempunyai bukti dan kajian saintifik untuk membuktikan keberkesanannya, malah produk yang dipercayai berasal dari China itu dikatakan dijual dengan harga yang berlipat kali ganda. Bayangkan produk yang dibeli secara borong dengan harga RM12-RM38 dijual sehingga RM1000. Bukankah perbuatan usahawan celup ini merupakan suatu jenayah kepada masyarakat? Mereka rakus menipu anak bangsa sendiri!

Sebenarnya trend berniaga seperti ini tidak akan ke mana-mana. Berapa banyak syarikat MLM tempatan yang menjual produk dengan harga mahal dan berlipat ganda menjadi muflis? Tidak susah untuk mencari jawapan, ingat seberapa banyak produk MLM yang pernah anda dengar sebelum ini, cuba carinya hari ini.


Tuesday, November 16, 2010

Singgah di Pelabuhan Dickson









(Pelabuhan Dickson, 14 November 2010)

Sunday, October 24, 2010

Subjek Sejarah Wajib Lulus SPM Mulai 2013 dan Subjek Teras di Sekolah Rendah Mulai 2014



Subjek Sejarah bakal dijjadikan subjek wajib lulus di peringkat SPM mulai 2013 dan menjadi subjek teras di sekolah rendah mulai 2014. Langkah ini diambil bertitik tolak daripada pandangan pemimpin politik bahawa ada sesetengah kaum/parti politik di negara ini kurang kesedaran/pemahaman tentang sejarah pembinaan negara, kontrak sosial, asal usul dan kedudukan institusi kesultanan, Perlembagaan, dan sebagainya.


Bagi saya, langkah itu wajar disokong walaupun pelaksanaannya didasarkan oleh desakan politik. Walhal tanpa desakan politik, rakyat pelbagai kaum di negara ini wajib memahami proses pembinaan Malaysia, dan perkara-perkara yang dinyatakan di atas. Pemahaman yang mendalam terhadap aspek penting sejarah negara diharapkan dapat melahirkan generasi bangsa Malaysia yang benar-benar menerapkan nilai Malaysia (bahasa kebangsaan, sekolah kebangsaan dll) dalam diri dan kehidupan sehari-hari.

Namun, dalam masa yang sama, penambahbaikkan teks Sejarah perlu telus dan bertanggungjawab agar tidak dijadikan medium untuk menafikan hak kaum lain sebagai warganegara sah. Penggubalan buku teks perlu dilakukan dengan jujur dan bersumberkan fakta yang jelas agar peristiwa atau fakta sejarah tidak diputarbelitkan atau dimanipulasi untuk kepentingan sesetengah pihak. Hal ini demikian kerana subjek Sejarah tidak sama dengan subjek Sains yang ditulis berdasarkan uji kaji atau teori yang boleh dibuktikan kebenarannya. Buku Sejarah pula ditulis berdasarkan sumber sejarah yang sudah tentu boleh diubah suai oleh penulis/pihak tertentu untuk kepentingan sesetengah pihak. Selain itu, pelaksanaan dan pengajaran subjek ini di sekolah juga perlu dilakukan dengan telus dan bertanggungjawab.

Jika subjek Sejarah diperkasakan di sekolah atas alasan yang dinyatakan di atas, kita sewajarnya bertanya: mengapa subjek Agama Islam dan Pendidikan Moral tidak dijadikan subjek penting sama ada di sekolah menengah atau di sekolah rendah? Dengan pelbagai macam gejala sosial yang melanda remaja sehingga memaksa kerajaan Melaka mewujudkan Sekolah Harapan dan sebagainya, maka perlukah alasan lain untuk memperkasakan kedua-dua subjek berkenaan di kedua-dua peringkat pengajian.

Dalam sibuk-sibuk kerajaan mahu memastikan warganegara memahami sejarah negara, jangan lupa jati diri dan sahsiah pelajar perlu diperkasakan agar penularan pelbagai elemen negatif yang berunsurkan Barat dan budaya hedonisme dapat disekat.

Berita berkaitan:

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu adalah sama seperti langkah menjadikan mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat untuk mendapatkan sijil SPM.

‘‘Selaras dengan pandangan yang telah dikemukakan oleh sebahagian besar jurucakap dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini, saya ingin mengumumkan bahawa Kementerian Pelajaran memutuskan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus.

‘‘Pada masa ini di peringkat sekolah menengah, ia adalah mata pelajaran yang wajib diambil oleh setiap pelajar tetapi tidak wajib lulus,’’ katanya ketika menggulung perbahasan pada perhimpunan berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Menurut Muhyiddin, 2013 dipilih bagi melaksanakan langkah itu berikutan kementerian memerlukan masa untuk melatih guru dan menyediakan pelajar bagi menghadapi sistem baru berkenaan supaya mereka tidak terkejut.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), maka mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek teras di sekolah rendah mulai 2014.

‘‘Seperti yang telah dibangkitkan oleh wakil Perak dan Kedah, di peringkat sekolah rendah pada masa ini elemen sejarah hanya diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan langkah menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan kaedah pentaksiran berasaskan sekolah akan dimulakan pada 2014 iaitu dua tahun lebih awal daripada tarikh asal ditetapkan.
‘Kita akan mulakan lebih awal kerana ada tuntutan daripada perwakilan UMNO supaya ia disegerakan tetapi kita perlu ada tempoh masa untuk menyiapkan usaha bagi melatih semula guru dan sebagainya,” katanya.

Mengenai langkah meningkatkan jumlah pelajar yang mengikuti pendidikan teknik dan vokasional, beliau berkata, peruntukan pembangunan sebanyak RM340 juta untuk tujuan itu di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) adalah tidak mencukupi dan akan ditambah pada masa depan.

Selain itu juga, katanya, kerajaan akan menambah dua sekolah menengah pendidikan vokasional khusus untuk pelajar kurang upaya pendengaran, penglihatan dan yang menghadapi masalah pembelajaran.

Tambah beliau, kerajaan juga akan meneliti saranan Pergerakan Wanita UMNO ketika perhimpunan itu supaya kerajaan mengkaji semula keseluruhan sistem pendidikan negara.
‘‘Saya bersetuju bahawa sudah sampai masanya satu laporan baru dikeluarkan tentang cara kita menambah baik sistem pendidikan negara pada masa akan datang,’’ katanya.




Friday, October 22, 2010

Kumpulan Metal Ajak Penonton Konsert SOLAT Berjemaah



Latar/suasana muzik "underground" Indonesia kini tidak lagi hanya berunsurkan "kegelapan", namun sudah ada "cahaya" yang meneranginya. Cahaya yang dimaksudkan itu ialah sekelompok pemuzik metal yang melabelkan diri mereka sebagai Metal Muslim.


Mengapa mereka menggelarkan diri sebagai Metal Muslim? Hal ini demikian kerana lagu berat yang didendangkan oleh mereka di gig atau di konsert tidak menyeru manusia berbuat kejahatan, jauh sekali bersekongkol dengan iblis atau syaitan. Lirik lagu kumpulan ini membawa mesej ketuhanan, anti-Zionis, membebaskan Palestine, dakwah, dan sebagainya.

Antara kumpulan rock/metal yang tergolong dalam kelompok Metal Muslim ini termasuklah Tengkorak, Purgatory, Punk Muslim, Inner Beauty, The Roots of Madinah, AfterMath, Keep it True, Stranded, Qishash, Salameh Hamzah, dan Barat Hijau Indonesia. Kesemua kumpulan ini mengetengahkan lirik yang berunsurkan ketuhanan dan mengajak muda-mudi mendekati agama dan menjauhi perkara yang dilarang oleh agama.



Terkini, kelompok pemain muzik berat ini menjayakan suatu siri konsert jelajah yang diberi nama Urban Garage Festival. Siri konsert ini bertujuan untuk mengutip dana bagi membantu rakyat Palestine. Yang menariknya, selain mendendangkan lagu yang mencerca Israel, Zionis, menyokong umat Islam di Palestine, kumpulan muzik ini berjaya mengajak penonton mendekati Tuhan secara langsung semasa menjayakan konsert tersebut. Penonton diajak menunaikan solat secara berjemaah setiap kali masuk waktu solat. Perkara yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana konsert di negara ini (Betulkan saya jika saya salah!).


Sebuah blog ada memerihalkan secara ringkas tentang festival itu:
Satu hari penuh yang luar biasa ditanggal 16 Oktober 2010 ini ternyata bisa dilewati dengan udara cerah tanpa hujan sedikitpun. Urban Garage Festival bukan hanya menggambarkan sebuah tur musik keras saja, tapi didalamnya setiap penonton seperti diarahkan untuk bisa dewasa dan cerdas dalam menyikapi perbedaan warna music yang ada, dan jika kita melihat beragamnya warna music yang hadir bukan hanya metal, tapi juga punk rock, hardcore hingga ke hiphop bahkan seni teaterikal ala Insan Jalanan membaur menjadi satu.

Dan yang hebatnya lagi teraturnya para penonton dalam bekerja sama dengan panitia, terutama ketika waktu sholat secara berjamaah. Terlihat betapa ramainya masjid terdekat yang penuh dengan para pecinta music cadas yang tetap melakukan sholat tepat waktu.

Sukses selalu untuk Urban Garage Festival, dan menurut kabar yang kami terima bahwa untuk seri ketiga acara ini akan diadakan di kota Salatiga Jawa Tengah dalam waktu dekat...lagi di sini.

Sebuah lagi blog mengulas hal yang sama, menurut penulisnya:

Ketika Islam berfungsi sebagai kendali, banyak anak metal di komunitas underground menjemput hidayah. Mereka tidak menolak modernisasi, tapi menjegal westernisasi. Ada komitmen yang dibangun: No Drugs, No Alcohol, No Violence dan No Free sex. Just Metal.

Menjelang malam, anak-anak metal itu sudah berkumpul di pelataran Gedung Rossi Musik di Jalan Fatmawati No. 30, Jakarta Selatan untuk menyaksikan pagelaran musik sekaligus penggalangan dana untuk Palestina. Konser musik yang bertajuk ”Urban Garage Festival” itu diorganize oleh Berandalan Puritan dan Mogers Infantry.

Saat menanti band kesayangan mereka, azan Maghrib berkumandang. Siapa nyana, sebagian dari mereka berbondong-bondong menuju masjid, lalu segera membasuh wajah-wajah kumel itu dengan air wudhu. Sabili turut menyaksikan, anak-anak metal tengah merapikan shaftnya untuk shalat berjamaah. ”Sebagian dari mereka, anak-anak Mogers, sebuah komunitas fans band metal legendaris Purgatory,” kata salah seorang komunitas underground.

Performance mereka memang eksentrik dan tampak cuek. Sekilas, seperti individu yang tak mau tahu dengan urusan agama. Tapi, lihatlah paradigma baru anak Metal hari ini. Mereka mulai bangga menunjukkan jatidirinya sebagai Muslim sejati. Jangan ngaku anak metal, kalau nggak shalat. Jangan sok metal kalau masih suka mabok (ngedrugs) dan free sex. ”Menyedihkan banget, jika anak metal malu menunjukkan identitasnya sebagai muslim. Karena gengsi, mau shalat saja, bilangnya mau ke depan untuk beli rokok,” tukas Bonty, salah seorang personil Purgatory.

Tak dipungkiri band metal lahir dari peradaban Barat yang bobrok. Peradaban itu memengaruhi jiwa anak-anak muda yang gelap. Mereka larut menjadi individu yang bingung menatap masa depan, tertipu oleh propaganda sesat kaum laknat, hingga menjadi pemuja setan, syahwat, anti kemapanan, bahkan mengabaikan Tuhan. Ketika hidayah Islam datang, pondasi itu terguncang. Anak-anak Metal yang terlahir sebagai Muslim, mulai menyadari, bahwa mereka secara kultur dan karakter sudah dijadikan ’hamba-hamba sahaya’ yang terjajah. Eksistensi tumbuh, ketika Islam menjadi ideologi, kesadaran baru dan amaliyah mereka....selanjutnya di sini.

Alhamdullilah! Saya kagum! Saya bangga! Saya teruja! Mudah-mudahan perkembangan yang berlaku di Indonesia itu "berjangkit" di sini.

Video Muzik:

Punk Muslim

Root of Madinah:

Tengkorak

Purgatory

Sunday, October 17, 2010

"Bank Kerajaan"



Seorang kawan merungut bahawa Bank Rakyat tidak lagi memberikan kemudahan pinjaman peribadi kepada pekerja swasta. Memang benarlah kata-katanya itu, kerana beberapa orang rakan yang bekerja di sektor swasta juga gagal meminjam wang dari bank tersebut.


Setahu saya, bank ini pernah memberikan kemudahan pinjaman peribadi kepada pekerja swasta yang bekerja di syarikat terpilih. Beberapa tahun kemudian, saya diberitahu bahawa bank itu mengenakan syarat pemotongan gaji kepada pekerja swasta yang mahu membuat pinjaman. Maksudnya, majikan perlu membenarkan gaji pekerjanya dipotong secara tetap bagi membolehkan mereka menerima pinjaman dari bank tersebut.

Hari ini saya mendapat tahu bahawa bank itu tidak lagi memberikan kemudahan pinjaman peribadi kepada pekerja swasta. Hanya kakitangan kerajaan yang diberikan kemudahan membuat pinjaman di bank tersebut.
Yang menariknya, kawan saya menimbulkan persoalan: "Kalau bank ini tidak lagi memberikan kemudahan kredit kepada pekerja swasta/masyarakat umum, lebih baik tukar sahaja namanya menjadi Bank Kerajaan!"

Logik juga!

* Betulkan saya, jika apa-apa yang ditulis ini salah! Sebuah lagi bank milik kerajaan menetapkan syarat gaji pokok sebanyak RM6 ribu kepada pekerja swasta yang mahu membuat permohonan pinjaman peribadi di bank tersebut. Gila!

Friday, October 15, 2010

Wow, 11.90 Sekilogram!



Dua puluh tahun lalu, harga getah hanya sekitar RM0.80 sekilogram. Paling tinggi pun harga getah hanya mencecah RM1.50 sekilogram. Hari ini akhbar melaporkan harga getah SMR 20 mencecah RM11.90. Dengan harga setinggi itu, pekebun kecil RISDA mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM3 000 sebulan. Lumayan!


Pendapatan sebanyak itu jauh lebih tinggi daripada upah yang diterima oleh sesetengah pemegang ijazah dalam sektor swasta. Jangan pelik dan terkejut kerana ada pemegang ijazah yang bekerja lebih lima tahun tetapi gaji yang diterima oleh mereka belum lagi mencecah RM2 ribu sebulan. Oleh sebab saya terlibat dalam sektor penerbitan, maka saya berikan contoh yang berkaitan dengan nasib pemegang ijazah yang terlibat dalam bidang ini. Sebuah syarikat penerbitan buku silibus terkenal menetapkan RM1 400 sebagai gaji permulaan kepada pemegang ijazah. Dengan kenaikan gaji sekitar RM100 -RM120 setahun, cuba anda bayangkan gaji mereka setelah lima tahun bekerja? Walhal pendapatan syarikat tersebut mencecah puluhan juta setahun.

Saya kira harga bagi getah biasa juga agak tinggi sekarang. Berbaloilah dengan penat lelah penoreh getah ditambah pula mereka terpaksa menghadapi "serangan" nyamuk dan pacat setiap kali berada di kebun getah. Tidak seperti dahulu, harga getah agak rendah kerana saingan getah sintetik dan faktor-faktor lain. Bagi yang menoreh getah sendiri, sudah tentu kenaikan harga getah ini amat menggembirakan mereka. Begitu juga penoreh yang mengambil upah menoreh getah di kebun orang lain, sekurangnya-kurangnya banyaklah duit yang dapat diperoleh. Jika pemilik kebun itu bermurah hati, penoreh akan menerima pembahagian hasil 6:4, kalau tidak pun 5:5, namun banyak juga pemilik hanya bersetuju dengan pembahagian 4:6 (pemilik dapat 6).

Saya pernah menjadi penoreh getah sambilan sewaktu kecil dahulu. Pada waktu itu, kanak-kanak berusia 9 - 11 tahun sudah pandai menoreh getah. Saya mula menoreh getah pada usia 10 tahun. Kali terakhir saya berbuat demikian adalah pada usia 19 tahun yang lazimnya saya lakukan pada musim cuti semesta universiti. Sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, aktiviti utama kebanyakan penduduk di kampung saya ialah bersawah padi dan menoreh getah. Jadi bukanlah sesuatu yang janggal apabila kanak-kanak pada waktu itu sudah melakukan kerja yang agak berat demi membantu keluarga.

Ayah saya menguruskan kebun getah pusaka. Ada kira-kira 120 pokok getah di kebun kami. Kebun kecil. Seminggu sekali, getah akan dikutip sebelum dijual di kedai berdekatan. Untuk seminggu, seingat saya, kami memperoleh satu guni setengah getah buku. Sebanyak itu, kami memperoleh antara RM50 hingga RM60. Nilai itu memanglah jauh berbeza daripada nilai yang yang diperoleh penoreh getah hari ini, namun hasil getah itu sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan harian yang lain.

Harga komoditi bukanlah sentiasa mahal, dan sudah tentu bukanlah sentiasa murah. Harganya tidak menentu. Kadang-kadang mahal, kadang-kadang murah. Semuanya bergantung pada keperluan dan harga pasaran dunia. Jadi peribahasa ada mengingatkan kita, "ingat sebelum kena, jimat sebelum habis". Sementara memperoleh hasil yang cukup lumayan, janganlah pula lupa diri, janganlah pula jalan mendongak kepala, lihat ke bawah takut-takut kaki tersadong akar pokok!


Saturday, October 9, 2010

100 Hari Tanpa Mak


(Hamidah Mohd Nordin
6 Mac 1956-29 Jun 2010)

Saya masih teringat akan pandangan mak sewaktu berada di rumah saya sebulan sebelum beliau meninggal dunia. Arwah kerap memandang saya. Pandangannya sayu. Pandangannya seolah-olah ingin memberitahu bahawa itulah pandangan terakhirnya kepada kami sekeluarga. Waktu itu saya berfikiran positif, saya yakin mak akan sembuh. Saya tidak mengesyaki apa-apa. Arwah datang tidur di rumah saya kerana perlu menghadiri pemeriksaan di Hospital Selayang.

Selain itu, mak agak berselera makan roti nan dan ayam tandoori. Mak memang kurang berselera makan sejak beberapa tahun lalu. Namun seleranya menjamah roti nan dan makanan yang lain seolah-olah menunjukkannya beliau sudah pulih seperti biasa. Saya bersyukur kerana penangguhan janji temu di hospital membolehkan mak tinggal beberapa hari di rumah saya. Itulah kali terakhir arwah melihat wajah saya dalam keadaan sihat dan sedar.

Saya rindu "pandangan" itu. Saya rindu mak!

Al Fatihah

Tuesday, September 21, 2010

Langkah Pertama Tanpa Bantuan


2o September, Rayyan mula berjalan tanpa bantuan. Selepas bertatih selama berbulan-bulan. Berbeza daripada Angahnya yang berjalan pada usia sembilan bulan, Ryan mengikut jejak Alongnya yang berjalan pada usia setahun dua bulan.

"Abang, tengok Ryan!" jerit isteri saya. Waktu itu Ryan sudah berjalan laju menuju ke arah ibunya lalu memeluk ibunya. Jarak Ryan dengan ibunya sekitar 10 meter.

Secara spontan, kami sekeluarga menepuk tangan. Sejak percubaan pertama itu, Ryan kini berjalan tanpa bantuan sesiapa. Dia bingkas bangun setiap kali namanya dipanggil. Yang lucunya, dia turut menggoyangkan badannya apabila melihat klip muzik di TV. Kata Along, "Abah, Ryan dah pandai menari."

Sebelum ini, Ryan akan meminta kami memimpin tangannya. Tidak kiralah di mana-mana pun.

Moga-moga langkah pertama itu menjadi prakarsa untuknya berdikari dan berjaya pada masa depan.

Saturday, September 11, 2010

Syawal ke-33


1 Syawal 1431 (10/9/10) genaplah mak saya, Hamidah Mohd Nordin (al-Fatihah), 72 hari kembali ke Rahmatullah. Setelah 32 kali menyambut Syawal dengan mak, kali ini buat pertama kalinya saya sekeluarga menyambut Aildilfitri tanpa mak. Sudah tentu, Syawal kali ini tidak semeriah sambutannya sejak 32 tahun lalu. Tiada lagi jerit pekik mak menyuruh anak-anaknya membantunya memasak rendang dan kuih-muih yang lain. Tiada lagi aksi kelam kabut mak memasang langsir dan menyediakan keperluan untuk sambutan Syawal. Tiada lagi suara mak mengejutkan kami pada pagi Syawal. Tiada lagi...terlalu banyak untuk dinyatakan.

Saya bangun awal pagi semalam. Termenung sebentar sebelum mandi dan menunaikan solat subuh. Lazimnya, arwah mak sudah bangun pada waktu itu. Sibuk dengan urusan di dapur. Kali ini, situasi itu hanya tinggal kenangan. Selesai solat sunat Aidilfitri, kami sekeluarga menziarahi kubur mak. Sayu dan syahdu. Anak-anak yang masih kecil cuba memahami sebab opah mereka "menetap" di situ. Biarpun masih terlalu kecil untuk memahaminya, namun Along agak mengerti penjelasan saya. Selesai membaca surah Yassin dan mendoakan kesejahteraan arwah, kami dengan berat hati meninggal tanah perkuburan.

Tahun ini juga adalah tahun pertama saya menyambut Aildifitri tanpa opah yang kembali ke Rahmatullah pada penghujung tahun 2009. Tanpa kedua-dua insan penting dalam hidup saya sekeluarga, sudah tentu pemergian mereka menghambarkan Aidilfitri kali ini. Namun, rutin tahunan seperti menziarahi rumah ibu dan bapa saudara tetap di

Ironinya, ada beberapa berita yang memerihalkan perlakuan kejam segelintir anak terhadap ibu dan bapa masing-masing. Ada yang menghalau ibu bapa yang dianggap menyusahkan hidup mereka. Ada juga yang enggan pulang ke kampung menjenguk orang tua yang bertungkus-lumus membesarkan mereka. Ada yang sanggup menghantar ibu bapa sendiri tinggal di rumah orang tua-tua. Beberapa hari lalu, media melaporkan fasal anak yang mengumpan bapanya yang menghuni rumah orang tua-tua dengan setin biskut supaya tidak mengikutnya pulang beraya di rumah. Sampai begitu sekali kejamnya anak! Betullah sindir peribahasa: Ibu dan bapa boleh menjaga sepuluh anak, tetapi sepuluh anak belum tentu dapat menjaga ibu bapanya pada hari tua mereka.

Orang tua-tua juga ada mengingatkan kita bahawa sudah menjadi lumrah manusia, mensia-siakan apabila sesuatu itu ada, tetapi merinduinya apabila sudah tiada. Itulah lumrah hidup. Bagi mereka yang telah kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali, perasaan "kehilangan" yang saudara-saudara semua rasai kini sudah saya selami. Kesedihan dan kerinduan saudara terhadap orang tersayang juga sudah saya alami. Sesungguhnya yang pergi itu tidak akan kembali, kita yang hidup seharusnya mendoakan kesejahteraan mereka. Semoga roh mereka sentiasa dirahmati oleh Allah SWT.

Salam Aidilfitri!


Thursday, September 9, 2010

Bosan, Lancar, & Meriah















Bosan
Ketika orang ramai sedang sibuk berkemas dan berpusu-pusu memandu kenderaan pulang ke kampung masing-masing, saya masih menghadap komputer sambil memikirkan perkara yang mahu dilakukan. Memang tiada mood untuk melakukan sebarang kerja. Maklumlah, petang tadi, hanya saya seorang staf Melayu di pejabat. Semuanya gara-gara mahu bercuti panjang selepas hari raya. Jadi terpaksalah bekerja pada hari ini. Kata orang, "bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian".

Bukan sekadar "bersusah-susah" tetapi membosankan! Tambah-tambah, dua jam pertama di pejabat, talian internet rosak.


Mujur, bos membenarkan saya pulang dua jam lebih awal. Tepat pukul 3, saya meluru keluar tanpa sempat merekodkan butiran kerja yang dilakukan hari ini (tidak buat apa-apa pun, hati dan jiwa asyik ingat Hari Lebaran). 

Lancar
Tepat pukul 4.15 petang, saya sekeluarga meninggalkan rumah dan menuju ke Kuala Kangsar. Ajaib, lalu lintas pada petang tadi lancar. Saya teka jalan agak sesak kerana mungkin ada banyak lagi warga kota yang pulang pada saat-saat akhir. Namun, Alhamdullilah petang tadi perjalanan di lebuh raya lancar dan tenang. Mungkin kesesakan yang dimaksudkan itu berlaku pada sebelah malam (malam raya).



Beberapa jam di lebuh raya, kami sampai di Kuala Kangsar. Sepanjang perjalanan, ada beberapa kemalangan kecil yang berlaku di lebuh raya. Syukur, tiada kemalangan yang serius. 

Meriah
Sebaik sahaja melalui Tol Plus Kuala Kangsar, mata saya terpegun melihat cahaya lampu kelip-kelip dan pelita panjut. Bandar Diraja kuala Kangsar terang-benderang dengan pelbagai cahaya lampu. Memang meriah suasana sewaktu dalam perjalanan tadi. Kalau sebelum ini, Kuala Kangsar memang terkenal dengan Pesta Panjutnya. Namun, sejak belakangan ini, pesta itu tidak semeriah dahulu. Agak mengejutkan apabila dalam perjalanan tadi hampir setiap rumah memasang pelita panjut dan lampu kelip-kelip. Kuala Kangsar dan kawasan sewaktunya sudah meriah kembali!



Perjalanan dari Tol Plus ke Manong sejauh 35 km memang menyeronokkan. Terimbas kenangan lalu sewaktu melalui kawasan kampung yang diterangi lampu pelita dan diselang-seli dengan cahaya pelbagai warna lampu kelip-kelip moden.



Wednesday, September 8, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

& MAAF ZAHIR DAN BATIN


DARIPADA:
KHAIRUL AISYAM
ROSLINDA MAJID
QHAIRUL DANIAL ISKANDAR
QHAIRUL DANISH MUQRI
QHAIRUL DHANI RAYYAN
* Hak Cipta Kerja Seni: Awang Purba

Sunday, August 22, 2010

"Bang, botol tu Shell tak bagi guna."


Minyak motor hampir kering. Stesen minyak yang paling hampir adalah di Saujana Utama. Hendak ke sana, perjalanan memakan masa kira-kira 10 minit (13 km). Takut minyak tidak cukup, mahu tidak mahu, saya perlu ke sana dengan menaiki kereta.

Saya bawa botol plastik yang biasanya digunakan untuk mengisi air. Botol tersebut samalah jenisnya dengan gambar di sebelah. Bezanya, botol yang saya bawa itu agak kecil sedikit.

Ada dua stesen minyak di situ. Shell dan Petronas. Antara kedua-duanya, Shell yang paling hampir. Saya ke sana untuk "tapau" minyak petrol.

Sampai di stesen minyak itu, saya keluarkan botol dari kereta. Dari jauh, saya nampak petugas di kaunter melihat gerak-geri saya. Ketika di kaunter, seperti sudah tahu-tahu saya mahu "menapau" minyak, petugas (remaja lelaki) menunjukkan sebuah tin.

"Bang nak isi minyak?"

"Ya."
"Bang pakai tin ini," kata remaja itu sambil mengunjukkan tin tersebut.

Saya kata, "Tak pa, aku ada bawa botol."

"Lagipun aku dah pernah pakai tin itu," saya tambah. Saya mengelak untuk menggunakan tin itu kerana penutupnya agak tajam, dan tangan saya pernah luka kerana menggunakan tin itu.

"Bang, Shell tak bagi pakai botol itu!"

"Oh, ye ke?!" Saya menjawab sambil terkedu.

"Kalau macam tu, aku pergi tempat lainlah."

Saya masuk ke kereta, dalam keadaan yang terkejut, tertanya-tanya, sehingga tidak berselra untuk berhujah lanjut dengan petugas stesen tersebut, sambil memikirkan sebab botol yang saya bawa itu tidak boleh diisi minyak di stesen berkenaan.

Sampai di Petronas, saya terus ke kaunter sambil menghulurkan duit RM5. Tanpa banyak soal, petugas dengan senyuman yang menawan mengucapkan terima kasih dan meminta saya mengisi minyak. Tidak timbul soal botol yang saya gunakan.

Dalam hati, "Lepas ini aku tak pergi dah stesen minyak itu."

Saya tidak pasti sama ada arahan itu daripada pihak Shell atau pemilik stesen berkenaan. Yang pasti, peristiwa malam itu membuatkan saya tertanya-tanya sebab botol itu tidak boleh digunakan untuk mengisi minyak. Sedangkan botol itu agak tebal dan lazimnya digunakan orang untuk mengisi minyak. Adakah larangan itu sengaja dibuat kerana pemilik mahu menjual tin (mudah karat) kepada pengguna yang mahu "menapau" minyak di stesen berkenaan?

Saya faham soal keselamatan jika alasan itu digunakan oleh mereka. Saya agak rasional jika mereka melarang saya menggunakan botol air mineral, plastik, atau botol lain yang agak nipis dan kurang selamat.



Saturday, August 21, 2010

"The Exorcist" Layak Jadi Filem Paling Seram Sepanjang Zaman


Saya menonton filem ini sekitar awal tahun 2000. Ketika itu, saya masih menuntut di IPTA. Bagi yang tidak tahu fasal filem yang ditayangkan sekitar tahun 1973 ini bolehlah menggelintar laman sesawang yang berbicara tentang filem di internet.

Saya tidak pandai mengulas filem. Secara ringkasnya, filem yang diarahkan oleh William Friedkin ini adalah hasil adaptasi daripada novel William Peter Blatty yang diterbitkan pada tahun 1971. Novel ini dikatakan ditulis berdasarkan kisah exorcisme Robbie Mannheim. Antara pelakon filem tersebut termasuklah Ellen Burstyn, Linda Blair, Max von Sydow, Kitty Winn, Lee J. Cobb, Jason Miller, dan Mercedes McCambridge.

Bagi filem yang dihasilkan sekitar awal 70-an, sudah tentu The Exorcist sebuah filem yang hebat malah menjadi pelopor dan rujukan pembikin filem seram sehingga hari ini.

Berita Berkaitan:

The Exorcist Filem Paling Seram

LOS ANGELES - Filem seram klasik The Exorcist telah dipilih dalam satu undian sebagai filem yang paling seram sepanjang zaman selepas 37 tahun ia ditayangkan, lapor sebauh akhbar semalam.

Filem yang mengisahkan mengenai seorang kanak-kanak yang dirasuk itu menampilkan Linda Blair sebagai pelakon utama telah dipilih sebagai filem paling menakutkan berbanding filem-filem terbaru seperti Saw dan Antichrist.

Filem remaja A Clockwork Orange pada 1973 menduduki tangga kedua dalam undian itu diikuti filem Saw diterbitkan pada 2004, The Texas Chainsaw Massacre (1974), Requiem For A Dream (2000), Irreversible (2002), Se7en (1995) dan Event Horizon (1997)
Filem The Blair Witch Project terbitan 1999 menduduki tempat kesembilan manakala Antichrist di tempat kesepuluh. - Agensi


Wednesday, August 11, 2010

SELAMAT BERPUASA



Ramadan tiba lagi. Kehadiran Ramadan disambut berbeza-beza bagi sesetengah orang. Bagi kami sekeluarga, Ramadan kali ini disambut buat pertama kali tanpa Mak yang telah kembali ke Rahmatullah (al-Fatihah) pada 29 Jun lalu. Memang agak berbeza dari segi keceriaan dan kemeriahnya. Namun, yang pergi tetap pergi, ibadah tetap ibadah, kita yang hidup perlu menerimanya sebagai qada&qadar, dugaan, dan meneruskan hidup sambil melakukan segala yang diperintahkan oleh Allah SWT dengan sebaik-baik mungkin.
Salam Ramadan semua!

Tuesday, August 3, 2010

Genap 4 Tahun Danish Muqri





Genap usia Qhairul Danish Muqri 4 tahun pada 13 Julai 2010 yang lalu.


Sunday, July 25, 2010

Rayyan Dijangkiti HMFD


Awal minggu yang lalu Rayyan disyaki menghidap penyakit tangan, kaki, dan mulut atau hand, foot, and mouth disease (HMFD). Pada mulanya, kami menyangka dia menghidap demam ruam atau demam campak, namun Rayyan sudah dijangkiti kedua-dua jenis demam itu baru-baru ini.

Selepas diselidik, rupa-rupanya di rumah pengasuh tempat Rayyan dijaga ada budak yang dijangkiti penyakit tersebut. Khabarnya, budak itu dijangkiti penyakit itu di tadikanya.

Di klinik, doktor menenangkan kami. Katanya, penyakit ini tidaklah begitu bahaya jika langkah-langkah untuk mengawalnya diambil. Kata doktor, jika anak boleh makan dan minum, Insya-Allah penyakit itu akan sembuh dengan sendirinya. Ubat yang diberikan pun hanyalah ubat demam dan ubat sapu.

Di Facebook, seorang rakan, yang juga jururawat di sebuah hospital kerajaan, memberikan sedikit petua dan panduan. Katanya, "untuk dapatkan petua...bagi depa minum air banyak...jgn kurang air mandi kerap n makesure temperature maintain normal k..because u must careful with body temperature n if dalam mulut sakit nak makan bagi depa makan ais krim bukan ketul ais tau...aiskrim mangkuk tu...k n atu lagi jangan bagi depa pi sekolah takut depa dapat jangkitan lain plak."

Alhamdullilah, walaupun pada mulanya, Rayyan kurang berselera dan suhu badannya agak panas, namun selepas beberapa hari, keadaannya beransur sembuh. Hari ini Rayyan sudah sembuh sepenuhnya. Khabarnya, ada anak rakan yang terpaksa dimasukkan ke hospital kerana keadaan yang agak serius. Kata rakan itu, penyakit HFMD kian menular di kawasan penempatan kami.

Berhati-hati dengan simpton penyakit tersebut. Biarpun dikatakan tidak begitu bahaya, namun ada kanak-kanak yang meninggal dunia kerana penyakit ini.

Maklumat lanjut tentang penyakit ini boleh anda baca di sini dan di sini.


Sunday, July 11, 2010

ZOO TAIPING













ZOO TAIPING (JULAI 2010)
Related Posts with Thumbnails