Sebelum ini saya ada menulis tentang pengalaman seorang sahabat yang ingin membuat pinjaman peribadi di bank. Dua hari yang lepas saya ada bertemu dengannya. Berborak di lokasi yang sama, menu yang sama, hairan bin ajaib cerita pun sama.
Tidak payah sentuhlah cerita lain. Yang ingin saya kongsikan bersama adalah tentang permohonannya untuk meminjam di beberapa buah bank ditolak gara-gara dia tidak pernah berhutang. Pada pertemuan yang lalu, saya ada mencadangkan kepadanya untuk memohon di sebuah bank antarabangsa. Namun, permohonannya turut ditolak kerana tiada CCRIS. Pelik? Jangan pelik itu hakikat. Tiada CCRIS, maka sukar untuk anda untuk membuat pinjaman bank.
Apa itu CCRIS? Betulkah ejaan/akronimnya begitu? Saya pun tidak begitu pasti. Kata sahabat saya itu, CCRIS ialah rekod/maklumat "hutang" anda. Daripada maklumat CCRIS, pihak bank dapat menilai kelancaran dan keupayaan anda menjelaskan hutang yang ditanggung. Harap apa-apa yang ditulis ini menepati maksud dan fungsi CCRIS itu.
Sahabat saya tidak pernah berhutang. Maksudnya, dia tidak mempunyai kad kredit, tidak membiayai pinjaman rumah/kereta/motosikal, dan sebagainya. Rumah dan kenderaan dibeli menggunakan nama isterinya yang merupakan kakitangan kerajaan. Motosikal yang ditungangnya setiap hari dibeli secara tunai.
Memang banyak pasangan yang berkahwin akan menggunakan nama isteri@suami yang bekerja di sektor awam untuk membiayai pinjaman perumahan dan kenderaan. Sebab apa? Sebab semua urusan berkaitan dengan pinjaman@bank akan menjadi mudah jika pemohonnya ialah kakitangan kerajaan. Malah, tidak melampau saya katakan kakitangan kerajaan dilayan umpama VIP jika membuat sebarang permohonan di bank (bukan cemburu, tetapi realiti). Bagi yang ingin membeli rumah, sudah tentu pinjaman menggunakan loan kerajaan menjadi pilihan ramai. Bunganya rendah.
"Jadi, apa solusi yang diberikan oleh pihak bank?" tanya saya sambil memikirkan cara untuk membantunya.
"Orang bank itu suruh aku apply kad kredit, kalau berjaya, lepas 6 bulan apply semula loan," katanya dengan nada yang hampa.
"Gila! Nak berhutang kena berhutang dulu...."
Saya tambah, "Sekarang memang payah hendak buat loan. Kakitangan kerajaan memanglah senang giler nak buat buat loan di mana-mana bank. Bagi pekerja swasta, ada bank yang menetapkan gaji pokok minimum sebanyak RM6000 (kalau gaji dah banyak ini, tidaklah sesak sangat hendak buat pinjaman bank), ada yang menetapkan RM3000, ada yang menetapkan RM2800, ada juga yang aku dengar menetapkan RM2500 gaji pokok sebagai kelayakan untuk membuat pinjaman. Itu baru bab gaji belum bab lain. Lagi teruk, ada bank yang tidak menawarkan loan untuk kakitangan swasta."
Saya cuba menghubungi beberapa orang kawan untuk bertanya tentang pengalaman mereka memohon pinjaman peribadi. Dua tiga orang kawan saya hubungi. Hasilnya agak positif. Seorang kawan memberitahu ada dua buah bank yang memberikan pinjaman tanpa mementingkan CCRIS dan tidak menetapkan gaji pokok yang tinggi. Namun, dia tidak pasti sama ada bank-bank tersebut masih menggunakan polisi tersebut. Namun yang pasti, bunga yang bakal dikenakan agak tinggi.
Sahabat saya itu yang mungkin agak kecewa dengan keadaan yang dihadapi hanya mengangguk dengan cadangan saya itu. Katanya, dia akan mencuba buat kali terakhir. Jika gagal, dia akan melupakan niatnya untuk membuat pinjaman peribadi di mana-mana bank.
Memang GILA...nak BERHUTANG kena BERHUTANG dahulu!
0 comments:
Post a Comment