Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Monday, May 10, 2010

Suntikan Vaksin Selesema Babi (H1N1) dan Kesan Sampingannya: Pengalaman Peribadi




Pagi tadi, saya dan isteri mengambil vaksin selesema babi di Poliklinik Kesihatan Kelana Jaya. Sebelum itu, saya ada membuat panggilan ke beberapa buah klinik berdekatan, namun semua klinik meminta saya membuat janji temu sebelum mengambil suntikan tersebut. Hanya di Poliklinik Kelana Jaya yang memberikan suntikan terus tanpa melalui sesi janji temu.

Lebih kurang pukul 9.30 pagi, kami sampai di klinik tersebut. Saya bertanya kepada petugas di kaunter tentang prosidur untuk mengambil suntikan tersebut. Jururawat itu menyuruh saya mendaftarkan diri di Kaunter 1. Selepas menyerahkan kad pengenalan, nama kami berdua dipanggil. Seperti biasa, kami dikehendaki membayar RM1 ringgit seorang. Selepas itu, petugas di kaunter tersebut menyuruh kami ke bilik khas untuk mengambil suntikan tersebut. Tiada pemeriksaan doktor terlebih dahulu sebelum mengambil suntikan. 

Di bilik tersebut, beberapa orang staf dari jabatan kerajaan sedang berbaris untuk menerima suntikan. Seorang demi seorang menerima suntikan tersebut. Saya dan isteri menyerahkan kad pengenalan sekali lagi kepada jururawat di situ. Nama kami didaftarkan. Sejurus selepas itu, nama saya dipanggil untuk menerima suntikan. 

Sebelum jarum menusuk kulit di bahu kiri saya, terkeluar kata-kata pertanyaan, "Apa kesan sampingan suntikan ini?" Jururawat itu menjawab sambil bertanya, "Encik hendak baca dahulu pamplet tentang kesan sampingannya atau encik hendak ambil suntikan dahulu?". Saya tanpa berfikir panjang berkata, "Suntiklah dahulu!" 

Memang terasa sakit sedikit semasa jarum menusuk ke dalam bahagian bahu. Berbeza daripada sakit suntikan biasa. Mungkin perasaan saya melebih-lebihkan sakit tersebut. Selepas beberapa ketika, bahagian yang disuntik tadi berdenyut-denyut dan terasa panas sedikit. Selepas sejam, badan mula rasa lenguh-lenguh dan keletihan. Kepala berat dan pening sedikit. Kesan ini berlarutan sehingga beberapa jam. Saya mengambil cuti sakit di sebuah klinik. Badan rasa kurang sihat. 

Selepas makan tengah hari, kami sekeluarga tidur. Sehingga sekarang, selepas 7 jam menerima suntikan, badan masih lenguh-lenguh dan tempat suntikan masih lagi terasa sengal. Tiada kesan sampingan lain setakat ini. Mudah-mudahan kami berdua tidak mengalami kesan sampingan yang teruk. 

Kesan sampingan pengambilan vaksin H1N1 (seperti tertera pada pamplet yang diberikan oleh petugas di Poliklinik Kelana Jaya) 

Sering Berlaku
* sakit kepala
* keletihan
* kesakitan, kemerahan, bengkak atau benjolan pada tapak suntikan
* demam
* sakit otot, sendi 

Kerap Berlaku
*rasa panas, gatal atau lebam pada tapak suntikan
* berpeluh, menggigil dan gejala selesema
* pembengkakan kelenjar di leher, di ketiak, atau di bahagian sulit

Agak Jarang-jarang Berlaku
* rasa mencucuk/kebas di tangan/di kaki
* mengantuk
* pening
* cirit, muntah, sakit perut
* gatal dan ruam
* ganguan tidur
* gejala kulit seperti inflamasi dan ruam gatal 

Jarang-jarang Berlaku
* kesan alergi yang menyebabkan penurunan tekanan darah secara mendadak
* sawan
* rasa menikam yang tajam
* pendarahan/lebam serius 

Amat Jarang-jarang Berlaku
* inflamasi pada salur darah yang menyebabkan ruam kulit, sakit sendi, dan masalah buah pinggang
* lumpuh 

Saya mungkin berfikir berkali-kali untuk mengambil suntikan tersebut jika membaca pamplet ini terlebih dahulu. Saya juga pernah menyiarkan beberapa artikel tentang kesan sampingan vaksin tersebut dalam blog saya yang lain. Namun, suntikan sudah diambil, harap-harap kami tidak mengalami kesan sampingan yang serius. Doktor di klinik saya mengambil cuti sakit pun ada memberitahu tentang kes orang yang mengalami sawan selepas mengambil suntikan vaksin tersebut. Katanya lagi, mungkin kerana status vaksin itu masih baru dan kesan sampingan yang dinyatakan di atas, maka vaksin ini hanya diberikan kepada orang dewasa yang berumur 18 hingga 65 tahun. 

Moga-moga kiriman ini dapat memberikan panduan kepada anda sebelum mmengambil vaksin tersebut. Tepuk dada tanya selera!




Thursday, May 6, 2010

DISKRIMINASI!




Semalam berlangsungnya jamuan kecil sempena berakhirnya pertandingan ping pong antara staf di tempat kerja. Kami meraikannya di sebuah restoran nasi beriyani di sebuah pusat beli belah.

Sambil menjamah nasi beriyani, kami berborak. Apabila masuk bab kerja, semua ingin membuka mulut untuk berkongsi cerita dan pendapat. Lazimnya, topik yang disentuh sudah tentu yang hangat, kontroversi, dan hal negatif yang bersangkut paut dengan tempat kerja.

Ada yang buka mulut bercerita tentang diskriminasi. Salah satu cerita adalah tentang diskriminasi antara jabatan. Misalnya, jabatan jualan mendapat kereta baru (tiada sebarang pelekat pada kenderaan untuk membezakan kereta pejabat daripada kereta peribadi) sedangkan jabatan lain hendak dapat komputer baru pun susah. Walhal salah satu jabatan itu merupakan nadi kepada syarikat.

Dalam hati, saya hanya membayangkan suatu situasi: sebuah restoran yang menggajikan “tukang masak”, “pelayan” (ambil pesanan), dan “pembantu dapur”. Tuan punya restoran sudah tentulah menjaga peti wang di kaunter. Dalam situasi ini, sudah tentulah tukang masak yang memainkan peranan yang amat penting. Tanpa bakat, kemahiran, dan kesungguhan tukang masak sudah tentu restoran itu tidak dikunjungi pelanggan. Logiknya, dalam kehidupan sehari-hari sudah tentu kita hanya memilih restoran yang masakannya sedap. Itulah kriteria utama pemilihan sesebuah restoran tanpa menafikan kriteria-kriteria lain.

Ironinya, “tukang masak” yang digambarkan sebagai nadi dalam syarikat itu mendapat upah yang paling sedikit, kemudahan yang paling murah dan kuno, insentif yang terhad berbanding dengan “pelayan” dan “pembantu dapur”. Pelik, tetapi itulah yang diperkatakan oleh rakan-rakan.

Ada yang buka mulut menyatakan bahawa bilangan staf bumiputera yang besar jumlah, majoritinya pula bergaji biasa hanya untuk mengaburi mata kementerian. Hanya untuk memudahkan empunya syarikat mendapatkan tender yang ditawarkan oleh kementerian kepada syarikat bukan bumiputera. Fuh, sampai begitu sekali?

Dalam perjalanan pulang ke pejabat, timbul pula isu diskriminasi gaji antara kaum yang berkhidmat di syarikat. Bukti tidak ada. Namun, kesemua rakan di dalam kereta mengagak bahawa sememangnya wujud diskriminasi sebegitu dalam kalangan staf di pejabat.

Saya tambah, di tempat lain pun begitu berlaku perkara yang sama. Kawan isteri saya sebelum menjadi guru berkhidmat sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta. Dia telah berkhidmat hampir lima tahun dengan gaji sekian jumlah. Apabila syarikatnya mengambil jurutera baru yang sebangsa dengan empunya syarikat, gaji yang ditawarkan kepada jurutera yang baru setahun jagung itu mengalahkan gaji yang diterimanya. Dia bengang. Kalau saya pun bengang juga. Dia kemudiannya meletakkan jawatan dan memohon untuk memasuki program KPLI. Alhamdullilah dia berjaya memasuki maktab dan cerita itulah yang diberitahunya apabila rakan-rakan menyoal tentang keputusannya meninggalkan kerjaya lama.

Diskriminasi berkisar kaum dan jabatan dalam sesebuah syarikat. Namun jangan lupa, diskriminasi wujud juga dalam bentuk perbezaan gender, rakan senegeri, rakan sekampung, dan macam-macam lagi.

Perbincangan tamat begitu sahaja. Namun, ada yang sudah tergerak hati untuk berhijrah ke tempat lain. Saya katakan ke mana-mana mereka pergi, mereka tetap berkemungkinan berhadapan dengan diskriminasi. Biarpun begitu, tidak semua majikan begitu, tidak semua orang atasan yang sanggup mengabaikan etika dan profesionalisme hanya kerana mementingkan kaum, rakan senegeri, rakan seuniversiti, gender, dan sebagainya yang menjadi antara punca wujudnya diskriminasi antara staf.



Wednesday, May 5, 2010

Apabila “Malaikat” Menegur

“Aku nak bagitau engkau. Kau baik-baik Si Jamal itu bising sebab kau selalu sangat buka internet masa kerja. Si Chong pun nampak kau main internet. Hati-hati.”

Dialog di atas ialah peringatan daripada si “utusan”. Dikatakan sebagai utusan kerana dia seolah-olah hanya menyampaikan ketidakpuasan hati seseorang kepada diri seseorang. Yang menariknya orang yang tidak berpuas hati itu pula menggunakan pula nama orang lain yang lebih besar jawatannya untuk menyokong kata-katanya.

Di mulut, orang yang menerima peringatan itu hanya mengiyakan sahaja apa-apa yang dikatakan oleh orang nombor 3 itu. Dia hanya menambah, “Tapi kerja saya OK”. Terjahan yang dibuat pada awal pagi itu menghilangkan ideanya untuk menjawab. Di hati, dia terfikir suara siapakah yang didengarinya sebentar tadi, suara utusan atau suara bos utusan itu?

Seketika kemudian barulah dia terfikir: “Oh, rupa-rupanya utusan tadi menyampaikan rungutan bosnya, si “malaikat”!”. Malaikat ini tidak pernah menyalahgunakan internet di pejabat. Malaikat ini tidak pernah melayari blog di pejabat. Malaikat ini tidak pernah membuka portal berita di internet pada waktu pejabat. Malaikat ini tidak pernah melakukan kerja-kerja “lain” pada waktu pejabat. Jika dia berbuat demikian, maka bukanlah malaikat namanya.

Respons di atas bersifat emosional sedikit.

Hakikatnya, setiap teguran itu wajar diambil dengan hati terbuka asalkan teguran itu untuk kebaikan diri. Biarpun hakikatnya orang menegur itu tidak terlepas daripada sebarang salah laku yang boleh dipertikaikan oleh orang lain.

Semoga kiriman ini dapat menjadi panduan kepada orang yang menegur dan orang yang ditegur.

Sunday, May 2, 2010

3 Tahun di Coalfields



1 Mei lepas genap tiga tahun kami sekeluarga bermaustautin di Coalfileds.

Aman dan damai.

Persekitaran yang menarik dan indah.

Hijau.

Hampir setiap pagi (selepas hujan) kawasan rumah diselubungi kabus pagi.

Jauh daripada kesibukan bandar.

Antara keputusan terbaik yang pernah kami buat setakat ini.

Saturday, May 1, 2010

Selamat Hari BURUH

Related Posts with Thumbnails