Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Saturday, September 11, 2010

Syawal ke-33


1 Syawal 1431 (10/9/10) genaplah mak saya, Hamidah Mohd Nordin (al-Fatihah), 72 hari kembali ke Rahmatullah. Setelah 32 kali menyambut Syawal dengan mak, kali ini buat pertama kalinya saya sekeluarga menyambut Aildilfitri tanpa mak. Sudah tentu, Syawal kali ini tidak semeriah sambutannya sejak 32 tahun lalu. Tiada lagi jerit pekik mak menyuruh anak-anaknya membantunya memasak rendang dan kuih-muih yang lain. Tiada lagi aksi kelam kabut mak memasang langsir dan menyediakan keperluan untuk sambutan Syawal. Tiada lagi suara mak mengejutkan kami pada pagi Syawal. Tiada lagi...terlalu banyak untuk dinyatakan.

Saya bangun awal pagi semalam. Termenung sebentar sebelum mandi dan menunaikan solat subuh. Lazimnya, arwah mak sudah bangun pada waktu itu. Sibuk dengan urusan di dapur. Kali ini, situasi itu hanya tinggal kenangan. Selesai solat sunat Aidilfitri, kami sekeluarga menziarahi kubur mak. Sayu dan syahdu. Anak-anak yang masih kecil cuba memahami sebab opah mereka "menetap" di situ. Biarpun masih terlalu kecil untuk memahaminya, namun Along agak mengerti penjelasan saya. Selesai membaca surah Yassin dan mendoakan kesejahteraan arwah, kami dengan berat hati meninggal tanah perkuburan.

Tahun ini juga adalah tahun pertama saya menyambut Aildifitri tanpa opah yang kembali ke Rahmatullah pada penghujung tahun 2009. Tanpa kedua-dua insan penting dalam hidup saya sekeluarga, sudah tentu pemergian mereka menghambarkan Aidilfitri kali ini. Namun, rutin tahunan seperti menziarahi rumah ibu dan bapa saudara tetap di

Ironinya, ada beberapa berita yang memerihalkan perlakuan kejam segelintir anak terhadap ibu dan bapa masing-masing. Ada yang menghalau ibu bapa yang dianggap menyusahkan hidup mereka. Ada juga yang enggan pulang ke kampung menjenguk orang tua yang bertungkus-lumus membesarkan mereka. Ada yang sanggup menghantar ibu bapa sendiri tinggal di rumah orang tua-tua. Beberapa hari lalu, media melaporkan fasal anak yang mengumpan bapanya yang menghuni rumah orang tua-tua dengan setin biskut supaya tidak mengikutnya pulang beraya di rumah. Sampai begitu sekali kejamnya anak! Betullah sindir peribahasa: Ibu dan bapa boleh menjaga sepuluh anak, tetapi sepuluh anak belum tentu dapat menjaga ibu bapanya pada hari tua mereka.

Orang tua-tua juga ada mengingatkan kita bahawa sudah menjadi lumrah manusia, mensia-siakan apabila sesuatu itu ada, tetapi merinduinya apabila sudah tiada. Itulah lumrah hidup. Bagi mereka yang telah kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali, perasaan "kehilangan" yang saudara-saudara semua rasai kini sudah saya selami. Kesedihan dan kerinduan saudara terhadap orang tersayang juga sudah saya alami. Sesungguhnya yang pergi itu tidak akan kembali, kita yang hidup seharusnya mendoakan kesejahteraan mereka. Semoga roh mereka sentiasa dirahmati oleh Allah SWT.

Salam Aidilfitri!


0 comments:

Related Posts with Thumbnails