Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Google+ Followers

Google+ Badge

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Friday, February 26, 2010

MAULIDUR RASUL


Marilah berselawat kepada Nabi Muhammad SAW:


Thursday, February 25, 2010

Susahnya Hendak Buat Pinjaman Bank...




Semalam, saya sempat berborak dengan kawan lama. Masing-masing bercerita tentang kehidupan, kerjaya, dan masalah politik negara. Kawan saya itu bekerja sebagai editor di sebuah syarikat penerbitan. Ketika rancak berborak, dia mengeluh. Katanya, "Susah betul nak buat pinjaman bank." Tambahnya, "Kalau kerja swasta, tambah pulak gaji tidak sebesar mana, memang payah nak buat personal loan". Saya hanya mengiyakan sahaja walaupun tidak pernah ada pengalaman membuat pinjaman peribadi di mana-mana bank.

Ada bank (bank tempatan) yang hanya menawarkan pinjaman peribadi kepada individu yang menerima gaji minimum RM3 ribu, ada juga yang menawarkan pinjaman kepada individu bergaji serendah RM2.8 ribu. Bagaimana pula dengan individu yang bergaji lebih rendah daripada jumlah itu? Namun ada juga bank yang tidak "sekejam" itu. Saya cadangkan kepada kawan saya itu supaya mencuba membuat pinjaman di sebuah bank antarabangsa yang khabarnya tidak meletakkan syarat yang begitu ketat. Hendak ke bank yang menggunakan nama "rakyat" pun agak payah jika kita bukan kakitangan awam. 

Jadi, senyap-senyap saya terfikir: "Patutlah banyak orang yang terperangkap dalam jerat ah long!" Bayangkan dalam kegawatan ekonomi (walaupun dikhabarkan ekonomi semakin pulih-retorik!) banyak syarikat swasta menawarkan gaji yang agak rendah kepada lepasan ijazah. Jangan terkejut ada lepasan universiti hanya menerima gaji serendah RM1200 sebulan. Malah ada sesetengah syarikat penerbitan (buku akademik) hanya menawarkan gaji RM1400 sebulan (memang tidak berhati perut) kepada lepasan ijazah sedangkan syarikat-syarikat tersebut sudah berdekad-dekad beroperasi dan tidak terjejas walaupun negara berhadapan dengan masalah kegawatan ekonomi. Sebab apa? Sebab buku dan bahan bacaan sudah menjadi "keperluan asasi" terkini manusia. Bagi ibu bapa (terutama di bandar dan sedar akan kepentingan ilmu) sanggup tidak membeli motosikal baru, kereta baru, baju baru, telefon baru, dll semata-mata mahu membelikan buku rujukan terbaik untuk anak-anaknya. 

Jadi bagi yang berminat mencari pekerjaan dalam bidang penerbitan (buku bukan majalah kormesial), carilah rezeki di syarikat yang benar-benar menghargai ilmu dan kelulusan anda. Bagi yang sudah berpengalaman, anda mungkin tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan gaji yang agak tinggi. Ada orang persoal, "Biasalah, baru kerja gaji pun mestilah sikit." Saya jawab, "Kau sanggup menerima gaji yang lebih rendah daripada pengawal keselamatan sedangkan kau ada ijazah dan kelulusan yang lain?" Saya tambah: "Apalah salahnya mereka menawarkan gaji yang agak tinggi memadailah dengan kesukaran kerja dan pendapatan syarikat yang rata-ratanya hampir mencecah 100 juta setahun. Berbanding kerja editor majalah, buku, novel, editor buku akademiklah yang paling sukar." Tidak percaya? Cuba! Saya sudah hampir sepuluh tahun dalam industri ini, jadi saya tahu serba sedikit pancaroba dan cacamarba dunia penerbitan. 

Dengan gaji serendah itu, tambahan pula pihak bank menetapkan gaji minimum sebanyak RM 3 ribu untuk melayakkan individu membuat pinjaman peribadi, maka di mana lagi individu yang mempunyai masalah kewangan ingin mendapatkan "pertolongan"? Bercerita tentang gaji, saya ada terbaca iklan sebuah syarikat pembekal pengawal keselamatan yang menggajikan warga asing terutama dari Nepal. Khabarnya, pengawal keselamatan warga asing ini menerima gaji sebanyak RM1600 sebulan. Lumayan!

Perbualan kami tamat selepas masing-masing menghabiskan mi goreng dan secawan teh tarik. Biarpun menghadapi masalah, namun perbualan hampir satu jam itu memberikan sedikit harapan untuk meringankan beban yang ditanggungnya.



Monday, February 22, 2010

DUGAAN!

Ibu saya tiba-tiba menghidap sakit kuning yang melampau. Tubuh dan matanya menjadi kuning, badannya panas, dan kulitnya gatal-gatal. Setelah beberapa hari dimasukkan ke hospital, beliau telah didiagnosis menghidap ketumbuhan (kanser) di saluran berhampiran dengan hempedunya dua minggu yang lalu. Suatu perkhabaran yang mengejutkan!

Kini, sudah hampir tiga minggu beliau berada di hospital. Tiub sepanjang 1 meter terpaksa digunakan untuk menyalurkan air kuning (jus hempedu) dari hempedunya. Beliau kini sedang menunggu jadual pembedahan yang bakal dibuat di sebuah hospital kerajaan di ibu kota selepas hospital swasta menolak untuk membuat pembedahan itu kerana risiko yang tinggi dan tidak mempunyai kepakaran berbuat demikian.

Kami sekeluarga bertawakal dan berserah kepada Allah SWT semoga kesakitan dan penyakit yang ditanggungnya dapat dirawat dan dipulihkan sepenuhnya.

Wednesday, February 3, 2010

OBSESI 3: Basikal





Sejak minum radioaktif iodin untuk merawat penyakit hipertiroid yang saya hidapi sejak beberapa tahun lalu, badan pun sudah menjadi montel dan gebu. Kata doktor, kenaikan berat badan itu merupakan kesan pengambilan iodin itu. Katanya, metabolisme sudah kembali normal, mungkin berkurang, tidak seperti sebelumnya, metabolisme terlalu aktif sehingga berjalan sedikit pun menyebabkan badan berpeluh umpama berlari pecut 100 meter. Badan pada waktu kurus keding, sehingga ke satu tahap, badan saya hanya seberat 58 kg, walhal berat ideal saya ialah sekitar 72 kg.

Untuk mengatasi kenaikan melampau berat badan, saya dinasihati supaya melakukan senaman dengan lebih kerap dan menjaga pemakanan. Jaga makan, Alhamdulilah boleh diusahakan, tetapi bab senaman susah sikit. Susah? Susah kerana ada sikit sifat malas dan masa yang agak suntuk untuk bersenam secara konsisten. Jika pada hari minggu, mungkin tiada masalah untuk melakukan senaman, tetapi pada hari bekerja, memang tiada masa untuk berbuat demikian. Sampai di rumah pun sekitar 7 atau 7.30 malam.

Oleh itu solusi terbaik yang saya ambil adalah dengan membeli sebuah basikal mountain bike. Sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat untuk membeli basikal, tetapi hasrat itu tertangguh sehinggalah saya mendapati beberapa orang jiran membeli basikal dan mengayuhnya setiap malam mengelilingi kawasan perumahan kami. Menarik & mengiurkan!

Selang beberapa hari, saya meronda kawasan Bandar Sungai Buloh untuk mencari basikal idaman dan yang paling penting bersesuaian dengan bajet yang ada. Dengar cerita basikal yang dijual di pasaran ada yang mencecah harga puluhan ribu ringgit. Fuh, memang tidak mampu! Cukuplah sekadar basikal yang berkualiti dan sesuai dengan aktiviti yang dijalankan. Ronda, ronda, ronda, akhirnya saya singgah di sebuah kedai berhampiran dengan Masjid Sungai Buloh. Di situ ada beberapa buah kedai yag menjual basikal. Belek, belek akhirnya saya bertekad membeli basikal jenis Nexus, model Xenic. Sesuailah dengan bajet yang ada. 

Sejak beberapa hari ini, selepas solat Isyak, saya mula mengayuh basikal meredah kesejukan malam mengelilingi taman perumahan. Kadang-kadang seorang diri, kadang-kadang bertemankan beberapa orang kawan. Memang best! Baru berkayuh sekitar 30 minit, badan sudah dibasahi peluh. Yang menariknya, apabila kita mengayuh basikal, bukan sahaja anggota kaki yang "bekerja", tetapi keseluruhan anggota badan yang lain turut "bekerja". 

Setakat ini, semangat untuk mengayuh basikal amat tinggi dan mudah-mudahan obsesi terbaru ini berkekalan demi memperoleh kesihatan diri yang lebih baik.



Related Posts with Thumbnails