Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Google+ Followers

Google+ Badge

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Saturday, May 16, 2009

15 MEI 2009 = 32

15 Mei 2009, genaplah umur saya 32 tahun. Tiada kek, tiada parti hebat, hanya ucapan hari lahir daripada keluarga dan kawan-kawan serta jamuan kecil bersama-sama dengan anak-anak dan isteri di kedai ala carte berhampiran dengan rumah. Ringkas dan seperti kebiasaan. Dari usia kecil memang saya tidak pernah menyambut hari kelahiran sendiri. Mungkin kerana sudah biasa tidak menyambutnya maka saya memang tidak kisah atau teringin untuk berbuat seperti yang dilakukan oleh orang lain. Membeli kek, meniup lilin, atau mengadakan jamuan untuk tetamu yang dijemput. Cukuplah sekadar apa-apa yang dinyatakan di atas. Bukanlah suatu kebiasaan kepada orang kampung macam saya untuk berbuat demikian. Biarlah anak-anak saja yang menikmati cara begitu untuk menyambut hari lahir mereka. Cara yang dimaksudkan bukanlah yang berunsur hiburan semata-mata, tetapi berisi dengan doa dan majlis kesyukuran kepada Tuhan.

SELAMAT HARI DIBERANAKKAN KEPADA SESIAPA YANG MENYAMBUTNYA PADA BULAN MEI INI.

SEMOGA ANDA DIPANJANGKAN USIA DAN DIMURAHKAN REZEKI.
MUDAH-MUDAHAN!

Thursday, May 7, 2009

MISI SELESAI

Semalam berakhirlah pencarian "template" untuk kedua-dua blog saya. Selepas beberapa kali memuat naik beberapa "templates" akhirnya saya berjaya menemukan dua "templates" yang sesuai untuk kedua-dua blog saya. Sebelum berjaya, habis tonggeng-langgang fungsi dan susun atur di kedua-dua blog. Terkial-kial saya membetulkan semula.

Semoga dengan adanya "template: baru ini, saya lebih bersemangat mengemas kini dan berkongsi cerita dan pendapat dengan rakan pembaca. Walaupun cerita tidak segah dan sehebat orang lain, namun pengalaman dan pandangan kita sentiasa berbeza. Diharapkan apa-apa yang ditulis dapat memberikan manfaat dan mungkin inspirasi kepada orang lain.

Tuesday, May 5, 2009

TERUJA & TERKESIMA

Akhirnya, saya berjaya mencari "template" yang sesuai dengan blog ini. Teruja dan terkesima apabila berjaya memuatnaikkan "template" ini bagi menggantikan "template" asas sebelum ini. Itulah reaksi pertama. Warna dan rekaannya memperlihatkan kebanyakan unsur yang dapat menggambarkan cita rasa saya. Oleh sebab terlalu teruja, sampai pukul 1.00 pagi saya menambah baik pautan dan menambah fungsi blog ini. .

Monday, May 4, 2009

TROFI PERTAMA DANISH


Agak lewat untuk berkongsi cerita tentang Danish. Lewat kerana perkhidmatan internet di pejabat sering rosak. Bosan dengan situasi itu, akhirnya saya mengambil keputusan untuk melanggan perkhidmatan jalur lebar. Perasaan kagum dan teruja menguasai diri. Sebagai akibatnya, pada hari pertama menikmati kemudahan internet di rumah, hampir pukul 3 pagi baru saya tidur. Qhairul Danish Muqri. Baru berusia 2 tahun 10 bulan, tetapi sudah cukup memeningkan kepala mamanya. Sedikit nakal namun mendamaikan hati sesiapa yang melayan kerenahnya.


Pada 26 April yang lalu, Tadika Islam & Taska Islam al–Razi mengadakan acara sukan tahunannya. Murid dari empat buah cawangan tadika dan taska al-Razi bergabung untuk memeriahkan hari sukan yang dianjurkan oleh pihak pengurusan tadika. Lokasi hari sukan tersebut di Tadika Islam al-Razi di Kuang, Sungai Buloh. Letaknya tadika itu betul-betul dalam kawasan kampung dan sedikit tersorok.

Yang kelakarnya, isteri saya terlupa mengambil pelan untuk ke tadika tersebut. Nyaris-nyaris kami tidak tersesat sehingga ke Rawang. Kebetulan pula jalan di kawasan Kuang itu boleh tembus ke Sungai Buloh dan Rawang. Selepas beberapa kali bertanya, akhirnya kami berjaya sampai ke tadika tersebut. Suasana meriah. Banyak juga ibu bapa yang hadir. Namun, yang betul-betul merasai kemeriahan tersebut ialah murid-murid comel tadika dan taska yang lengkap dengan pakaian sukan masing-masing. Ada yang terlampau bersemangat, ada yang sedih dan ada yang menangis. Kira-kira 60 orang murid pelbagai usia mengambil bahagian. Acara yang diadakan pula dibahagikan mengikut usia murid.




Selepas selesai mendaftar, juruacara majlis mengumumkan acara perbarisan murid. Ada empat kumpulan murid. Masing-masing mewakili rumah masing-masing: rumah biru, rumah kuning, rumah merah, dan rumah hijau. Danish Muqri mewakili rumah merah. Baru saja beratur, Danish mula menangis untuk mendapatkan mamanya. Namun setelah dipujuk oleh cikgunya, Danish kembali tenang. Saya dan isteri kembali ke tempat duduk. Kami duduk di barisan belakang. Takut-takut Danish akan kembali menangis jika ternampak kelibat kami sekeluarga. Gara-gara menyorok daripada Danish, akhirnya saya terpaksa mengambil gambar dari jarak jauh atau dari posisi/arah belakang. Gambar kurang menarik, tetapi itulah cara yang terbaik. Abangnya, Danial Iskandar pula berasa sedikit “jeolous” melihat adiknya bersama rakan-rakan yang lain berbaris untuk masuk ke padang. Saya memujuk dengan mengatakan bahawa tadikanya (Tadika Anggun Bestari) akan mengadakan hari sukan sedikit masa lagi.

Selepas selesai acara perbarisan, acara untuk murid umur 2 tahun dijalankan. Kalau tidak silap ada lima acara yang dijalankan. Bermacam-macam gelagat dapat disaksikan. Yang kelakar, apabila ada sesetengah murid yang mengambil bahagian berlari ke arah ibu bapa masing-masing. Kelam kabut petugas menenangkan murid-murid kecil tersebut. Situasi jelas menggambarkan kepayahan dan tahap kesabaran yang perlu dizahirkan oleh guru-guru tadika. Jika tidak sabar, memang tidak boleh menjadi guru tadika.



Acara yang ditunggu-tunggukan oleh kami sekeluarga akhirnya diumumkan. Seperti juga untuk murid dua tahun, acara untuk murid tiga tahun juga melibatkan 5 acara sukan. Danish terlibat dalam dua acara: acara mengutip bola lalu memasukkan ke dalam bakul dan acara memindahkan belon berisi air ke dalam bakul. Bagi acara pertama, Danish berjaya mendapat tempat pertama. Sambil mengambil gambar dari jauh, aku bangga apabila hero nakal aku ini berjaya mengalahkan peserta lain. Bagi acara kedua, entah di mana silapnya, Danish mendapat tempat tercorot. Memang Danish nampak terkial-kial dalam acara kedua berbanding dengan acara pertama. Mungkin tidak cukup latihan atau mungkin tidak memahami arahan yang disampaikan oleh petugas. Namun, saya tetap gembira kerana dia berjaya menamatkan acara tersebut walaupun tertinggal sedikit di belakang. Secara keseluruhannya, rumah merah mendapat tempat kedua. Yang menariknya, semua murid sama ada kalah atau menang mendapat hadiah masing-masing. Semua murid juga menerima trofi kejohanan. Tindakan pengurusan tadika ini wajar dipuji kerana dapat menaikkan semangat kanak-kanak kecil yang baru mula belajar tentang erti kekalahan dan kemenangan.


Namun, hadiah yang diperoleh tidaklah begitu penting. Yang penting kanak-kanak seusia itu dapat menunjukkan bakat dan kemampuan mereka pada usia yang masih muda. Mereka dapat belajar bersaing dan mengenal erti menang atau kalah dalam hidup mereka. Mungkin kekalahan atau kemenangan yang pertama atau kedua dan ketiga bagi mereka. Pengalaman bersaing ini juga akan menjadi salah satu rencah kehidupan pada masa akan datang. Apabila bersaing sudah tentu ada menang dan ada kalah. Oleh itu, bermula dari sinilah kanak-kanak kecil ini perlu diajar bahawa kalah tidak semestinya menutup peluang untuk berjaya pada masa akan datang. Mereka juga perlu diberitahu agar bangkit daripada kekalahan. Mungkin pandangan ini nampak terlalu berat untuk dilaksanakan. Budak usia 2-6 tahun, bagaimana mereka hendak memahami erti kekalahan atau bangkit daripada kekalahan? Sebenarnya, cukuplah jika kita dapat mengungkap: “lain kali cuba lagi”, “tahun depan adik boleh cuba lagi”, “tak apa, adik boleh cuba lagi nanti” dan sebagainya sebagai permulaan untuk menaikkan semangat anak-anak. Justeru, sebagai bapa saya mengharapkan kemenangan dan kekalahan yang diperoleh Danish dapat menjadi permulaan untuknya belajar tentang persaingan dan berusaha untuk berjaya dalam hidup.



SEMANGAT YANG HILANG...

Sejak beberapa tahun belakangan ini, penghujung bulan April ialah hari yang dinanti-nantikan oleh staf di tempat aku bekerja. Bukan sekadar untuk menyambut Hari Buruh pada keesokan harinya, tetapi hari terakhir bulan tersebut ialah hari taukeh berkongsi sekelumit keuntungan syarikat kepada kakitangan yang telah bekerja keras untuk memajukan syarikat. Ada yang sudah suku abad mengabdikan diri untuk membangunkan dan memajukan syarikat. Daripada sekadar lulus PMR sehinggalah yang bergelar intelektual.

Berdasarkan khabar angin yang tersebar dalam kalangan staf, tahun ini pihak syarikat bermurah hati untuk memberikan dua bulan bonus. Ramalan itu dibuat berasaskan cakap-cakap bahawa jualan produk syarikat meningkat walaupun ekonomi negara kian terhimpit dengan kegawatan ekonomi dunia. Telahan itu ada juga benarnya berdasarkan kemampuan pihak syarikat membeli berbelas buah kereta jenama antarabangsa dan tempatan untuk kegunaan jurujual syarikat. Walaupun kereta yang digunakan sebelum ini masih lagi berfungsi dengan baik, namun pihak pengurusan mengambil keputusan membeli kereta baru dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini. Hal ini turut disokong dengan hasil jualan produk dalam pesta buku antarabangsa yang diadakan di PWTC tempoh hari. Berdasarkan pemerhatian, memang jualan pada tahun ini agak kencang. Itulah untungnya bagi pengusaha syarikat penerbitan, ekonomi gawat tetapi orang masih membeli produk mereka. Namun saya dan beberapa staf yang lain lebih realisitik, kami yakin pihak syarikat akan memberikan sebulan bonus. Kelembapan ekonomi akan dijadikan alasan untuk mempengaruhi jumlah bonus tersebut.

Buku akademik pada hari ini sudah dianggap sebagai salah satu keperluan asasi manusia. Bagi ibu bapa yang menyedari betapa pentingnya ilmu akan berusaha sedaya mungkin untuk membeli buku agar dapat menjadi santapan minda anak-anak. Biarlah baju atau tayar kereta mereka tidak berganti, tetapi mereka akan memastikan anak-anak mereka mendapat keperluan yang mencukupi untuk mengasah minda demi menempah kejayaan pada kemudian hari. Oleh itu, bukanlah sesuatu yang pelik apabila syarikat penerbitan masih mengaut keuntungan walaupun ekonomi tidak menentu. Yang menjejaskan pendapatan syarikat-syarikat ini ialah persaingan yang wujud dalam kalangan pengusaha dalam bidang ini. Oleh itu, kunci kejayaan untuk menguasai pasaran ialah keyakinan pelanggan. Jika produk yang dihasilkan cukup meyakinkan maka produk tersebut akan laris seperti pisang panas. Keyakinan ini pula berasaskan mutu dan kandungan produk, persembahan produk, dan strategi jualan. Lengkap dengan kesemua pakej yang dinyatakan, maka tidak hairanlah jika syarikat ini mampu menjadi peneraju pasaran buku akademik pada ketika ini.

Namun, pagi 31 April amat menghambarkan. Ramalan dan telahan yang dibuat jauh terpesong. Kakitangan yang sememangnya mengharapkan satu-satunya insentif daripada syarikat berasa hampa. Semuanya gara-gara jumlah bonus setengah bulan yang terpampang pada slip gaji. Bagi jurujual, mereka menerima pelbagai insentif, namun bagi staf yang lain itulah insentif yang diharap-harapkan. Bagi yang bercadang untuk balik ke kampung terpaksa membatalkan hasrat tersebut pada saat-saat akhir. Ada yang berangan-angan untuk membeli barangan idaman terpaksa melupakan hasrat tersebut. Bermacam-macam rungutan kedengaran. Antaranya termasuklah: “dahlah gaji sikit, bonus pun sikit”. Bagi menyedapkan hati, kedengaran pula kata-kata manis yang memberikan sedikit harapan kepada staf. Kunun-kununnya, sebanyak sebulan gaji bonus akan diberikan dalam tempoh beberapa bulan lagi. Itupun jika syarikat mencapai target jualan yang ditetapkan. Secara peribadi, saya sememangnya tidak pernah mengharap dan tidak pernah menaruh kepercayaan pada target-target yang ditetapkan oleh syarikat. Bagi sebuah syarikat yang memperoleh pendapatan puluhan juta ringgit setahun, apalah sangat dengan nilai sebulan atau dua bulan bonus bagi membalas keringat dan pengorbanan staf. Hakikatnya, "tukang masak" seperti kami dianggap tidak begitu penting di "restoran" ini, sebaliknya "tukang cuci" dan "pelayan" (terutamanya) lebih bernasib baik.

Walau bagaimanapun, sedikit atau banyak, sekelumit pemberian itu tetap rezeki halal untuk kami semua! Saya tetap bersyukur walaupun menanggung beban seberat gunung rasa kecewa. Justeru, Hari Buruh kali ini amat mendukacitakan dan memudarkan semangat yang ada. Namun pada masa yang sama, saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI BURUH kepada semua yang bergelar buruh.


Related Posts with Thumbnails