Dua puluh tahun lalu, harga getah hanya sekitar RM0.80 sekilogram. Paling tinggi pun harga getah hanya mencecah RM1.50 sekilogram. Hari ini akhbar melaporkan harga getah SMR 20 mencecah RM11.90. Dengan harga setinggi itu, pekebun kecil RISDA mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM3 000 sebulan. Lumayan!
Pendapatan sebanyak itu jauh lebih tinggi daripada upah yang diterima oleh sesetengah pemegang ijazah dalam sektor swasta. Jangan pelik dan terkejut kerana ada pemegang ijazah yang bekerja lebih lima tahun tetapi gaji yang diterima oleh mereka belum lagi mencecah RM2 ribu sebulan. Oleh sebab saya terlibat dalam sektor penerbitan, maka saya berikan contoh yang berkaitan dengan nasib pemegang ijazah yang terlibat dalam bidang ini. Sebuah syarikat penerbitan buku silibus terkenal menetapkan RM1 400 sebagai gaji permulaan kepada pemegang ijazah. Dengan kenaikan gaji sekitar RM100 -RM120 setahun, cuba anda bayangkan gaji mereka setelah lima tahun bekerja? Walhal pendapatan syarikat tersebut mencecah puluhan juta setahun.
Saya kira harga bagi getah biasa juga agak tinggi sekarang. Berbaloilah dengan penat lelah penoreh getah ditambah pula mereka terpaksa menghadapi "serangan" nyamuk dan pacat setiap kali berada di kebun getah. Tidak seperti dahulu, harga getah agak rendah kerana saingan getah sintetik dan faktor-faktor lain. Bagi yang menoreh getah sendiri, sudah tentu kenaikan harga getah ini amat menggembirakan mereka. Begitu juga penoreh yang mengambil upah menoreh getah di kebun orang lain, sekurangnya-kurangnya banyaklah duit yang dapat diperoleh. Jika pemilik kebun itu bermurah hati, penoreh akan menerima pembahagian hasil 6:4, kalau tidak pun 5:5, namun banyak juga pemilik hanya bersetuju dengan pembahagian 4:6 (pemilik dapat 6).
Saya pernah menjadi penoreh getah sambilan sewaktu kecil dahulu. Pada waktu itu, kanak-kanak berusia 9 - 11 tahun sudah pandai menoreh getah. Saya mula menoreh getah pada usia 10 tahun. Kali terakhir saya berbuat demikian adalah pada usia 19 tahun yang lazimnya saya lakukan pada musim cuti semesta universiti. Sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, aktiviti utama kebanyakan penduduk di kampung saya ialah bersawah padi dan menoreh getah. Jadi bukanlah sesuatu yang janggal apabila kanak-kanak pada waktu itu sudah melakukan kerja yang agak berat demi membantu keluarga.
Ayah saya menguruskan kebun getah pusaka. Ada kira-kira 120 pokok getah di kebun kami. Kebun kecil. Seminggu sekali, getah akan dikutip sebelum dijual di kedai berdekatan. Untuk seminggu, seingat saya, kami memperoleh satu guni setengah getah buku. Sebanyak itu, kami memperoleh antara RM50 hingga RM60. Nilai itu memanglah jauh berbeza daripada nilai yang yang diperoleh penoreh getah hari ini, namun hasil getah itu sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan harian yang lain.
Harga komoditi bukanlah sentiasa mahal, dan sudah tentu bukanlah sentiasa murah. Harganya tidak menentu. Kadang-kadang mahal, kadang-kadang murah. Semuanya bergantung pada keperluan dan harga pasaran dunia. Jadi peribahasa ada mengingatkan kita, "ingat sebelum kena, jimat sebelum habis". Sementara memperoleh hasil yang cukup lumayan, janganlah pula lupa diri, janganlah pula jalan mendongak kepala, lihat ke bawah takut-takut kaki tersadong akar pokok!
0 comments:
Post a Comment