Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Thursday, June 18, 2009

PEMERGIAN SAHABAT LAMA: Nor Hazizan Talib

Sedang sibuk-sibuk menguruskan hal anak-anak di rumah, saya menerima dua pesanan ringkas. Satu daripada Abang Adnan Majid dan satu lagi daripada keluarga Nor Hazizan Talib. Rupa-rupanya sahabat lama semasa berkhidmat di DBP dahulu sudah kembali ke rahmatullah pada pukul 6 petang tadi. Umur Allahyarham Nor Hazizan Talib dalam lingkungan 49 tahun dan punca kematiannya masih belum diketahui. Terkejut dan sedih. Walhal kami ada berbual melalui telefon beberapa minggu yang lalu. Berbual seperti biasa sambil bergurau senda. Tidak ada apa-apa tanda yang menunjukkan Allahyarham sakit.

Semasa di DBP dahulu, kami sama-sama bekerja di Bahagian Majalah. Allahyarham mengendalikan majalah Dewan Bahasa dan Jurnal Bahasa. Kami pernah bersama-sama mengendalikan jurnal Antarabangsa Dunia Melayu, dan jurnal Kanun: Jurnal Undang-undang Malaysia. Walaupun perbezaan usia yang agak jauh (lebih kurang 17 tahun) namun beliau berlagak seperti orang muda, sempoi dan bersahaja. Seorang yang suka berlawak dan baik hati.

Selepas saya meninggalkan DBP, beliau juga turut meninggalkan Bahagian Majalah selepas memperoleh ijazah sarjana dalam bidang teater. Kalau tidak silap, sebelum meninggal dunia, Allahyarham berkhidmat di Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan, Jabatan Sastera.

Kepada keluarga Allahyarham, semoga tabah menghadapi dugaan. Salam takziah daripada kami sekeluarga. Kami mendoakan semoga roh Allahyarham dicucurkan rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al fatihah.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails