Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Showing posts with label kesihatan. Show all posts
Showing posts with label kesihatan. Show all posts

Saturday, November 20, 2010

Pengguna Hentam Kromo, Penjual Mahu Kaya Cepat!


Ada macam-macam cara orang hari ini gunakan untuk menjaga dan meningkatkan kesihatan diri. Ada yang pakai gelang, ada yang minum air yang ditapis dan beralkali, ada yang minum pelbagai jenis kopi, ada yang makan makanan tambahan/produk kesihatan lain, malah tidak kurang juga yang memakai "detox foot patch". Perkembangan ini menunjukkan masyarakat semakin prihatin terhadap kesihatan sendiri.

Namun, ada yang negatifnya. Pertama, masyarakat hari ini hanya hentam kromo menggunakan produk kesihatan tanpa menyelidik atau menyiasat keberkesanannya. Mereka hanya bergantung pada cakap-cakap kawan atau testimoni produk yang disediakan penjual/pengedar produk kesihatan. Walhal testimoni tersebut boleh direka mengikut kehendak penjual. Lebih malang, produk yang dianggap dapat meningkatkan kesihatan tetapi akhirnya mendatangkan pelbagai masalah kesihatan kepada pengguna.

Kedua, pengedar/penjual mengambil kesempatan menipu pengguna dari segi harga dan keberkesanan produk. Dari segi harga, ada pengedar yang menjual produk kesihatan yang dibelinya secara borong/pukal dengan harga yang berlipat kali ganda. Misalnya, detox foot patch yang agak popular hari ini dijual sehingga RM7 sepasang. Walhal, ada pengedar yang menjualnya dengan harga RM1 sepasang (mahal atau murah, namun tiada bukti klinikal untuk menyokong produk ini). Suatu ketika dahulu, ada sebuah syarikat MLM menjual minyak anggur perahan sejuk dengan harga RM60 bagi 300 ml, walhal hari ini anda boleh membeli produk import dengan harga yang sama untuk 1 l. Begitu juga dengan minyak kelapa dara yang boleh anda peroleh dengan kuantiti yang banyak pada harga jualan sesetengah pengedar tempatan di pasar raya.

Dari segi keberkesanan produk, banyak penjual dan pengedar produk kesihatan menipu pengguna. Baru-baru terbongkar kisah gelang magnetik bukan sahaja didakwa tidak mempunyai bukti dan kajian saintifik untuk membuktikan keberkesanannya, malah produk yang dipercayai berasal dari China itu dikatakan dijual dengan harga yang berlipat kali ganda. Bayangkan produk yang dibeli secara borong dengan harga RM12-RM38 dijual sehingga RM1000. Bukankah perbuatan usahawan celup ini merupakan suatu jenayah kepada masyarakat? Mereka rakus menipu anak bangsa sendiri!

Sebenarnya trend berniaga seperti ini tidak akan ke mana-mana. Berapa banyak syarikat MLM tempatan yang menjual produk dengan harga mahal dan berlipat ganda menjadi muflis? Tidak susah untuk mencari jawapan, ingat seberapa banyak produk MLM yang pernah anda dengar sebelum ini, cuba carinya hari ini.


Sunday, July 25, 2010

Rayyan Dijangkiti HMFD


Awal minggu yang lalu Rayyan disyaki menghidap penyakit tangan, kaki, dan mulut atau hand, foot, and mouth disease (HMFD). Pada mulanya, kami menyangka dia menghidap demam ruam atau demam campak, namun Rayyan sudah dijangkiti kedua-dua jenis demam itu baru-baru ini.

Selepas diselidik, rupa-rupanya di rumah pengasuh tempat Rayyan dijaga ada budak yang dijangkiti penyakit tersebut. Khabarnya, budak itu dijangkiti penyakit itu di tadikanya.

Di klinik, doktor menenangkan kami. Katanya, penyakit ini tidaklah begitu bahaya jika langkah-langkah untuk mengawalnya diambil. Kata doktor, jika anak boleh makan dan minum, Insya-Allah penyakit itu akan sembuh dengan sendirinya. Ubat yang diberikan pun hanyalah ubat demam dan ubat sapu.

Di Facebook, seorang rakan, yang juga jururawat di sebuah hospital kerajaan, memberikan sedikit petua dan panduan. Katanya, "untuk dapatkan petua...bagi depa minum air banyak...jgn kurang air mandi kerap n makesure temperature maintain normal k..because u must careful with body temperature n if dalam mulut sakit nak makan bagi depa makan ais krim bukan ketul ais tau...aiskrim mangkuk tu...k n atu lagi jangan bagi depa pi sekolah takut depa dapat jangkitan lain plak."

Alhamdullilah, walaupun pada mulanya, Rayyan kurang berselera dan suhu badannya agak panas, namun selepas beberapa hari, keadaannya beransur sembuh. Hari ini Rayyan sudah sembuh sepenuhnya. Khabarnya, ada anak rakan yang terpaksa dimasukkan ke hospital kerana keadaan yang agak serius. Kata rakan itu, penyakit HFMD kian menular di kawasan penempatan kami.

Berhati-hati dengan simpton penyakit tersebut. Biarpun dikatakan tidak begitu bahaya, namun ada kanak-kanak yang meninggal dunia kerana penyakit ini.

Maklumat lanjut tentang penyakit ini boleh anda baca di sini dan di sini.


Tuesday, May 25, 2010

Penangan Bawang Putih!

Sejak sekian lama, saya menghidap penyakit angin berlebihan di ulu hati. Sakit keturunan. Ibu saya menghidap sakit ini, begitu juga beberapa orang adik saya yang lain. Mungkin gastrik.

Mak saya yang berkunjung ke rumah mencadangkan suatu petua. Kata beliau, kalau mahu buang angin makanlah bawang putih mentah. Saya ambil beberapa ulas bawang putih lalu menumbuknya di dalam lesung batu.

Tanpa berfikir panjang, saya terus memasukkan bawang putih yang tekah ditumbuk tadi ke dalam mulut. Fuh, mulut tiba-tiba rasa panas dan pedih. Pedas! Rupa-rupanya bawang putih sangat pedas.

Macam cili! Berasap lidah!

Monday, May 10, 2010

Suntikan Vaksin Selesema Babi (H1N1) dan Kesan Sampingannya: Pengalaman Peribadi




Pagi tadi, saya dan isteri mengambil vaksin selesema babi di Poliklinik Kesihatan Kelana Jaya. Sebelum itu, saya ada membuat panggilan ke beberapa buah klinik berdekatan, namun semua klinik meminta saya membuat janji temu sebelum mengambil suntikan tersebut. Hanya di Poliklinik Kelana Jaya yang memberikan suntikan terus tanpa melalui sesi janji temu.

Lebih kurang pukul 9.30 pagi, kami sampai di klinik tersebut. Saya bertanya kepada petugas di kaunter tentang prosidur untuk mengambil suntikan tersebut. Jururawat itu menyuruh saya mendaftarkan diri di Kaunter 1. Selepas menyerahkan kad pengenalan, nama kami berdua dipanggil. Seperti biasa, kami dikehendaki membayar RM1 ringgit seorang. Selepas itu, petugas di kaunter tersebut menyuruh kami ke bilik khas untuk mengambil suntikan tersebut. Tiada pemeriksaan doktor terlebih dahulu sebelum mengambil suntikan. 

Di bilik tersebut, beberapa orang staf dari jabatan kerajaan sedang berbaris untuk menerima suntikan. Seorang demi seorang menerima suntikan tersebut. Saya dan isteri menyerahkan kad pengenalan sekali lagi kepada jururawat di situ. Nama kami didaftarkan. Sejurus selepas itu, nama saya dipanggil untuk menerima suntikan. 

Sebelum jarum menusuk kulit di bahu kiri saya, terkeluar kata-kata pertanyaan, "Apa kesan sampingan suntikan ini?" Jururawat itu menjawab sambil bertanya, "Encik hendak baca dahulu pamplet tentang kesan sampingannya atau encik hendak ambil suntikan dahulu?". Saya tanpa berfikir panjang berkata, "Suntiklah dahulu!" 

Memang terasa sakit sedikit semasa jarum menusuk ke dalam bahagian bahu. Berbeza daripada sakit suntikan biasa. Mungkin perasaan saya melebih-lebihkan sakit tersebut. Selepas beberapa ketika, bahagian yang disuntik tadi berdenyut-denyut dan terasa panas sedikit. Selepas sejam, badan mula rasa lenguh-lenguh dan keletihan. Kepala berat dan pening sedikit. Kesan ini berlarutan sehingga beberapa jam. Saya mengambil cuti sakit di sebuah klinik. Badan rasa kurang sihat. 

Selepas makan tengah hari, kami sekeluarga tidur. Sehingga sekarang, selepas 7 jam menerima suntikan, badan masih lenguh-lenguh dan tempat suntikan masih lagi terasa sengal. Tiada kesan sampingan lain setakat ini. Mudah-mudahan kami berdua tidak mengalami kesan sampingan yang teruk. 

Kesan sampingan pengambilan vaksin H1N1 (seperti tertera pada pamplet yang diberikan oleh petugas di Poliklinik Kelana Jaya) 

Sering Berlaku
* sakit kepala
* keletihan
* kesakitan, kemerahan, bengkak atau benjolan pada tapak suntikan
* demam
* sakit otot, sendi 

Kerap Berlaku
*rasa panas, gatal atau lebam pada tapak suntikan
* berpeluh, menggigil dan gejala selesema
* pembengkakan kelenjar di leher, di ketiak, atau di bahagian sulit

Agak Jarang-jarang Berlaku
* rasa mencucuk/kebas di tangan/di kaki
* mengantuk
* pening
* cirit, muntah, sakit perut
* gatal dan ruam
* ganguan tidur
* gejala kulit seperti inflamasi dan ruam gatal 

Jarang-jarang Berlaku
* kesan alergi yang menyebabkan penurunan tekanan darah secara mendadak
* sawan
* rasa menikam yang tajam
* pendarahan/lebam serius 

Amat Jarang-jarang Berlaku
* inflamasi pada salur darah yang menyebabkan ruam kulit, sakit sendi, dan masalah buah pinggang
* lumpuh 

Saya mungkin berfikir berkali-kali untuk mengambil suntikan tersebut jika membaca pamplet ini terlebih dahulu. Saya juga pernah menyiarkan beberapa artikel tentang kesan sampingan vaksin tersebut dalam blog saya yang lain. Namun, suntikan sudah diambil, harap-harap kami tidak mengalami kesan sampingan yang serius. Doktor di klinik saya mengambil cuti sakit pun ada memberitahu tentang kes orang yang mengalami sawan selepas mengambil suntikan vaksin tersebut. Katanya lagi, mungkin kerana status vaksin itu masih baru dan kesan sampingan yang dinyatakan di atas, maka vaksin ini hanya diberikan kepada orang dewasa yang berumur 18 hingga 65 tahun. 

Moga-moga kiriman ini dapat memberikan panduan kepada anda sebelum mmengambil vaksin tersebut. Tepuk dada tanya selera!




Wednesday, February 3, 2010

OBSESI 3: Basikal





Sejak minum radioaktif iodin untuk merawat penyakit hipertiroid yang saya hidapi sejak beberapa tahun lalu, badan pun sudah menjadi montel dan gebu. Kata doktor, kenaikan berat badan itu merupakan kesan pengambilan iodin itu. Katanya, metabolisme sudah kembali normal, mungkin berkurang, tidak seperti sebelumnya, metabolisme terlalu aktif sehingga berjalan sedikit pun menyebabkan badan berpeluh umpama berlari pecut 100 meter. Badan pada waktu kurus keding, sehingga ke satu tahap, badan saya hanya seberat 58 kg, walhal berat ideal saya ialah sekitar 72 kg.

Untuk mengatasi kenaikan melampau berat badan, saya dinasihati supaya melakukan senaman dengan lebih kerap dan menjaga pemakanan. Jaga makan, Alhamdulilah boleh diusahakan, tetapi bab senaman susah sikit. Susah? Susah kerana ada sikit sifat malas dan masa yang agak suntuk untuk bersenam secara konsisten. Jika pada hari minggu, mungkin tiada masalah untuk melakukan senaman, tetapi pada hari bekerja, memang tiada masa untuk berbuat demikian. Sampai di rumah pun sekitar 7 atau 7.30 malam.

Oleh itu solusi terbaik yang saya ambil adalah dengan membeli sebuah basikal mountain bike. Sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat untuk membeli basikal, tetapi hasrat itu tertangguh sehinggalah saya mendapati beberapa orang jiran membeli basikal dan mengayuhnya setiap malam mengelilingi kawasan perumahan kami. Menarik & mengiurkan!

Selang beberapa hari, saya meronda kawasan Bandar Sungai Buloh untuk mencari basikal idaman dan yang paling penting bersesuaian dengan bajet yang ada. Dengar cerita basikal yang dijual di pasaran ada yang mencecah harga puluhan ribu ringgit. Fuh, memang tidak mampu! Cukuplah sekadar basikal yang berkualiti dan sesuai dengan aktiviti yang dijalankan. Ronda, ronda, ronda, akhirnya saya singgah di sebuah kedai berhampiran dengan Masjid Sungai Buloh. Di situ ada beberapa buah kedai yag menjual basikal. Belek, belek akhirnya saya bertekad membeli basikal jenis Nexus, model Xenic. Sesuailah dengan bajet yang ada. 

Sejak beberapa hari ini, selepas solat Isyak, saya mula mengayuh basikal meredah kesejukan malam mengelilingi taman perumahan. Kadang-kadang seorang diri, kadang-kadang bertemankan beberapa orang kawan. Memang best! Baru berkayuh sekitar 30 minit, badan sudah dibasahi peluh. Yang menariknya, apabila kita mengayuh basikal, bukan sahaja anggota kaki yang "bekerja", tetapi keseluruhan anggota badan yang lain turut "bekerja". 

Setakat ini, semangat untuk mengayuh basikal amat tinggi dan mudah-mudahan obsesi terbaru ini berkekalan demi memperoleh kesihatan diri yang lebih baik.



Tuesday, August 18, 2009

SELESEMA BABI & PENAWARNYA



Mungkin banyak lagi orang yang keliru dengan pandemik (tahap 6) selesema babi @ dipopularkan oleh Kementerian Kesihatan sebagai influenza A H1N1. Saya pun kurang arif tentang penyakit tersebut. Mujur ada menerima e-mel yang memerihalkan penyakit tersebut. Dengan kematian mencecah 70 orang, dan jumlah kes ini sudah menghampiri angka 5000, dan kes baru pula sudah hampir mencecah 400 sehari, maka pengetahuan tentang penyakit ini amat-amat penting. Saya edit dan paparkan semula di blog ini untuk panduan kita bersama.

Apa itu H1N1?
Nama saintifiknya ialah viral novel influenza type A H1N1. Virus ini berasal daripada virus “avian flu” (selsema burung H5N1) yang kemudiannya telah menjangkiti babi lalu bergabung dengan “swine flu” (selesema babi yang sepatutnya hanya menjangkiti ternakan babi sahaja). Virus ini telah bermutasi untuk menyesuaikan diri di dalam “host” @ perumah yang lebih tinggi di dlm rantaian makanan, iaitu manusia. Ketika berada di dalam badan manusia, sekali lagi virus ini bermutasi untuk menjadi virus “air born” dan menjangkit daripada manusia kepada manusia yang lain.


(klik untuk besarkan imej)

Jangka Hayat Virus H1N1
Oleh sebab virus ini jenis “air born”, maka virus ini hanya boleh bertahan di udara selama 2 hingga 8 jam sahaja. Jika dalam tempoh itu virus ini tidak mendapat perumah (badan manusia), maka virus ini akan mati. Oleh hal yang demikian, bilik yang dijangkiti virus ini jika dibiarkan selama 24 jam dengan sistem pengudaraan (air ventilation) yang baik akan “bersih” daripada virus tersebut.

Asal Usul Penularan Virus H1N1
Sebenarnya terdapat penularan selesema babi (outbrake) di Amerika Syarikat sebelum terjadinya penularan di Mexico, namun penularan itu tidak dilaporkan kepada WHO. Kemungkinan penularan ini telah dikesan dan Amerika Syarikat mahu “baling batu sembunyi tangan” lalu tercetuslah penularan selesema babi di Mexico sebelum merebak ke serata dunia.

Virologi Virus H1N1
Tempoh inkubasi (incubation period) yang singkat pada purata 2 hari dengan julat 1 - 4 hari. Hal ini bermakna virus ini cepat menyerang badan manusia setelah virus ini menjangkiti pesakit. Mangsa virus ini akan menunjukkan simptom paling cepat selepas 1 hari dijangkiti, atau selewat-lewatnya pada hari ke-4. H1N1 sebenarnya ialah selsema biasa namun kepada pesakit yang berisiko, virus ini mampu menyebabkan kematian. Jika pesakit adalah seorang yang normal, virus ini hanya akan memberikan kesan seperti demam selsema biasa dan batuk.

Cara Jangkitan
Virus ini boleh tersebar melalui batuk, bersin, dan air liur. Virus ini akan menyerang sistem pernafasan (sama seperti selsema burung dan SARS). Pada peringkat awal, virus ini hanya menyerang kerongkong (trakea), namun jika tidak mendapat rawatan awal, virus ini akan menyerang paru-paru dan seterusnya menyebabkan kematian sebagai akibat kegagalan paru-paru (lung collapse).

Siapakah Golongan yang Berisiko?
1. Orang yang obes@ gemuk
2. Perempuan yang sedang mengandung
3. Orang yang menghidap penyakit asma dan penyakit berkaitan dengan saluran pernafasan
4. Orang yang mempunyai masalah dengan sistem imunisasi (misalnya, orang baru menjalani pembedahan, kanak-kanak yang belum cukup suntikan imunisasi, penghidap HIV/AIDS, dll.)
5. Orang yang menghidap penyakit kronik seperti barah, jantung, hipertensi, dan sebagainya
6. Golongan warga emas
7. Bayi dan kanak-kanak

Simptom Penyakit
Hari 1: Rasa kurang sihat, tidak bermaya
Hari 2: Selesema, batuk, dan demam (demam tidak kebah walaupun telah makan ubat)
Hari 3: Rasa kurang selesa di bahagian dada dan mengalami sesak nafas
Hari 4: Sakit dada yang teruk
Hari 5 dan ke atas: Kegagalan paryu-paru/koma

Langkah Pencegahan
1. Elakkan kawasan yang sesak/ tumpuan orang ramai.
2. Jaga kebersihan diri, basuh tangan selalu dan dengan betul, jag
a kebersihan rumah dan kawasan persekitaran.
3. Elakkan diri daripada duduk berhampiran dengan orang yang batuk, bersin, dan kurang sihat.
4. Jika berasa kurang sihat, cepat-cepat ke hospital dan kuarantinkan diri anda.
5. Pakai topeng muka.
6. Jika sihat tidak perlu ke klinik atau hospital kerana di kawasan tersebut banyak virus.
7. Jangan ambil antiviral @ apa-apa ubat influenza (selesema) jika sihat. Pengambilan tanpa sebab akan mengakibatkan badan menjadi resistan kepada vaksin @ ubat yang lain jika terkena jangkitan selesema babi.

(klik untuk besarkan imej)

Penawar Selesema Babi
Berdasarkan sumber internet:

Petua 1:
Makan sekurang-kurangnya 6 biji epal hijau dan minum jus oren. Makan setiap hari sehingga sembuh sepenuhnya. Dengan izin Allah, ikhtiar ini dikhabarkan telah berjaya menyembuhkan pesakit yang menghidap selesema babi.

Petua 2:
Rendam kurma dalam air kelapa muda selama satu @ dua jam. Kemudian, makan kurma dan minum air kelapa itu. Amalkan sehingga sembuh sepenuhnya. Berdasarkan keterangan sumber ini, petua ini telah diamalkan oleh penduduk di negara Thai.

* Sekadar petua, saya tidak bertanggungjawab terhadap keberkesanannya atau apa-apa mudarat daripada amalan tersebut.

Doa kepada Allah SWT


Thursday, June 25, 2009

INFO SELESEMA BABI (INFLUENZA A H1N1)

Sedikit info berguna tentang pandemik selesema babi (influenza A H1N1). Semoga memberikan sedikit banyak manfaat.



Tuesday, June 2, 2009

TIGA TAHUN TANPA ROKOK

31 Mei ialah hari Sambutan Tanpa Rokok Sedunia atau Hari Tanpa Tembakau Sedunia. Sudah bertahun-tahun saya tidak pernah mengambil tahu atau menghiraukan kedatangan hari tersebut. Namun, sejak tiga tahun belakangan ini, 31 Mei yang datang dan pergi lebih bermakna kerana dalam tempoh itu saya berjaya melepaskan diri daripada ketagihan rokok. Ya, percaya atau tidak sudah tiga tahun lebih saya tidak menyedut asap rokok. Suatu kejayaan yang tidak pernah termimpi/terbayang akan berjaya direalisasikan.

Namun, untuk berhenti merokok bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang ditegaskan oleh kebanyakan doktor atau pakar motivasi. Saya akui tanpa sebab tertentu, sudah tentu saya masih lagi menghisap dan menghembus asap Kretek Gudang Garam yang saban tahun menjadi “trademark” saya. Rokok umpama dadah junior kepada manusia. Ketagihan tegarnya bukanlah umpama melupakan ketagihan makan kuaci atau kacang tanah. Penangan ketagihannya membuatkan seseorang mengigil atau menghuru-harakan jiwa jika tidak menyedut asap itu dalam tempoh sejam atau mungkin kurang dari itu. Itulah penangan rokok. Itulah yang saya rasa sejak dari zaman persekolahan lagi. Atas sebab itu juga, saya secara rela dalam paksa "membakar" duit untuk membeli rokok selama berbelas-belas tahun lamanya. Tidak mahu membayangkan jumlah duit yang terpaksa dihabiskan untuk membeli rokok kerana sudah tentu duit itu mampu mendirikan sebuah banglo atau sekurang-kurangnya sebuah rumah untuk diri sendiri.

Alhamdulilah, sejak saya menghidap penyakit hipertiroid beberapa tahun yang lalu, saya berjaya melawan ketagihan rokok. Hipertiroid berlaku apabila kelenjar tiroid menghasilkan hormon tiroid secara berlebihan (klik pautan jika ingin mengetahui dengan lebih lanjut). Selain gejala yang lain, penyakit ini menyebabkan seseorang berdebar-debar. Pada peringkat awal, degupan jantung saya pernah mencecah 125 kali seminit sedangkan degupan jantung yang normal ialah 70 – 80 kali seminit. Selepas mendapatkan rawatan pakar di HUKM (masih lagi menerima rawatan-mungkin seumur hidup mendapat rawatan di situ), saya dinasihati oleh doktor agar berhenti merokok. Memang benar pun rokok boleh memarahkan lagi penyakit hipertiroid yang saya tanggung. Itulah punca saya berjaya melawan ketagihan rokok. Jika tidak kerana masalah kesihatan, saya sendiri ragu-ragu akan kemampuan psikologi diri untuk melawan ketagihan tegar tersebut.

Oleh sebab itu, saya jarang-jarang ketawakan orang apabila mereka menghisap semula rokok walaupun telah berkali-kali cuba berhenti menghisap rokok. Saya tahu bukan mudah untuk melawan ketagihan rokok. Atas sebab itu juga saya tabik “spring” kepada mereka yang berjaya berhenti menghisap rokok selepas bersusah payah melawan ketagihan tegar yang saban hari menghakis diri mereka.

Walaupun sudah tiga tahun hidup tanpa rokok, lidah dan mulut ini masih lagi terliur untuk menyedut rokok terutamanya selepas makan atau sewaktu bersama-sama dengan kawan-kawan yang merokok. Tanyalah siapa-siapa yang sudah berhenti rokok, sudah tentu situasi yang sama turut dihadapi oleh mereka. Yang penting, sesiapa yang sudah berhenti rokok perlulah kuat melawan rintihan deria rasa tersebut. Jika gagal, tidak mustahil anda akan terjebak semula dan selepas itu sudah tentu sukar untuk melupakan rokok yang akan terus menjahanamkan kesihatan diri.

Sebagai motivasi untuk anda melupakan rokok, di sini disertakan beberapa manfaat yang dapat diperoleh selepas berhenti merokok:
* Dalam sejam -Sel badan mula memperbaik diri, tekanan darah dan degupan jantung menurun
* Lapan hingga 12 jam - Paras karbon monoksida dan nikotin menurun 50 peratus
* 24 jam - Paras oksigen meningkat ke paras normal, risiko mendapat serangan jantung menurun
* 48 jam - Deria rasa dan hidu semakin baik, kesan nikotin hilang daripada badan
* Dua minggu - Peredaran darah bertambah baik dan fungsi paru-paru meningkat 30 peratus
* Empat minggu - Ketagihan nikotin hilang sepenuhnya
* Setahun - Risiko sakit jantung turun 50 peratus
* Lima tahun - Risiko strok sama dengan orang tidak merokok
* 10 tahun - Risiko kanser paru-paru kurang 30 hingga 50 peratus berbanding orang yang masih merokok
* 15 tahun - Risiko sakit jantung sama dengan orang yang tidak merokok

Selain data tentang manfaat yang diperoleh selepas berhenti rokok. Pautan di bawah ini turut memerihalkan data tentang masalah perokok, kesan merokok, dan beberapa cara untuk berhenti merokok.


Terapi henti merokok
(Harian Metro) …Berapa ramai rakyat Malaysia merokok? Jumlah perokok di kalangan orang dewasa di negara kita semakin meningkat iaitu daripada 21.5 peratus pada 1986 kepada 33 peratus pada 2006. Namun berita baiknya 70 peratus daripada perokok di negara kita ada keinginan dan pernah cuba berhenti.

Untuk berhenti merokok bukan mudah kerana ia memerlukan kesedaran, kesungguhan dan sokongan tidak berbelah bagi. Ramai menganggap kejayaan lebih tinggi jika berhenti merokok secara mengejut tetapi banyak bukti menunjukkan ramai kembali merokok selepas satu tempoh tertentu, kata Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim.

Kaedah lain yang boleh dicuba ialah terapi penggantian nikotin sama ada tampalan, gula getah nikotin, ‘rokok nikotin’, semburan hidung atau pil oral bagi menangani ketagihan terhadap nikotin. Bila perlu menggunakan pengganti nikotin? Menurut Dr Aizai, terapi ini boleh diambil apabila seseorang bertekad berhenti merokok dan ia boleh diperoleh daripada doktor atau dibeli di farmasi…” Baca lanjut di pautan ini.


Related Posts with Thumbnails