
Saturday, December 25, 2010
[Video] Hikayat Merong Mahawangsa. Hebat & Mengagumkan!

Tuesday, December 21, 2010
Tuesday, December 7, 2010
Friday, December 3, 2010
SMK Iskandar Shah Parit Perlukan Bangunan BARU
Mungkin bekas pelajar SMKIS boleh melakukan sesuatu untuk membantu pihak sekolah dan PIBG mendapatkan bangunan baru untuk kegunaan dan keselesaan warga sekolah.PARIT – Seramai 800 pelajar terpaksa bergilir-gilir belajar di kantin atau makmal komputer sekolah apabila rayuan permohonan pembinaan bangunan tambahan Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah (SMKIS) di sini, masih tidak diluluskan sejak tahun 2003.
Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan guru (PIBG), Mohd Idris Ismail berkata, pelajar sentiasa bertambah setiap tahun tetapi sekolah ini tidak dapat menampung jumlah itu disebabkan kekurangan kelas.
Menurutnya, pelajar yang mengambil subjek pendidikan moral akan belajar di kantin atau di makmal kosong pada waktu pengajaran dan pembelajaran.
“Keadaan berlarutan hampir sepuluh tahun lalu, dan kami bermesyuarat dengan ahli jawatankuasa PIBG untuk meminta Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan peruntukan untuk sekolah ini.
“Bukan itu sahaja, bilik guru juga terlalu sempit dan sesak kerana berkongsi dengan bahagian pentadbiran serta bilik pengetua,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Mohd Idris berkata, program celik IT (teknologi maklumat) yang diperkenalkan kepada pelajar di luar bandar tidak dapat direalisasikan di sini apabila tiada kelas untuk menempatkannya.
“Makmal komputer yang dicadangkan pihak kementerian pelajaran kepada pelajar terutama di pinggir bandar ini tidak dapat dilaksanakan walaupun peruntukkan untuk pembelian komputer di sekolah ini ada.
“SMKIS merupakan sekolah Premier yang dibina 1949 dan masih ketinggalan dari segi prasarana iaitu kemudahan dewan sekolah, makmal komputer dan padang permainan,” katanya.
Katanya, cadangan bangunan tiga tingkat yang bernilai lebih RM1juta itu, akan menempatkan dewan serbaguna, surau, kelas, makmal komputer dan juga pejabat sekolah.
“Pada 2008, pihak sekolah dimaklumkan mendapat peruntukan membina bangunan tambahan menggunakan kaedah Sistem pembinaan perindustrian atau Industrialised Building Systems (IBS).
:“Pelan bangunan tambahan daripada Kementerian Pelajaran juga diluluskan Pihak Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) namun sehingga kini, kerja membina bangunan itu masih belum menjadi kenyataan,” katanya.
Mohd Idris berkata, PIBG mengharapkan masalah itu mendapat perhatian pelbagai pihak dalam membantu memberi suasana kondusif kepada pelajar di sekolah ini. - SH
Saturday, November 20, 2010
Pengguna Hentam Kromo, Penjual Mahu Kaya Cepat!

Namun, ada yang negatifnya. Pertama, masyarakat hari ini hanya hentam kromo menggunakan produk kesihatan tanpa menyelidik atau menyiasat keberkesanannya. Mereka hanya bergantung pada cakap-cakap kawan atau testimoni produk yang disediakan penjual/pengedar produk kesihatan. Walhal testimoni tersebut boleh direka mengikut kehendak penjual. Lebih malang, produk yang dianggap dapat meningkatkan kesihatan tetapi akhirnya mendatangkan pelbagai masalah kesihatan kepada pengguna.
Kedua, pengedar/penjual mengambil kesempatan menipu pengguna dari segi harga dan keberkesanan produk. Dari segi harga, ada pengedar yang menjual produk kesihatan yang dibelinya secara borong/pukal dengan harga yang berlipat kali ganda. Misalnya, detox foot patch yang agak popular hari ini dijual sehingga RM7 sepasang. Walhal, ada pengedar yang menjualnya dengan harga RM1 sepasang (mahal atau murah, namun tiada bukti klinikal untuk menyokong produk ini). Suatu ketika dahulu, ada sebuah syarikat MLM menjual minyak anggur perahan sejuk dengan harga RM60 bagi 300 ml, walhal hari ini anda boleh membeli produk import dengan harga yang sama untuk 1 l. Begitu juga dengan minyak kelapa dara yang boleh anda peroleh dengan kuantiti yang banyak pada harga jualan sesetengah pengedar tempatan di pasar raya.
Dari segi keberkesanan produk, banyak penjual dan pengedar produk kesihatan menipu pengguna. Baru-baru terbongkar kisah gelang magnetik bukan sahaja didakwa tidak mempunyai bukti dan kajian saintifik untuk membuktikan keberkesanannya, malah produk yang dipercayai berasal dari China itu dikatakan dijual dengan harga yang berlipat kali ganda. Bayangkan produk yang dibeli secara borong dengan harga RM12-RM38 dijual sehingga RM1000. Bukankah perbuatan usahawan celup ini merupakan suatu jenayah kepada masyarakat? Mereka rakus menipu anak bangsa sendiri!
Sebenarnya trend berniaga seperti ini tidak akan ke mana-mana. Berapa banyak syarikat MLM tempatan yang menjual produk dengan harga mahal dan berlipat ganda menjadi muflis? Tidak susah untuk mencari jawapan, ingat seberapa banyak produk MLM yang pernah anda dengar sebelum ini, cuba carinya hari ini.
Tuesday, November 16, 2010
Sunday, October 24, 2010
Subjek Sejarah Wajib Lulus SPM Mulai 2013 dan Subjek Teras di Sekolah Rendah Mulai 2014
Subjek Sejarah bakal dijjadikan subjek wajib lulus di peringkat SPM mulai 2013 dan menjadi subjek teras di sekolah rendah mulai 2014. Langkah ini diambil bertitik tolak daripada pandangan pemimpin politik bahawa ada sesetengah kaum/parti politik di negara ini kurang kesedaran/pemahaman tentang sejarah pembinaan negara, kontrak sosial, asal usul dan kedudukan institusi kesultanan, Perlembagaan, dan sebagainya.Bagi saya, langkah itu wajar disokong walaupun pelaksanaannya didasarkan oleh desakan politik. Walhal tanpa desakan politik, rakyat pelbagai kaum di negara ini wajib memahami proses pembinaan Malaysia, dan perkara-perkara yang dinyatakan di atas. Pemahaman yang mendalam terhadap aspek penting sejarah negara diharapkan dapat melahirkan generasi bangsa Malaysia yang benar-benar menerapkan nilai Malaysia (bahasa kebangsaan, sekolah kebangsaan dll) dalam diri dan kehidupan sehari-hari.
Namun, dalam masa yang sama, penambahbaikkan teks Sejarah perlu telus dan bertanggungjawab agar tidak dijadikan medium untuk menafikan hak kaum lain sebagai warganegara sah. Penggubalan buku teks perlu dilakukan dengan jujur dan bersumberkan fakta yang jelas agar peristiwa atau fakta sejarah tidak diputarbelitkan atau dimanipulasi untuk kepentingan sesetengah pihak. Hal ini demikian kerana subjek Sejarah tidak sama dengan subjek Sains yang ditulis berdasarkan uji kaji atau teori yang boleh dibuktikan kebenarannya. Buku Sejarah pula ditulis berdasarkan sumber sejarah yang sudah tentu boleh diubah suai oleh penulis/pihak tertentu untuk kepentingan sesetengah pihak. Selain itu, pelaksanaan dan pengajaran subjek ini di sekolah juga perlu dilakukan dengan telus dan bertanggungjawab.
Jika subjek Sejarah diperkasakan di sekolah atas alasan yang dinyatakan di atas, kita sewajarnya bertanya: mengapa subjek Agama Islam dan Pendidikan Moral tidak dijadikan subjek penting sama ada di sekolah menengah atau di sekolah rendah? Dengan pelbagai macam gejala sosial yang melanda remaja sehingga memaksa kerajaan Melaka mewujudkan Sekolah Harapan dan sebagainya, maka perlukah alasan lain untuk memperkasakan kedua-dua subjek berkenaan di kedua-dua peringkat pengajian.
Dalam sibuk-sibuk kerajaan mahu memastikan warganegara memahami sejarah negara, jangan lupa jati diri dan sahsiah pelajar perlu diperkasakan agar penularan pelbagai elemen negatif yang berunsurkan Barat dan budaya hedonisme dapat disekat.
Berita berkaitan:
KUALA LUMPUR 23 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu adalah sama seperti langkah menjadikan mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat untuk mendapatkan sijil SPM.
‘‘Selaras dengan pandangan yang telah dikemukakan oleh sebahagian besar jurucakap dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini, saya ingin mengumumkan bahawa Kementerian Pelajaran memutuskan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus.
‘‘Pada masa ini di peringkat sekolah menengah, ia adalah mata pelajaran yang wajib diambil oleh setiap pelajar tetapi tidak wajib lulus,’’ katanya ketika menggulung perbahasan pada perhimpunan berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Menurut Muhyiddin, 2013 dipilih bagi melaksanakan langkah itu berikutan kementerian memerlukan masa untuk melatih guru dan menyediakan pelajar bagi menghadapi sistem baru berkenaan supaya mereka tidak terkejut.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), maka mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek teras di sekolah rendah mulai 2014.
‘‘Seperti yang telah dibangkitkan oleh wakil Perak dan Kedah, di peringkat sekolah rendah pada masa ini elemen sejarah hanya diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan,’’ katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan langkah menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan kaedah pentaksiran berasaskan sekolah akan dimulakan pada 2014 iaitu dua tahun lebih awal daripada tarikh asal ditetapkan.
‘‘Kita akan mulakan lebih awal kerana ada tuntutan daripada perwakilan UMNO supaya ia disegerakan tetapi kita perlu ada tempoh masa untuk menyiapkan usaha bagi melatih semula guru dan sebagainya,” katanya.
Mengenai langkah meningkatkan jumlah pelajar yang mengikuti pendidikan teknik dan vokasional, beliau berkata, peruntukan pembangunan sebanyak RM340 juta untuk tujuan itu di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) adalah tidak mencukupi dan akan ditambah pada masa depan.
Selain itu juga, katanya, kerajaan akan menambah dua sekolah menengah pendidikan vokasional khusus untuk pelajar kurang upaya pendengaran, penglihatan dan yang menghadapi masalah pembelajaran.
Tambah beliau, kerajaan juga akan meneliti saranan Pergerakan Wanita UMNO ketika perhimpunan itu supaya kerajaan mengkaji semula keseluruhan sistem pendidikan negara.
‘‘Saya bersetuju bahawa sudah sampai masanya satu laporan baru dikeluarkan tentang cara kita menambah baik sistem pendidikan negara pada masa akan datang,’’ katanya.


