Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Google+ Followers

Google+ Badge

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Tuesday, September 21, 2010

Langkah Pertama Tanpa Bantuan


2o September, Rayyan mula berjalan tanpa bantuan. Selepas bertatih selama berbulan-bulan. Berbeza daripada Angahnya yang berjalan pada usia sembilan bulan, Ryan mengikut jejak Alongnya yang berjalan pada usia setahun dua bulan.

"Abang, tengok Ryan!" jerit isteri saya. Waktu itu Ryan sudah berjalan laju menuju ke arah ibunya lalu memeluk ibunya. Jarak Ryan dengan ibunya sekitar 10 meter.

Secara spontan, kami sekeluarga menepuk tangan. Sejak percubaan pertama itu, Ryan kini berjalan tanpa bantuan sesiapa. Dia bingkas bangun setiap kali namanya dipanggil. Yang lucunya, dia turut menggoyangkan badannya apabila melihat klip muzik di TV. Kata Along, "Abah, Ryan dah pandai menari."

Sebelum ini, Ryan akan meminta kami memimpin tangannya. Tidak kiralah di mana-mana pun.

Moga-moga langkah pertama itu menjadi prakarsa untuknya berdikari dan berjaya pada masa depan.

Saturday, September 11, 2010

Syawal ke-33


1 Syawal 1431 (10/9/10) genaplah mak saya, Hamidah Mohd Nordin (al-Fatihah), 72 hari kembali ke Rahmatullah. Setelah 32 kali menyambut Syawal dengan mak, kali ini buat pertama kalinya saya sekeluarga menyambut Aildilfitri tanpa mak. Sudah tentu, Syawal kali ini tidak semeriah sambutannya sejak 32 tahun lalu. Tiada lagi jerit pekik mak menyuruh anak-anaknya membantunya memasak rendang dan kuih-muih yang lain. Tiada lagi aksi kelam kabut mak memasang langsir dan menyediakan keperluan untuk sambutan Syawal. Tiada lagi suara mak mengejutkan kami pada pagi Syawal. Tiada lagi...terlalu banyak untuk dinyatakan.

Saya bangun awal pagi semalam. Termenung sebentar sebelum mandi dan menunaikan solat subuh. Lazimnya, arwah mak sudah bangun pada waktu itu. Sibuk dengan urusan di dapur. Kali ini, situasi itu hanya tinggal kenangan. Selesai solat sunat Aidilfitri, kami sekeluarga menziarahi kubur mak. Sayu dan syahdu. Anak-anak yang masih kecil cuba memahami sebab opah mereka "menetap" di situ. Biarpun masih terlalu kecil untuk memahaminya, namun Along agak mengerti penjelasan saya. Selesai membaca surah Yassin dan mendoakan kesejahteraan arwah, kami dengan berat hati meninggal tanah perkuburan.

Tahun ini juga adalah tahun pertama saya menyambut Aildifitri tanpa opah yang kembali ke Rahmatullah pada penghujung tahun 2009. Tanpa kedua-dua insan penting dalam hidup saya sekeluarga, sudah tentu pemergian mereka menghambarkan Aidilfitri kali ini. Namun, rutin tahunan seperti menziarahi rumah ibu dan bapa saudara tetap di

Ironinya, ada beberapa berita yang memerihalkan perlakuan kejam segelintir anak terhadap ibu dan bapa masing-masing. Ada yang menghalau ibu bapa yang dianggap menyusahkan hidup mereka. Ada juga yang enggan pulang ke kampung menjenguk orang tua yang bertungkus-lumus membesarkan mereka. Ada yang sanggup menghantar ibu bapa sendiri tinggal di rumah orang tua-tua. Beberapa hari lalu, media melaporkan fasal anak yang mengumpan bapanya yang menghuni rumah orang tua-tua dengan setin biskut supaya tidak mengikutnya pulang beraya di rumah. Sampai begitu sekali kejamnya anak! Betullah sindir peribahasa: Ibu dan bapa boleh menjaga sepuluh anak, tetapi sepuluh anak belum tentu dapat menjaga ibu bapanya pada hari tua mereka.

Orang tua-tua juga ada mengingatkan kita bahawa sudah menjadi lumrah manusia, mensia-siakan apabila sesuatu itu ada, tetapi merinduinya apabila sudah tiada. Itulah lumrah hidup. Bagi mereka yang telah kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali, perasaan "kehilangan" yang saudara-saudara semua rasai kini sudah saya selami. Kesedihan dan kerinduan saudara terhadap orang tersayang juga sudah saya alami. Sesungguhnya yang pergi itu tidak akan kembali, kita yang hidup seharusnya mendoakan kesejahteraan mereka. Semoga roh mereka sentiasa dirahmati oleh Allah SWT.

Salam Aidilfitri!


Thursday, September 9, 2010

Bosan, Lancar, & Meriah















Bosan
Ketika orang ramai sedang sibuk berkemas dan berpusu-pusu memandu kenderaan pulang ke kampung masing-masing, saya masih menghadap komputer sambil memikirkan perkara yang mahu dilakukan. Memang tiada mood untuk melakukan sebarang kerja. Maklumlah, petang tadi, hanya saya seorang staf Melayu di pejabat. Semuanya gara-gara mahu bercuti panjang selepas hari raya. Jadi terpaksalah bekerja pada hari ini. Kata orang, "bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian".

Bukan sekadar "bersusah-susah" tetapi membosankan! Tambah-tambah, dua jam pertama di pejabat, talian internet rosak.


Mujur, bos membenarkan saya pulang dua jam lebih awal. Tepat pukul 3, saya meluru keluar tanpa sempat merekodkan butiran kerja yang dilakukan hari ini (tidak buat apa-apa pun, hati dan jiwa asyik ingat Hari Lebaran). 

Lancar
Tepat pukul 4.15 petang, saya sekeluarga meninggalkan rumah dan menuju ke Kuala Kangsar. Ajaib, lalu lintas pada petang tadi lancar. Saya teka jalan agak sesak kerana mungkin ada banyak lagi warga kota yang pulang pada saat-saat akhir. Namun, Alhamdullilah petang tadi perjalanan di lebuh raya lancar dan tenang. Mungkin kesesakan yang dimaksudkan itu berlaku pada sebelah malam (malam raya).



Beberapa jam di lebuh raya, kami sampai di Kuala Kangsar. Sepanjang perjalanan, ada beberapa kemalangan kecil yang berlaku di lebuh raya. Syukur, tiada kemalangan yang serius. 

Meriah
Sebaik sahaja melalui Tol Plus Kuala Kangsar, mata saya terpegun melihat cahaya lampu kelip-kelip dan pelita panjut. Bandar Diraja kuala Kangsar terang-benderang dengan pelbagai cahaya lampu. Memang meriah suasana sewaktu dalam perjalanan tadi. Kalau sebelum ini, Kuala Kangsar memang terkenal dengan Pesta Panjutnya. Namun, sejak belakangan ini, pesta itu tidak semeriah dahulu. Agak mengejutkan apabila dalam perjalanan tadi hampir setiap rumah memasang pelita panjut dan lampu kelip-kelip. Kuala Kangsar dan kawasan sewaktunya sudah meriah kembali!



Perjalanan dari Tol Plus ke Manong sejauh 35 km memang menyeronokkan. Terimbas kenangan lalu sewaktu melalui kawasan kampung yang diterangi lampu pelita dan diselang-seli dengan cahaya pelbagai warna lampu kelip-kelip moden.



Wednesday, September 8, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

& MAAF ZAHIR DAN BATIN


DARIPADA:
KHAIRUL AISYAM
ROSLINDA MAJID
QHAIRUL DANIAL ISKANDAR
QHAIRUL DANISH MUQRI
QHAIRUL DHANI RAYYAN
* Hak Cipta Kerja Seni: Awang Purba
Related Posts with Thumbnails