5 Mac
Hari mak saya menjalani pembedahan untuk membuang tumor di saluran hempedunya. Pembedahan yang berlangsung selama 12 jam itu bermula pada pukul 7 pagi dan berakhir pada jam 7 malam. Rumit dan berisiko. Mungkin inilah punca dua buah hospital swasta menolak kes ini. Alhamdullilah, pembedahan itu berjaya biarpun masih ada 10 peratus tumor yang tidak dapat dibuang kerana melekat di saluran darah.
6 Mac
Hari lahir ibu saya yang ke-54. Ayat yang tidak akan saya lupakan yang diucapkan oleh mak sebelum pembedahan itu ialah: "Mak operate 5hb Mac, 6hb Mac tu hari jadi mak". Berderau darah apabila beliau bercakap sedemikian rupa. Namun, alhamdullilah, semuanya selamat.
7hb Mac - 23hb Mac
Biarpun pembedahan itu berjaya, namun risikonya cukup tinggi. Dari High Dependency Wad (HDW), mak saya dimasukkan ke Cardiac Care Unit (CCU) kerana degupan jantungnya tidak stabil. Hampir seminggu beliau sedar-tidak sedarkan diri di wad itu. Kata doktor, mak saya terkena jangkitan kuman. Beliau susah untuk bernafas. Sepanjang minggu itu, semua adik-beradik berkumpul di Sg Buloh. Selain berdoa dan mendirikan solat hajat, kami juga menganjurkan majlis bacaan Yassin untuk mak.
Selepas seminggu di CCU, mak saya dpindahkan ke Intensive Care Unit (ICU). Degupan jantungnya sudah agak stabil. Namun, beliau masih sukar bernafas. Kata doktor paru-parunya pula berair dan terkena jangkitan kuman. Hampir 5 hari beliau berjuang di wad itu.
Sejak 3 hari lepas, mak saya dipindahkan semula ke HDW. Hari ini beliau sudah boleh makan dan minum sendiri. Tiada lagi wayar di badannya. Tiada lagi mesin mengepam oksigen di sisinya. Tiada lagi mesin yang memantau degupan jantung, tekanan darah, dan paru-parunya. Mak saya sudah sedar sepenuhnya. Percakapannya sudah seperti sedia kala. Cuma, doktor sedang berusaha membuang "nanah" dari luka di dalam perutnya. Namun, kata doktor, keadaan itu tidak membimbangkan. Selain nanah, mak saya mengalami kesukaran untuk berdiri dan berjalan. Hampir dua minggu, beliau tidak makan makanan pepejal. Mungkin itu punca yang membuatkan badannya lemah dan sukar untuk berdiri/berjalan.
Biar apa-apa pun, syukur Alhamdullilah, setakat ini, semuanya selamat!
0 comments:
Post a Comment