Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Friday, August 21, 2009

SELAMAT BERPUASA DI BULAN RAMADHAN

Tuesday, August 18, 2009

SELESEMA BABI & PENAWARNYA



Mungkin banyak lagi orang yang keliru dengan pandemik (tahap 6) selesema babi @ dipopularkan oleh Kementerian Kesihatan sebagai influenza A H1N1. Saya pun kurang arif tentang penyakit tersebut. Mujur ada menerima e-mel yang memerihalkan penyakit tersebut. Dengan kematian mencecah 70 orang, dan jumlah kes ini sudah menghampiri angka 5000, dan kes baru pula sudah hampir mencecah 400 sehari, maka pengetahuan tentang penyakit ini amat-amat penting. Saya edit dan paparkan semula di blog ini untuk panduan kita bersama.

Apa itu H1N1?
Nama saintifiknya ialah viral novel influenza type A H1N1. Virus ini berasal daripada virus “avian flu” (selsema burung H5N1) yang kemudiannya telah menjangkiti babi lalu bergabung dengan “swine flu” (selesema babi yang sepatutnya hanya menjangkiti ternakan babi sahaja). Virus ini telah bermutasi untuk menyesuaikan diri di dalam “host” @ perumah yang lebih tinggi di dlm rantaian makanan, iaitu manusia. Ketika berada di dalam badan manusia, sekali lagi virus ini bermutasi untuk menjadi virus “air born” dan menjangkit daripada manusia kepada manusia yang lain.


(klik untuk besarkan imej)

Jangka Hayat Virus H1N1
Oleh sebab virus ini jenis “air born”, maka virus ini hanya boleh bertahan di udara selama 2 hingga 8 jam sahaja. Jika dalam tempoh itu virus ini tidak mendapat perumah (badan manusia), maka virus ini akan mati. Oleh hal yang demikian, bilik yang dijangkiti virus ini jika dibiarkan selama 24 jam dengan sistem pengudaraan (air ventilation) yang baik akan “bersih” daripada virus tersebut.

Asal Usul Penularan Virus H1N1
Sebenarnya terdapat penularan selesema babi (outbrake) di Amerika Syarikat sebelum terjadinya penularan di Mexico, namun penularan itu tidak dilaporkan kepada WHO. Kemungkinan penularan ini telah dikesan dan Amerika Syarikat mahu “baling batu sembunyi tangan” lalu tercetuslah penularan selesema babi di Mexico sebelum merebak ke serata dunia.

Virologi Virus H1N1
Tempoh inkubasi (incubation period) yang singkat pada purata 2 hari dengan julat 1 - 4 hari. Hal ini bermakna virus ini cepat menyerang badan manusia setelah virus ini menjangkiti pesakit. Mangsa virus ini akan menunjukkan simptom paling cepat selepas 1 hari dijangkiti, atau selewat-lewatnya pada hari ke-4. H1N1 sebenarnya ialah selsema biasa namun kepada pesakit yang berisiko, virus ini mampu menyebabkan kematian. Jika pesakit adalah seorang yang normal, virus ini hanya akan memberikan kesan seperti demam selsema biasa dan batuk.

Cara Jangkitan
Virus ini boleh tersebar melalui batuk, bersin, dan air liur. Virus ini akan menyerang sistem pernafasan (sama seperti selsema burung dan SARS). Pada peringkat awal, virus ini hanya menyerang kerongkong (trakea), namun jika tidak mendapat rawatan awal, virus ini akan menyerang paru-paru dan seterusnya menyebabkan kematian sebagai akibat kegagalan paru-paru (lung collapse).

Siapakah Golongan yang Berisiko?
1. Orang yang obes@ gemuk
2. Perempuan yang sedang mengandung
3. Orang yang menghidap penyakit asma dan penyakit berkaitan dengan saluran pernafasan
4. Orang yang mempunyai masalah dengan sistem imunisasi (misalnya, orang baru menjalani pembedahan, kanak-kanak yang belum cukup suntikan imunisasi, penghidap HIV/AIDS, dll.)
5. Orang yang menghidap penyakit kronik seperti barah, jantung, hipertensi, dan sebagainya
6. Golongan warga emas
7. Bayi dan kanak-kanak

Simptom Penyakit
Hari 1: Rasa kurang sihat, tidak bermaya
Hari 2: Selesema, batuk, dan demam (demam tidak kebah walaupun telah makan ubat)
Hari 3: Rasa kurang selesa di bahagian dada dan mengalami sesak nafas
Hari 4: Sakit dada yang teruk
Hari 5 dan ke atas: Kegagalan paryu-paru/koma

Langkah Pencegahan
1. Elakkan kawasan yang sesak/ tumpuan orang ramai.
2. Jaga kebersihan diri, basuh tangan selalu dan dengan betul, jag
a kebersihan rumah dan kawasan persekitaran.
3. Elakkan diri daripada duduk berhampiran dengan orang yang batuk, bersin, dan kurang sihat.
4. Jika berasa kurang sihat, cepat-cepat ke hospital dan kuarantinkan diri anda.
5. Pakai topeng muka.
6. Jika sihat tidak perlu ke klinik atau hospital kerana di kawasan tersebut banyak virus.
7. Jangan ambil antiviral @ apa-apa ubat influenza (selesema) jika sihat. Pengambilan tanpa sebab akan mengakibatkan badan menjadi resistan kepada vaksin @ ubat yang lain jika terkena jangkitan selesema babi.

(klik untuk besarkan imej)

Penawar Selesema Babi
Berdasarkan sumber internet:

Petua 1:
Makan sekurang-kurangnya 6 biji epal hijau dan minum jus oren. Makan setiap hari sehingga sembuh sepenuhnya. Dengan izin Allah, ikhtiar ini dikhabarkan telah berjaya menyembuhkan pesakit yang menghidap selesema babi.

Petua 2:
Rendam kurma dalam air kelapa muda selama satu @ dua jam. Kemudian, makan kurma dan minum air kelapa itu. Amalkan sehingga sembuh sepenuhnya. Berdasarkan keterangan sumber ini, petua ini telah diamalkan oleh penduduk di negara Thai.

* Sekadar petua, saya tidak bertanggungjawab terhadap keberkesanannya atau apa-apa mudarat daripada amalan tersebut.

Doa kepada Allah SWT


Sunday, August 16, 2009

LETIH & RINDU


LETIH & RINDU. Itulah yang dirasa sebaik sahaja sampai di rumah sebentar tadi. Letih sebab baru lepas memandu dari kampung. Walaupun hanya memandu sekitar 3 jam setengah, namun letih melakukan pelbagai kerja di kampung menambahkan penat ketika memandu tadi. Rindu kerana terpaksa meninggalkan dua orang anak, Danial dan Danish di kampung. Kami anak-beranak jarang-jarang sangat berjauhan. Namun, kami terpaksa berbuat demikian kerana penularan wabak selesema babi kini terlalu serius. Mengikut laporan (16/8), jumlah keseluruhan kematian kerana wabak ini mencecah angka 62 orang. Kes baru pula sebanyak 283. Bayangkan betapa bahaya dan cepatnya penularan wabak tersebut.

Justeru, tindakan menghantar mereka ke kampung di Manong, Kuala Kangsar, mudah-mudahan dapat mengelakkan mereka daripada dijangkiti wabak ini. Kami kurang yakin dengan tahap pencegahan wabak ini di taska dan tadika. Tambahan pula, agak sukar/rasa-rasanya tidak berjaya memaksa anak-anak seusia 2-5 tahun memakai topeng muka di taska. Dengar-dengar khabar juga, banyak ibu bapa turut menghantar anak masing-masing ke kampung kerana bimbang akan penularan wabak ini. Jika keadaan beransur baik, mungkin Danial dan Danish akan berada di kampung sehingga Hari Raya Aidilfitri. Namun, jika keadaan semakin tenat, mungkin lebih lama daripada yang dirancang.

Fikir-fikir semula, biarlah rasa penat sedikit, tidak mengapalah menanggung rindu daripada membiarkan mereka berdua berhadapan dengan risiko dijangkiti wabak ini di taska dan tadika. Biarlah mereka belajar di rumah nenek mereka. Sekurang-kurangnya kami tidak lagi rasa kurang selesa dan tidak sedap hati apabila memikirkan keselamatan mereka ketika di pejabat.

Harap-harap wabak ini dapat ditangani secepat mungkin. Harap-harap pihak yang bertanggungjawab melakukan sesuatu yang drastik untuk menyekat penularannya dan bukan hanya mengharapkan kesedaran orang ramai semata-mata! Harap-harap kita semua dilindungi Allah SWT daripada wabak pemyakit ini.



Saturday, August 8, 2009

PENAWAR DENGGI: PENGALAMAN PERIBADI

Tatkala masyarakat tengah panik dengan pandemik selesema babi, saya ingin berkongsi pengalaman tentang penyakit demam denggi. Walaupun negara sedang sibuk dengan selesema babi, namun hakikatnya kematian berkaitan dengan demam denggi terus meningkat dari hari ke hari.

Saya pernah menghidap penyakit yang berbahaya ini sekitar tahun 2006. Pada waktu itu, saya menetap di kawasan Kota Damansara, kawasan yang hampir setiap hari disembur dengan asap nyamuk. Memang hari-hari terasa berdebar apabila mendengar mesin asap itu berbunyi di sekitar rumah.


Hari keempat saya menghidap demam panas yang teruk barulah saya pergi ke Poliklinik Sungai Buloh untuk membuat pemeriksaan dan mendapatkan rawatan. Sebelum ke situ, saya mendapatkan rawatan di klinik swasta. Selepas disahkan dijangkiti virus denggi, baru saya sedar bahawa penyakit yang saban hari diberitakan di tv akhirnya menjangkiti diri sendiri. Saya dimasukkan ke Pusat Kusta Sg Buloh (Hospital Sg Buloh belum dibuka pada waktu itu). Sembilan hari saya ditahan di wad itu. Yang "istimewanya", wad yang saya huni turut menempatkan beberapa banduan dari Penjara Sungai Buloh. Selain bergari, mereka dikawal oleh lebih kurang 10 orang anggota polis.

Semasa di wad, saya diberitahu bahawa denggi tiada ubat. Saya dinasihati supaya minum air dengan banyak. Menurut jururawat, itulah sahaja cara terbaik untuk sembuh. Dari 3 botol air bersaiz 1.5 liter sehinggalah 14 botol air mineral dan 100 Plus saya teguk sehari. Kekerapan ke tandas janganlah cerita. Selang berapa minit sahaja perlu ke tandas. Sampai suatu tahap, doktor pun berasa pelik kerana sampai 14 botol air diminum sehari pun platelet darah tetap menurun. Bermula dari 60 waktu mula-mula dimasukkan ke hospital, platelet darah terus menjunam sehingga ke paras 20.

Secara terus terang, sebelum kena penyakit ini, saya memang memandang remeh tentang bahayanya. Namun, apabila hampir-hampir dimasukkan ke Wad ICU di Hospital Selayang, barulah saya sedar betapa bahayanya penyakit ini. Jururawat yang bertugas ada memberitahu jika platelet darah jatuh di bawah paras 20, saya perlu mendapatkan rawatan di Wad ICU Hospital Selayang. Waktu itu memang sangat takut dan berdebar.

Namun, syukur Allahamdullilah, seorang kawan, iaitu Kak Zaiton Abu Samah ada menghantar SMS tentang khasiat SUP KETAM. Sepantas kilat saya menelefon isteri, lalu menyuruh dia memasak dan membawakan SUP KETAM ke hospital. Walaupun tidak berselera (salah satu tanda demam denggi - tersangat-sangat kurang selera makan, selain demam panas yang kuat, muntah-muntah, pening melampau, dan bintik-bintik merah pada kulit), saya teguk juga SUP KETAM itu sehingga habis. Siang malam, SUP KETAMlah yang saya hirup.

Berkat dan dengan izin Allah, keesokkan petangnya platelet yang sekitar 20 lebih itu naik mendadak hingga 140. Waktu itu hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa bersyukurnya saya kerana tidak perlu bertarung nyawa di Wad ICU Hospital Selayang. Sehari lepas itu, saya dibenarkan pulang ke rumah. Jadi, kepada sesiapa yang menghidap atau saudara mara yang diserang demam denggi, cuba-cubalah makan SUP KETAM, moga-moga dengan izin Allah, anda dan saudara mara anda juga dapat sembuh dengan segera. Mudah-mudahan. Insya-Allah!
Related Posts with Thumbnails