Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Wednesday, February 3, 2010

OBSESI 3: Basikal





Sejak minum radioaktif iodin untuk merawat penyakit hipertiroid yang saya hidapi sejak beberapa tahun lalu, badan pun sudah menjadi montel dan gebu. Kata doktor, kenaikan berat badan itu merupakan kesan pengambilan iodin itu. Katanya, metabolisme sudah kembali normal, mungkin berkurang, tidak seperti sebelumnya, metabolisme terlalu aktif sehingga berjalan sedikit pun menyebabkan badan berpeluh umpama berlari pecut 100 meter. Badan pada waktu kurus keding, sehingga ke satu tahap, badan saya hanya seberat 58 kg, walhal berat ideal saya ialah sekitar 72 kg.

Untuk mengatasi kenaikan melampau berat badan, saya dinasihati supaya melakukan senaman dengan lebih kerap dan menjaga pemakanan. Jaga makan, Alhamdulilah boleh diusahakan, tetapi bab senaman susah sikit. Susah? Susah kerana ada sikit sifat malas dan masa yang agak suntuk untuk bersenam secara konsisten. Jika pada hari minggu, mungkin tiada masalah untuk melakukan senaman, tetapi pada hari bekerja, memang tiada masa untuk berbuat demikian. Sampai di rumah pun sekitar 7 atau 7.30 malam.

Oleh itu solusi terbaik yang saya ambil adalah dengan membeli sebuah basikal mountain bike. Sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat untuk membeli basikal, tetapi hasrat itu tertangguh sehinggalah saya mendapati beberapa orang jiran membeli basikal dan mengayuhnya setiap malam mengelilingi kawasan perumahan kami. Menarik & mengiurkan!

Selang beberapa hari, saya meronda kawasan Bandar Sungai Buloh untuk mencari basikal idaman dan yang paling penting bersesuaian dengan bajet yang ada. Dengar cerita basikal yang dijual di pasaran ada yang mencecah harga puluhan ribu ringgit. Fuh, memang tidak mampu! Cukuplah sekadar basikal yang berkualiti dan sesuai dengan aktiviti yang dijalankan. Ronda, ronda, ronda, akhirnya saya singgah di sebuah kedai berhampiran dengan Masjid Sungai Buloh. Di situ ada beberapa buah kedai yag menjual basikal. Belek, belek akhirnya saya bertekad membeli basikal jenis Nexus, model Xenic. Sesuailah dengan bajet yang ada. 

Sejak beberapa hari ini, selepas solat Isyak, saya mula mengayuh basikal meredah kesejukan malam mengelilingi taman perumahan. Kadang-kadang seorang diri, kadang-kadang bertemankan beberapa orang kawan. Memang best! Baru berkayuh sekitar 30 minit, badan sudah dibasahi peluh. Yang menariknya, apabila kita mengayuh basikal, bukan sahaja anggota kaki yang "bekerja", tetapi keseluruhan anggota badan yang lain turut "bekerja". 

Setakat ini, semangat untuk mengayuh basikal amat tinggi dan mudah-mudahan obsesi terbaru ini berkekalan demi memperoleh kesihatan diri yang lebih baik.



0 comments:

Related Posts with Thumbnails