Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Sunday, October 24, 2010

Subjek Sejarah Wajib Lulus SPM Mulai 2013 dan Subjek Teras di Sekolah Rendah Mulai 2014



Subjek Sejarah bakal dijjadikan subjek wajib lulus di peringkat SPM mulai 2013 dan menjadi subjek teras di sekolah rendah mulai 2014. Langkah ini diambil bertitik tolak daripada pandangan pemimpin politik bahawa ada sesetengah kaum/parti politik di negara ini kurang kesedaran/pemahaman tentang sejarah pembinaan negara, kontrak sosial, asal usul dan kedudukan institusi kesultanan, Perlembagaan, dan sebagainya.


Bagi saya, langkah itu wajar disokong walaupun pelaksanaannya didasarkan oleh desakan politik. Walhal tanpa desakan politik, rakyat pelbagai kaum di negara ini wajib memahami proses pembinaan Malaysia, dan perkara-perkara yang dinyatakan di atas. Pemahaman yang mendalam terhadap aspek penting sejarah negara diharapkan dapat melahirkan generasi bangsa Malaysia yang benar-benar menerapkan nilai Malaysia (bahasa kebangsaan, sekolah kebangsaan dll) dalam diri dan kehidupan sehari-hari.

Namun, dalam masa yang sama, penambahbaikkan teks Sejarah perlu telus dan bertanggungjawab agar tidak dijadikan medium untuk menafikan hak kaum lain sebagai warganegara sah. Penggubalan buku teks perlu dilakukan dengan jujur dan bersumberkan fakta yang jelas agar peristiwa atau fakta sejarah tidak diputarbelitkan atau dimanipulasi untuk kepentingan sesetengah pihak. Hal ini demikian kerana subjek Sejarah tidak sama dengan subjek Sains yang ditulis berdasarkan uji kaji atau teori yang boleh dibuktikan kebenarannya. Buku Sejarah pula ditulis berdasarkan sumber sejarah yang sudah tentu boleh diubah suai oleh penulis/pihak tertentu untuk kepentingan sesetengah pihak. Selain itu, pelaksanaan dan pengajaran subjek ini di sekolah juga perlu dilakukan dengan telus dan bertanggungjawab.

Jika subjek Sejarah diperkasakan di sekolah atas alasan yang dinyatakan di atas, kita sewajarnya bertanya: mengapa subjek Agama Islam dan Pendidikan Moral tidak dijadikan subjek penting sama ada di sekolah menengah atau di sekolah rendah? Dengan pelbagai macam gejala sosial yang melanda remaja sehingga memaksa kerajaan Melaka mewujudkan Sekolah Harapan dan sebagainya, maka perlukah alasan lain untuk memperkasakan kedua-dua subjek berkenaan di kedua-dua peringkat pengajian.

Dalam sibuk-sibuk kerajaan mahu memastikan warganegara memahami sejarah negara, jangan lupa jati diri dan sahsiah pelajar perlu diperkasakan agar penularan pelbagai elemen negatif yang berunsurkan Barat dan budaya hedonisme dapat disekat.

Berita berkaitan:

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu adalah sama seperti langkah menjadikan mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat untuk mendapatkan sijil SPM.

‘‘Selaras dengan pandangan yang telah dikemukakan oleh sebahagian besar jurucakap dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini, saya ingin mengumumkan bahawa Kementerian Pelajaran memutuskan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus.

‘‘Pada masa ini di peringkat sekolah menengah, ia adalah mata pelajaran yang wajib diambil oleh setiap pelajar tetapi tidak wajib lulus,’’ katanya ketika menggulung perbahasan pada perhimpunan berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Menurut Muhyiddin, 2013 dipilih bagi melaksanakan langkah itu berikutan kementerian memerlukan masa untuk melatih guru dan menyediakan pelajar bagi menghadapi sistem baru berkenaan supaya mereka tidak terkejut.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), maka mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek teras di sekolah rendah mulai 2014.

‘‘Seperti yang telah dibangkitkan oleh wakil Perak dan Kedah, di peringkat sekolah rendah pada masa ini elemen sejarah hanya diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan langkah menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan kaedah pentaksiran berasaskan sekolah akan dimulakan pada 2014 iaitu dua tahun lebih awal daripada tarikh asal ditetapkan.
‘Kita akan mulakan lebih awal kerana ada tuntutan daripada perwakilan UMNO supaya ia disegerakan tetapi kita perlu ada tempoh masa untuk menyiapkan usaha bagi melatih semula guru dan sebagainya,” katanya.

Mengenai langkah meningkatkan jumlah pelajar yang mengikuti pendidikan teknik dan vokasional, beliau berkata, peruntukan pembangunan sebanyak RM340 juta untuk tujuan itu di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) adalah tidak mencukupi dan akan ditambah pada masa depan.

Selain itu juga, katanya, kerajaan akan menambah dua sekolah menengah pendidikan vokasional khusus untuk pelajar kurang upaya pendengaran, penglihatan dan yang menghadapi masalah pembelajaran.

Tambah beliau, kerajaan juga akan meneliti saranan Pergerakan Wanita UMNO ketika perhimpunan itu supaya kerajaan mengkaji semula keseluruhan sistem pendidikan negara.
‘‘Saya bersetuju bahawa sudah sampai masanya satu laporan baru dikeluarkan tentang cara kita menambah baik sistem pendidikan negara pada masa akan datang,’’ katanya.




0 comments:

Related Posts with Thumbnails