Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Showing posts with label pengalaman. Show all posts
Showing posts with label pengalaman. Show all posts

Sunday, August 22, 2010

"Bang, botol tu Shell tak bagi guna."


Minyak motor hampir kering. Stesen minyak yang paling hampir adalah di Saujana Utama. Hendak ke sana, perjalanan memakan masa kira-kira 10 minit (13 km). Takut minyak tidak cukup, mahu tidak mahu, saya perlu ke sana dengan menaiki kereta.

Saya bawa botol plastik yang biasanya digunakan untuk mengisi air. Botol tersebut samalah jenisnya dengan gambar di sebelah. Bezanya, botol yang saya bawa itu agak kecil sedikit.

Ada dua stesen minyak di situ. Shell dan Petronas. Antara kedua-duanya, Shell yang paling hampir. Saya ke sana untuk "tapau" minyak petrol.

Sampai di stesen minyak itu, saya keluarkan botol dari kereta. Dari jauh, saya nampak petugas di kaunter melihat gerak-geri saya. Ketika di kaunter, seperti sudah tahu-tahu saya mahu "menapau" minyak, petugas (remaja lelaki) menunjukkan sebuah tin.

"Bang nak isi minyak?"

"Ya."
"Bang pakai tin ini," kata remaja itu sambil mengunjukkan tin tersebut.

Saya kata, "Tak pa, aku ada bawa botol."

"Lagipun aku dah pernah pakai tin itu," saya tambah. Saya mengelak untuk menggunakan tin itu kerana penutupnya agak tajam, dan tangan saya pernah luka kerana menggunakan tin itu.

"Bang, Shell tak bagi pakai botol itu!"

"Oh, ye ke?!" Saya menjawab sambil terkedu.

"Kalau macam tu, aku pergi tempat lainlah."

Saya masuk ke kereta, dalam keadaan yang terkejut, tertanya-tanya, sehingga tidak berselra untuk berhujah lanjut dengan petugas stesen tersebut, sambil memikirkan sebab botol yang saya bawa itu tidak boleh diisi minyak di stesen berkenaan.

Sampai di Petronas, saya terus ke kaunter sambil menghulurkan duit RM5. Tanpa banyak soal, petugas dengan senyuman yang menawan mengucapkan terima kasih dan meminta saya mengisi minyak. Tidak timbul soal botol yang saya gunakan.

Dalam hati, "Lepas ini aku tak pergi dah stesen minyak itu."

Saya tidak pasti sama ada arahan itu daripada pihak Shell atau pemilik stesen berkenaan. Yang pasti, peristiwa malam itu membuatkan saya tertanya-tanya sebab botol itu tidak boleh digunakan untuk mengisi minyak. Sedangkan botol itu agak tebal dan lazimnya digunakan orang untuk mengisi minyak. Adakah larangan itu sengaja dibuat kerana pemilik mahu menjual tin (mudah karat) kepada pengguna yang mahu "menapau" minyak di stesen berkenaan?

Saya faham soal keselamatan jika alasan itu digunakan oleh mereka. Saya agak rasional jika mereka melarang saya menggunakan botol air mineral, plastik, atau botol lain yang agak nipis dan kurang selamat.



Saturday, June 5, 2010

Wayang Pertama


Petang tadi, saluran Star Movies menayangkan cerita The Rocketeer. Filem ini ditayangkan sekitar tahun 1991 dan dibintangi oleh Bill Campbell dan Jennifer Connelly. Waktu filem ini ditayangkan saya berada di tingkatan dua.

Apa yang menarik tentang cerita ini? Sebenarnya, filem ini ialah filem pertama yang saya tonton di panggung wayang. Orang yang membawa saya menonton filem ini ialah Pak Lang (Maraddin aka Din Laksa).

Seperti biasa, pengalaman pertama merupakan sesuatu yang sukar dilupakan. Pertama kali melangkah ke panggung wayang merupakan pengalaman yang menarik. Yalah, pertama kali menonton cerita pada skrin besar, sistem bunyi yang kuat, sudah pastilah mengujakan diri. Sebelum itu, saya hanya mendengar pengalaman kawan-kawan yang pernah menonton wayang. Tidak disangka-sangka, Pak Lang yang banyak berjasa kepada saya bermurah hati membawa saya bersiar-siar dan menonton wayang.

Bagi yang sudah lupa akan cerita ini, bolehlah rujuk pautan ini.

Monday, March 29, 2010

Mahu Berhutang? Sila Berhutang Dahulu...




Sebelum ini saya ada menulis tentang pengalaman seorang sahabat yang ingin membuat pinjaman peribadi di bank. Dua hari yang lepas saya ada bertemu dengannya. Berborak di lokasi yang sama, menu yang sama, hairan bin ajaib cerita pun sama.

Tidak payah sentuhlah cerita lain. Yang ingin saya kongsikan bersama adalah tentang permohonannya untuk meminjam di beberapa buah bank ditolak gara-gara dia tidak pernah berhutang. Pada pertemuan yang lalu, saya ada mencadangkan kepadanya untuk memohon di sebuah bank antarabangsa. Namun, permohonannya turut ditolak kerana tiada CCRIS. Pelik? Jangan pelik itu hakikat. Tiada CCRIS, maka sukar untuk anda untuk membuat pinjaman bank. 

Apa itu CCRIS? Betulkah ejaan/akronimnya begitu? Saya pun tidak begitu pasti. Kata sahabat saya itu, CCRIS ialah rekod/maklumat "hutang" anda. Daripada maklumat CCRIS, pihak bank dapat menilai kelancaran dan keupayaan anda menjelaskan hutang yang ditanggung. Harap apa-apa yang ditulis ini menepati maksud dan fungsi CCRIS itu.

Sahabat saya tidak pernah berhutang. Maksudnya, dia tidak mempunyai kad kredit, tidak membiayai pinjaman rumah/kereta/motosikal, dan sebagainya. Rumah dan kenderaan dibeli menggunakan nama isterinya yang merupakan kakitangan kerajaan. Motosikal yang ditungangnya setiap hari dibeli secara tunai. 

Memang banyak pasangan yang berkahwin akan menggunakan nama isteri@suami yang bekerja di sektor awam untuk membiayai pinjaman perumahan dan kenderaan. Sebab apa? Sebab semua urusan berkaitan dengan pinjaman@bank akan menjadi mudah jika pemohonnya ialah kakitangan kerajaan. Malah, tidak melampau saya katakan kakitangan kerajaan dilayan umpama VIP jika membuat sebarang permohonan di bank (bukan cemburu, tetapi realiti). Bagi yang ingin membeli rumah, sudah tentu pinjaman menggunakan loan kerajaan menjadi pilihan ramai. Bunganya rendah.

"Jadi, apa solusi yang diberikan oleh pihak bank?" tanya saya sambil memikirkan cara untuk membantunya. 

"Orang bank itu suruh aku apply kad kredit, kalau berjaya, lepas 6 bulan apply semula loan," katanya dengan nada yang hampa.

"Gila! Nak berhutang kena berhutang dulu...."

Saya tambah, "Sekarang memang payah hendak buat loan. Kakitangan kerajaan memanglah senang giler nak buat buat loan di mana-mana bank. Bagi pekerja swasta, ada bank yang menetapkan gaji pokok minimum sebanyak RM6000 (kalau gaji dah banyak ini, tidaklah sesak sangat hendak buat pinjaman bank), ada yang menetapkan RM3000, ada yang menetapkan RM2800, ada juga yang aku dengar menetapkan RM2500 gaji pokok sebagai kelayakan untuk membuat pinjaman. Itu baru bab gaji belum bab lain. Lagi teruk, ada bank yang tidak menawarkan loan untuk kakitangan swasta." 

Saya cuba menghubungi beberapa orang kawan untuk bertanya tentang pengalaman mereka memohon pinjaman peribadi. Dua tiga orang kawan saya hubungi. Hasilnya agak positif. Seorang kawan memberitahu ada dua buah bank yang memberikan pinjaman tanpa mementingkan CCRIS dan tidak menetapkan gaji pokok yang tinggi. Namun, dia tidak pasti sama ada bank-bank tersebut masih menggunakan polisi tersebut. Namun yang pasti, bunga yang bakal dikenakan agak tinggi. 

Sahabat saya itu yang mungkin agak kecewa dengan keadaan yang dihadapi hanya mengangguk dengan cadangan saya itu. Katanya, dia akan mencuba buat kali terakhir. Jika gagal, dia akan melupakan niatnya untuk membuat pinjaman peribadi di mana-mana bank.

Memang GILA...nak BERHUTANG kena BERHUTANG dahulu!


Tuesday, March 23, 2010

Kota Damansara Dilanda Ribut

Semalam, Kota Damansara dan kawasan sekitarnya dilanda ribut. Langit yang gelap sekitar pukul 3 petang bertukar menjadi hujan lebat, diikuti angin yang kencang. Suasana menjadi gelap gelita. Angin bertiup kencang. Tiang bendera di depan pejabat ini bagaikan hendak tercabut dari tempatnya. Hujan lebat dan ribut kecil itu berakhir sekitar pukul 5.30 petang.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, tidak kurang daripada 15 batang pokok tumbang di tepi jalan. Ranting pokok bertebaran di tepi dan di tengah jalan. Sampah sarap juga berselerak di sana sini.

Yang paling saya kasihan apabila ada beberapa buah rumah kongsi pekerja Indonesia/asing di sekitar Taman Sains Selangor 1 ini rosak kerana "dibalun" oleh ribut kecil tadi. Kawasan rumah kongsi itu pula ditakungi air seperti dilanda banjir kecil. Sudah tentu susah untuk melelapkan mata pada malam tadi.

Sesekali Allah menguji. Itu baru ribut kecil, belum lagi diuji dengan kejadian alam yang lebih dashyat. Sangat menginsafkan diri!

Thursday, February 25, 2010

Susahnya Hendak Buat Pinjaman Bank...




Semalam, saya sempat berborak dengan kawan lama. Masing-masing bercerita tentang kehidupan, kerjaya, dan masalah politik negara. Kawan saya itu bekerja sebagai editor di sebuah syarikat penerbitan. Ketika rancak berborak, dia mengeluh. Katanya, "Susah betul nak buat pinjaman bank." Tambahnya, "Kalau kerja swasta, tambah pulak gaji tidak sebesar mana, memang payah nak buat personal loan". Saya hanya mengiyakan sahaja walaupun tidak pernah ada pengalaman membuat pinjaman peribadi di mana-mana bank.

Ada bank (bank tempatan) yang hanya menawarkan pinjaman peribadi kepada individu yang menerima gaji minimum RM3 ribu, ada juga yang menawarkan pinjaman kepada individu bergaji serendah RM2.8 ribu. Bagaimana pula dengan individu yang bergaji lebih rendah daripada jumlah itu? Namun ada juga bank yang tidak "sekejam" itu. Saya cadangkan kepada kawan saya itu supaya mencuba membuat pinjaman di sebuah bank antarabangsa yang khabarnya tidak meletakkan syarat yang begitu ketat. Hendak ke bank yang menggunakan nama "rakyat" pun agak payah jika kita bukan kakitangan awam. 

Jadi, senyap-senyap saya terfikir: "Patutlah banyak orang yang terperangkap dalam jerat ah long!" Bayangkan dalam kegawatan ekonomi (walaupun dikhabarkan ekonomi semakin pulih-retorik!) banyak syarikat swasta menawarkan gaji yang agak rendah kepada lepasan ijazah. Jangan terkejut ada lepasan universiti hanya menerima gaji serendah RM1200 sebulan. Malah ada sesetengah syarikat penerbitan (buku akademik) hanya menawarkan gaji RM1400 sebulan (memang tidak berhati perut) kepada lepasan ijazah sedangkan syarikat-syarikat tersebut sudah berdekad-dekad beroperasi dan tidak terjejas walaupun negara berhadapan dengan masalah kegawatan ekonomi. Sebab apa? Sebab buku dan bahan bacaan sudah menjadi "keperluan asasi" terkini manusia. Bagi ibu bapa (terutama di bandar dan sedar akan kepentingan ilmu) sanggup tidak membeli motosikal baru, kereta baru, baju baru, telefon baru, dll semata-mata mahu membelikan buku rujukan terbaik untuk anak-anaknya. 

Jadi bagi yang berminat mencari pekerjaan dalam bidang penerbitan (buku bukan majalah kormesial), carilah rezeki di syarikat yang benar-benar menghargai ilmu dan kelulusan anda. Bagi yang sudah berpengalaman, anda mungkin tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan gaji yang agak tinggi. Ada orang persoal, "Biasalah, baru kerja gaji pun mestilah sikit." Saya jawab, "Kau sanggup menerima gaji yang lebih rendah daripada pengawal keselamatan sedangkan kau ada ijazah dan kelulusan yang lain?" Saya tambah: "Apalah salahnya mereka menawarkan gaji yang agak tinggi memadailah dengan kesukaran kerja dan pendapatan syarikat yang rata-ratanya hampir mencecah 100 juta setahun. Berbanding kerja editor majalah, buku, novel, editor buku akademiklah yang paling sukar." Tidak percaya? Cuba! Saya sudah hampir sepuluh tahun dalam industri ini, jadi saya tahu serba sedikit pancaroba dan cacamarba dunia penerbitan. 

Dengan gaji serendah itu, tambahan pula pihak bank menetapkan gaji minimum sebanyak RM 3 ribu untuk melayakkan individu membuat pinjaman peribadi, maka di mana lagi individu yang mempunyai masalah kewangan ingin mendapatkan "pertolongan"? Bercerita tentang gaji, saya ada terbaca iklan sebuah syarikat pembekal pengawal keselamatan yang menggajikan warga asing terutama dari Nepal. Khabarnya, pengawal keselamatan warga asing ini menerima gaji sebanyak RM1600 sebulan. Lumayan!

Perbualan kami tamat selepas masing-masing menghabiskan mi goreng dan secawan teh tarik. Biarpun menghadapi masalah, namun perbualan hampir satu jam itu memberikan sedikit harapan untuk meringankan beban yang ditanggungnya.



Related Posts with Thumbnails