LETIH & RINDU. Itulah yang dirasa sebaik sahaja sampai di rumah sebentar tadi. Letih sebab baru lepas memandu dari kampung. Walaupun hanya memandu sekitar 3 jam setengah, namun letih melakukan pelbagai kerja di kampung menambahkan penat ketika memandu tadi. Rindu kerana terpaksa meninggalkan dua orang anak, Danial dan Danish di kampung. Kami anak-beranak jarang-jarang sangat berjauhan. Namun, kami terpaksa berbuat demikian kerana penularan wabak selesema babi kini terlalu serius. Mengikut laporan (16/8), jumlah keseluruhan kematian kerana wabak ini mencecah angka 62 orang. Kes baru pula sebanyak 283. Bayangkan betapa bahaya dan cepatnya penularan wabak tersebut.
Justeru, tindakan menghantar mereka ke kampung di Manong, Kuala Kangsar, mudah-mudahan dapat mengelakkan mereka daripada dijangkiti wabak ini. Kami kurang yakin dengan tahap pencegahan wabak ini di taska dan tadika. Tambahan pula, agak sukar/rasa-rasanya tidak berjaya memaksa anak-anak seusia 2-5 tahun memakai topeng muka di taska. Dengar-dengar khabar juga, banyak ibu bapa turut menghantar anak masing-masing ke kampung kerana bimbang akan penularan wabak ini. Jika keadaan beransur baik, mungkin Danial dan Danish akan berada di kampung sehingga Hari Raya Aidilfitri. Namun, jika keadaan semakin tenat, mungkin lebih lama daripada yang dirancang.
Fikir-fikir semula, biarlah rasa penat sedikit, tidak mengapalah menanggung rindu daripada membiarkan mereka berdua berhadapan dengan risiko dijangkiti wabak ini di taska dan tadika. Biarlah mereka belajar di rumah nenek mereka. Sekurang-kurangnya kami tidak lagi rasa kurang selesa dan tidak sedap hati apabila memikirkan keselamatan mereka ketika di pejabat.
Harap-harap wabak ini dapat ditangani secepat mungkin. Harap-harap pihak yang bertanggungjawab melakukan sesuatu yang drastik untuk menyekat penularannya dan bukan hanya mengharapkan kesedaran orang ramai semata-mata! Harap-harap kita semua dilindungi Allah SWT daripada wabak pemyakit ini.
0 comments:
Post a Comment