Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Monday, May 4, 2009

SEMANGAT YANG HILANG...

Sejak beberapa tahun belakangan ini, penghujung bulan April ialah hari yang dinanti-nantikan oleh staf di tempat aku bekerja. Bukan sekadar untuk menyambut Hari Buruh pada keesokan harinya, tetapi hari terakhir bulan tersebut ialah hari taukeh berkongsi sekelumit keuntungan syarikat kepada kakitangan yang telah bekerja keras untuk memajukan syarikat. Ada yang sudah suku abad mengabdikan diri untuk membangunkan dan memajukan syarikat. Daripada sekadar lulus PMR sehinggalah yang bergelar intelektual.

Berdasarkan khabar angin yang tersebar dalam kalangan staf, tahun ini pihak syarikat bermurah hati untuk memberikan dua bulan bonus. Ramalan itu dibuat berasaskan cakap-cakap bahawa jualan produk syarikat meningkat walaupun ekonomi negara kian terhimpit dengan kegawatan ekonomi dunia. Telahan itu ada juga benarnya berdasarkan kemampuan pihak syarikat membeli berbelas buah kereta jenama antarabangsa dan tempatan untuk kegunaan jurujual syarikat. Walaupun kereta yang digunakan sebelum ini masih lagi berfungsi dengan baik, namun pihak pengurusan mengambil keputusan membeli kereta baru dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini. Hal ini turut disokong dengan hasil jualan produk dalam pesta buku antarabangsa yang diadakan di PWTC tempoh hari. Berdasarkan pemerhatian, memang jualan pada tahun ini agak kencang. Itulah untungnya bagi pengusaha syarikat penerbitan, ekonomi gawat tetapi orang masih membeli produk mereka. Namun saya dan beberapa staf yang lain lebih realisitik, kami yakin pihak syarikat akan memberikan sebulan bonus. Kelembapan ekonomi akan dijadikan alasan untuk mempengaruhi jumlah bonus tersebut.

Buku akademik pada hari ini sudah dianggap sebagai salah satu keperluan asasi manusia. Bagi ibu bapa yang menyedari betapa pentingnya ilmu akan berusaha sedaya mungkin untuk membeli buku agar dapat menjadi santapan minda anak-anak. Biarlah baju atau tayar kereta mereka tidak berganti, tetapi mereka akan memastikan anak-anak mereka mendapat keperluan yang mencukupi untuk mengasah minda demi menempah kejayaan pada kemudian hari. Oleh itu, bukanlah sesuatu yang pelik apabila syarikat penerbitan masih mengaut keuntungan walaupun ekonomi tidak menentu. Yang menjejaskan pendapatan syarikat-syarikat ini ialah persaingan yang wujud dalam kalangan pengusaha dalam bidang ini. Oleh itu, kunci kejayaan untuk menguasai pasaran ialah keyakinan pelanggan. Jika produk yang dihasilkan cukup meyakinkan maka produk tersebut akan laris seperti pisang panas. Keyakinan ini pula berasaskan mutu dan kandungan produk, persembahan produk, dan strategi jualan. Lengkap dengan kesemua pakej yang dinyatakan, maka tidak hairanlah jika syarikat ini mampu menjadi peneraju pasaran buku akademik pada ketika ini.

Namun, pagi 31 April amat menghambarkan. Ramalan dan telahan yang dibuat jauh terpesong. Kakitangan yang sememangnya mengharapkan satu-satunya insentif daripada syarikat berasa hampa. Semuanya gara-gara jumlah bonus setengah bulan yang terpampang pada slip gaji. Bagi jurujual, mereka menerima pelbagai insentif, namun bagi staf yang lain itulah insentif yang diharap-harapkan. Bagi yang bercadang untuk balik ke kampung terpaksa membatalkan hasrat tersebut pada saat-saat akhir. Ada yang berangan-angan untuk membeli barangan idaman terpaksa melupakan hasrat tersebut. Bermacam-macam rungutan kedengaran. Antaranya termasuklah: “dahlah gaji sikit, bonus pun sikit”. Bagi menyedapkan hati, kedengaran pula kata-kata manis yang memberikan sedikit harapan kepada staf. Kunun-kununnya, sebanyak sebulan gaji bonus akan diberikan dalam tempoh beberapa bulan lagi. Itupun jika syarikat mencapai target jualan yang ditetapkan. Secara peribadi, saya sememangnya tidak pernah mengharap dan tidak pernah menaruh kepercayaan pada target-target yang ditetapkan oleh syarikat. Bagi sebuah syarikat yang memperoleh pendapatan puluhan juta ringgit setahun, apalah sangat dengan nilai sebulan atau dua bulan bonus bagi membalas keringat dan pengorbanan staf. Hakikatnya, "tukang masak" seperti kami dianggap tidak begitu penting di "restoran" ini, sebaliknya "tukang cuci" dan "pelayan" (terutamanya) lebih bernasib baik.

Walau bagaimanapun, sedikit atau banyak, sekelumit pemberian itu tetap rezeki halal untuk kami semua! Saya tetap bersyukur walaupun menanggung beban seberat gunung rasa kecewa. Justeru, Hari Buruh kali ini amat mendukacitakan dan memudarkan semangat yang ada. Namun pada masa yang sama, saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI BURUH kepada semua yang bergelar buruh.


0 comments:

Related Posts with Thumbnails