Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Google+ Followers

Google+ Badge

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Tuesday, June 2, 2009

TIGA TAHUN TANPA ROKOK

31 Mei ialah hari Sambutan Tanpa Rokok Sedunia atau Hari Tanpa Tembakau Sedunia. Sudah bertahun-tahun saya tidak pernah mengambil tahu atau menghiraukan kedatangan hari tersebut. Namun, sejak tiga tahun belakangan ini, 31 Mei yang datang dan pergi lebih bermakna kerana dalam tempoh itu saya berjaya melepaskan diri daripada ketagihan rokok. Ya, percaya atau tidak sudah tiga tahun lebih saya tidak menyedut asap rokok. Suatu kejayaan yang tidak pernah termimpi/terbayang akan berjaya direalisasikan.

Namun, untuk berhenti merokok bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang ditegaskan oleh kebanyakan doktor atau pakar motivasi. Saya akui tanpa sebab tertentu, sudah tentu saya masih lagi menghisap dan menghembus asap Kretek Gudang Garam yang saban tahun menjadi “trademark” saya. Rokok umpama dadah junior kepada manusia. Ketagihan tegarnya bukanlah umpama melupakan ketagihan makan kuaci atau kacang tanah. Penangan ketagihannya membuatkan seseorang mengigil atau menghuru-harakan jiwa jika tidak menyedut asap itu dalam tempoh sejam atau mungkin kurang dari itu. Itulah penangan rokok. Itulah yang saya rasa sejak dari zaman persekolahan lagi. Atas sebab itu juga, saya secara rela dalam paksa "membakar" duit untuk membeli rokok selama berbelas-belas tahun lamanya. Tidak mahu membayangkan jumlah duit yang terpaksa dihabiskan untuk membeli rokok kerana sudah tentu duit itu mampu mendirikan sebuah banglo atau sekurang-kurangnya sebuah rumah untuk diri sendiri.

Alhamdulilah, sejak saya menghidap penyakit hipertiroid beberapa tahun yang lalu, saya berjaya melawan ketagihan rokok. Hipertiroid berlaku apabila kelenjar tiroid menghasilkan hormon tiroid secara berlebihan (klik pautan jika ingin mengetahui dengan lebih lanjut). Selain gejala yang lain, penyakit ini menyebabkan seseorang berdebar-debar. Pada peringkat awal, degupan jantung saya pernah mencecah 125 kali seminit sedangkan degupan jantung yang normal ialah 70 – 80 kali seminit. Selepas mendapatkan rawatan pakar di HUKM (masih lagi menerima rawatan-mungkin seumur hidup mendapat rawatan di situ), saya dinasihati oleh doktor agar berhenti merokok. Memang benar pun rokok boleh memarahkan lagi penyakit hipertiroid yang saya tanggung. Itulah punca saya berjaya melawan ketagihan rokok. Jika tidak kerana masalah kesihatan, saya sendiri ragu-ragu akan kemampuan psikologi diri untuk melawan ketagihan tegar tersebut.

Oleh sebab itu, saya jarang-jarang ketawakan orang apabila mereka menghisap semula rokok walaupun telah berkali-kali cuba berhenti menghisap rokok. Saya tahu bukan mudah untuk melawan ketagihan rokok. Atas sebab itu juga saya tabik “spring” kepada mereka yang berjaya berhenti menghisap rokok selepas bersusah payah melawan ketagihan tegar yang saban hari menghakis diri mereka.

Walaupun sudah tiga tahun hidup tanpa rokok, lidah dan mulut ini masih lagi terliur untuk menyedut rokok terutamanya selepas makan atau sewaktu bersama-sama dengan kawan-kawan yang merokok. Tanyalah siapa-siapa yang sudah berhenti rokok, sudah tentu situasi yang sama turut dihadapi oleh mereka. Yang penting, sesiapa yang sudah berhenti rokok perlulah kuat melawan rintihan deria rasa tersebut. Jika gagal, tidak mustahil anda akan terjebak semula dan selepas itu sudah tentu sukar untuk melupakan rokok yang akan terus menjahanamkan kesihatan diri.

Sebagai motivasi untuk anda melupakan rokok, di sini disertakan beberapa manfaat yang dapat diperoleh selepas berhenti merokok:
* Dalam sejam -Sel badan mula memperbaik diri, tekanan darah dan degupan jantung menurun
* Lapan hingga 12 jam - Paras karbon monoksida dan nikotin menurun 50 peratus
* 24 jam - Paras oksigen meningkat ke paras normal, risiko mendapat serangan jantung menurun
* 48 jam - Deria rasa dan hidu semakin baik, kesan nikotin hilang daripada badan
* Dua minggu - Peredaran darah bertambah baik dan fungsi paru-paru meningkat 30 peratus
* Empat minggu - Ketagihan nikotin hilang sepenuhnya
* Setahun - Risiko sakit jantung turun 50 peratus
* Lima tahun - Risiko strok sama dengan orang tidak merokok
* 10 tahun - Risiko kanser paru-paru kurang 30 hingga 50 peratus berbanding orang yang masih merokok
* 15 tahun - Risiko sakit jantung sama dengan orang yang tidak merokok

Selain data tentang manfaat yang diperoleh selepas berhenti rokok. Pautan di bawah ini turut memerihalkan data tentang masalah perokok, kesan merokok, dan beberapa cara untuk berhenti merokok.


Terapi henti merokok
(Harian Metro) …Berapa ramai rakyat Malaysia merokok? Jumlah perokok di kalangan orang dewasa di negara kita semakin meningkat iaitu daripada 21.5 peratus pada 1986 kepada 33 peratus pada 2006. Namun berita baiknya 70 peratus daripada perokok di negara kita ada keinginan dan pernah cuba berhenti.

Untuk berhenti merokok bukan mudah kerana ia memerlukan kesedaran, kesungguhan dan sokongan tidak berbelah bagi. Ramai menganggap kejayaan lebih tinggi jika berhenti merokok secara mengejut tetapi banyak bukti menunjukkan ramai kembali merokok selepas satu tempoh tertentu, kata Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim.

Kaedah lain yang boleh dicuba ialah terapi penggantian nikotin sama ada tampalan, gula getah nikotin, ‘rokok nikotin’, semburan hidung atau pil oral bagi menangani ketagihan terhadap nikotin. Bila perlu menggunakan pengganti nikotin? Menurut Dr Aizai, terapi ini boleh diambil apabila seseorang bertekad berhenti merokok dan ia boleh diperoleh daripada doktor atau dibeli di farmasi…” Baca lanjut di pautan ini.


1 comments:

Anak Pendang Sekeluarga said...

salam...sy ambil kesempatan mohon ampun dan maaf pada rakan2 alam maya saya..hari ini adalah hari last saya sebagai budak praktikal,ada jasa nie,,blog nie terhasil smsa prktikal nie la....dan pada ahad saya akan berangkat ke sabah selama 40 hari dengan tujuan untuk baiki iman dan amal saya,akhlak saya dan ibdat saya...mohon di doakan ye....tq

Related Posts with Thumbnails