Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Google+ Followers

Google+ Badge

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Monday, May 4, 2009

TROFI PERTAMA DANISH


Agak lewat untuk berkongsi cerita tentang Danish. Lewat kerana perkhidmatan internet di pejabat sering rosak. Bosan dengan situasi itu, akhirnya saya mengambil keputusan untuk melanggan perkhidmatan jalur lebar. Perasaan kagum dan teruja menguasai diri. Sebagai akibatnya, pada hari pertama menikmati kemudahan internet di rumah, hampir pukul 3 pagi baru saya tidur. Qhairul Danish Muqri. Baru berusia 2 tahun 10 bulan, tetapi sudah cukup memeningkan kepala mamanya. Sedikit nakal namun mendamaikan hati sesiapa yang melayan kerenahnya.


Pada 26 April yang lalu, Tadika Islam & Taska Islam al–Razi mengadakan acara sukan tahunannya. Murid dari empat buah cawangan tadika dan taska al-Razi bergabung untuk memeriahkan hari sukan yang dianjurkan oleh pihak pengurusan tadika. Lokasi hari sukan tersebut di Tadika Islam al-Razi di Kuang, Sungai Buloh. Letaknya tadika itu betul-betul dalam kawasan kampung dan sedikit tersorok.

Yang kelakarnya, isteri saya terlupa mengambil pelan untuk ke tadika tersebut. Nyaris-nyaris kami tidak tersesat sehingga ke Rawang. Kebetulan pula jalan di kawasan Kuang itu boleh tembus ke Sungai Buloh dan Rawang. Selepas beberapa kali bertanya, akhirnya kami berjaya sampai ke tadika tersebut. Suasana meriah. Banyak juga ibu bapa yang hadir. Namun, yang betul-betul merasai kemeriahan tersebut ialah murid-murid comel tadika dan taska yang lengkap dengan pakaian sukan masing-masing. Ada yang terlampau bersemangat, ada yang sedih dan ada yang menangis. Kira-kira 60 orang murid pelbagai usia mengambil bahagian. Acara yang diadakan pula dibahagikan mengikut usia murid.




Selepas selesai mendaftar, juruacara majlis mengumumkan acara perbarisan murid. Ada empat kumpulan murid. Masing-masing mewakili rumah masing-masing: rumah biru, rumah kuning, rumah merah, dan rumah hijau. Danish Muqri mewakili rumah merah. Baru saja beratur, Danish mula menangis untuk mendapatkan mamanya. Namun setelah dipujuk oleh cikgunya, Danish kembali tenang. Saya dan isteri kembali ke tempat duduk. Kami duduk di barisan belakang. Takut-takut Danish akan kembali menangis jika ternampak kelibat kami sekeluarga. Gara-gara menyorok daripada Danish, akhirnya saya terpaksa mengambil gambar dari jarak jauh atau dari posisi/arah belakang. Gambar kurang menarik, tetapi itulah cara yang terbaik. Abangnya, Danial Iskandar pula berasa sedikit “jeolous” melihat adiknya bersama rakan-rakan yang lain berbaris untuk masuk ke padang. Saya memujuk dengan mengatakan bahawa tadikanya (Tadika Anggun Bestari) akan mengadakan hari sukan sedikit masa lagi.

Selepas selesai acara perbarisan, acara untuk murid umur 2 tahun dijalankan. Kalau tidak silap ada lima acara yang dijalankan. Bermacam-macam gelagat dapat disaksikan. Yang kelakar, apabila ada sesetengah murid yang mengambil bahagian berlari ke arah ibu bapa masing-masing. Kelam kabut petugas menenangkan murid-murid kecil tersebut. Situasi jelas menggambarkan kepayahan dan tahap kesabaran yang perlu dizahirkan oleh guru-guru tadika. Jika tidak sabar, memang tidak boleh menjadi guru tadika.



Acara yang ditunggu-tunggukan oleh kami sekeluarga akhirnya diumumkan. Seperti juga untuk murid dua tahun, acara untuk murid tiga tahun juga melibatkan 5 acara sukan. Danish terlibat dalam dua acara: acara mengutip bola lalu memasukkan ke dalam bakul dan acara memindahkan belon berisi air ke dalam bakul. Bagi acara pertama, Danish berjaya mendapat tempat pertama. Sambil mengambil gambar dari jauh, aku bangga apabila hero nakal aku ini berjaya mengalahkan peserta lain. Bagi acara kedua, entah di mana silapnya, Danish mendapat tempat tercorot. Memang Danish nampak terkial-kial dalam acara kedua berbanding dengan acara pertama. Mungkin tidak cukup latihan atau mungkin tidak memahami arahan yang disampaikan oleh petugas. Namun, saya tetap gembira kerana dia berjaya menamatkan acara tersebut walaupun tertinggal sedikit di belakang. Secara keseluruhannya, rumah merah mendapat tempat kedua. Yang menariknya, semua murid sama ada kalah atau menang mendapat hadiah masing-masing. Semua murid juga menerima trofi kejohanan. Tindakan pengurusan tadika ini wajar dipuji kerana dapat menaikkan semangat kanak-kanak kecil yang baru mula belajar tentang erti kekalahan dan kemenangan.


Namun, hadiah yang diperoleh tidaklah begitu penting. Yang penting kanak-kanak seusia itu dapat menunjukkan bakat dan kemampuan mereka pada usia yang masih muda. Mereka dapat belajar bersaing dan mengenal erti menang atau kalah dalam hidup mereka. Mungkin kekalahan atau kemenangan yang pertama atau kedua dan ketiga bagi mereka. Pengalaman bersaing ini juga akan menjadi salah satu rencah kehidupan pada masa akan datang. Apabila bersaing sudah tentu ada menang dan ada kalah. Oleh itu, bermula dari sinilah kanak-kanak kecil ini perlu diajar bahawa kalah tidak semestinya menutup peluang untuk berjaya pada masa akan datang. Mereka juga perlu diberitahu agar bangkit daripada kekalahan. Mungkin pandangan ini nampak terlalu berat untuk dilaksanakan. Budak usia 2-6 tahun, bagaimana mereka hendak memahami erti kekalahan atau bangkit daripada kekalahan? Sebenarnya, cukuplah jika kita dapat mengungkap: “lain kali cuba lagi”, “tahun depan adik boleh cuba lagi”, “tak apa, adik boleh cuba lagi nanti” dan sebagainya sebagai permulaan untuk menaikkan semangat anak-anak. Justeru, sebagai bapa saya mengharapkan kemenangan dan kekalahan yang diperoleh Danish dapat menjadi permulaan untuknya belajar tentang persaingan dan berusaha untuk berjaya dalam hidup.



1 comments:

Hairi said...

u rite bro, anak-anak perlu sentiasa dimotivasikan.

Related Posts with Thumbnails