Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Thursday, May 6, 2010

DISKRIMINASI!




Semalam berlangsungnya jamuan kecil sempena berakhirnya pertandingan ping pong antara staf di tempat kerja. Kami meraikannya di sebuah restoran nasi beriyani di sebuah pusat beli belah.

Sambil menjamah nasi beriyani, kami berborak. Apabila masuk bab kerja, semua ingin membuka mulut untuk berkongsi cerita dan pendapat. Lazimnya, topik yang disentuh sudah tentu yang hangat, kontroversi, dan hal negatif yang bersangkut paut dengan tempat kerja.

Ada yang buka mulut bercerita tentang diskriminasi. Salah satu cerita adalah tentang diskriminasi antara jabatan. Misalnya, jabatan jualan mendapat kereta baru (tiada sebarang pelekat pada kenderaan untuk membezakan kereta pejabat daripada kereta peribadi) sedangkan jabatan lain hendak dapat komputer baru pun susah. Walhal salah satu jabatan itu merupakan nadi kepada syarikat.

Dalam hati, saya hanya membayangkan suatu situasi: sebuah restoran yang menggajikan “tukang masak”, “pelayan” (ambil pesanan), dan “pembantu dapur”. Tuan punya restoran sudah tentulah menjaga peti wang di kaunter. Dalam situasi ini, sudah tentulah tukang masak yang memainkan peranan yang amat penting. Tanpa bakat, kemahiran, dan kesungguhan tukang masak sudah tentu restoran itu tidak dikunjungi pelanggan. Logiknya, dalam kehidupan sehari-hari sudah tentu kita hanya memilih restoran yang masakannya sedap. Itulah kriteria utama pemilihan sesebuah restoran tanpa menafikan kriteria-kriteria lain.

Ironinya, “tukang masak” yang digambarkan sebagai nadi dalam syarikat itu mendapat upah yang paling sedikit, kemudahan yang paling murah dan kuno, insentif yang terhad berbanding dengan “pelayan” dan “pembantu dapur”. Pelik, tetapi itulah yang diperkatakan oleh rakan-rakan.

Ada yang buka mulut menyatakan bahawa bilangan staf bumiputera yang besar jumlah, majoritinya pula bergaji biasa hanya untuk mengaburi mata kementerian. Hanya untuk memudahkan empunya syarikat mendapatkan tender yang ditawarkan oleh kementerian kepada syarikat bukan bumiputera. Fuh, sampai begitu sekali?

Dalam perjalanan pulang ke pejabat, timbul pula isu diskriminasi gaji antara kaum yang berkhidmat di syarikat. Bukti tidak ada. Namun, kesemua rakan di dalam kereta mengagak bahawa sememangnya wujud diskriminasi sebegitu dalam kalangan staf di pejabat.

Saya tambah, di tempat lain pun begitu berlaku perkara yang sama. Kawan isteri saya sebelum menjadi guru berkhidmat sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta. Dia telah berkhidmat hampir lima tahun dengan gaji sekian jumlah. Apabila syarikatnya mengambil jurutera baru yang sebangsa dengan empunya syarikat, gaji yang ditawarkan kepada jurutera yang baru setahun jagung itu mengalahkan gaji yang diterimanya. Dia bengang. Kalau saya pun bengang juga. Dia kemudiannya meletakkan jawatan dan memohon untuk memasuki program KPLI. Alhamdullilah dia berjaya memasuki maktab dan cerita itulah yang diberitahunya apabila rakan-rakan menyoal tentang keputusannya meninggalkan kerjaya lama.

Diskriminasi berkisar kaum dan jabatan dalam sesebuah syarikat. Namun jangan lupa, diskriminasi wujud juga dalam bentuk perbezaan gender, rakan senegeri, rakan sekampung, dan macam-macam lagi.

Perbincangan tamat begitu sahaja. Namun, ada yang sudah tergerak hati untuk berhijrah ke tempat lain. Saya katakan ke mana-mana mereka pergi, mereka tetap berkemungkinan berhadapan dengan diskriminasi. Biarpun begitu, tidak semua majikan begitu, tidak semua orang atasan yang sanggup mengabaikan etika dan profesionalisme hanya kerana mementingkan kaum, rakan senegeri, rakan seuniversiti, gender, dan sebagainya yang menjadi antara punca wujudnya diskriminasi antara staf.



0 comments:

Related Posts with Thumbnails