Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Wednesday, December 2, 2009

Kelab Bekas Pelajar SMKIS, SMKSTA, SK MANONG di FACEBOOK

Baru-baru ini saya mengambil inisiatif untuk mewujudkan Kelab Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah (SMKIS), Parit, Perak; Kelab Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Tajul Ariffin (SMKSTA), Manong, Perak; dan Kelab Bekas Pelajar Sekolah Kebangsaan Manong, Perak di FACEBOOK. 

Tujuan saya mewujudkan kelab-kelab tersebut adalah semata-mata untuk menyediakan platform kepada bekas pelajar sekolah-sekolah tersebut untuk mengenali antara satu sama dengan yang lain, di samping mengimbau kenangan semasa di sekolah suatu ketika dahulu.

Selain itu, penubuhan kelab maya di FB ini diharapkan dapat "mempopularkan" dan menaikkan imej/nama ketiga-tiga buah sekolah yang merupakan "alma mater" saya suatu ketika dahulu. Saya pernah menuntut di SK Manong dari tahun 1984-1989, di SMKSTA pada tahun 1990, dan SMKIS dari tahun 1991-1994. Diharapkan sumbangan kecil saya ini dapat memberikan manfaat kepada bekas pelajar dan sudah tentu ketiga-tiga buah sekolah tersebut secara langsung mahupun secara tidak langsung.

Oleh itu, saya berharap kepada bekas pelajar ketiga-tiga buah sekolah tersebut yang mempunyai akaun FACEBOOK agar dapat menyertai kelab-kelab tersebut supaya kita dapat bersama-sama menjalin ikatan silaturahim yang sudah sekian lama terputus.



Kelab Bekas Pelajar SMKSTA: Klik pautan ini.


Kelab Bekas Pelajar SK MANONG: Klik pautan ini.



Kelab Bekas Pelajar SMKIS: Klik pautan ini.


Tuesday, December 1, 2009

AILDILADHA TAHUN INI LEBIH BERMAKNA

Tahun ini kami sekeluarga merayakan Aidiladha di Melaka, walaupun sepatutnya perayaan itu disambut di Perak, namun demi persetujuan bersama (bayar hutang cuti Aidilfitri yang lalu) saya sekeluarga menyambutnya di Melaka. Secara jujurnya, sambutan Aidiladha sama ada di Melaka atau Perak bukanlah suatu isu, yang penting pengisian perayaan tersebut.

Alhamdullilah, Aidiladha tahun ini lebih bermakna kerana pada tahun inilah saya berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti ibadah korban. Seumur hidup, belum pernah saya menjejakkan kaki ke tempat ibadah korban dijalankan. Memalukan! Benar, pada usia 32 tahun, sepatutnya saya sudah biasa dengan kerja-kerja sebegini. Lebih menyentuh hati apabila saya mendapati kanak-kanak seawal usia 10 tahun pun berada di lokasi penyembelihan binatang korban. Ada yang memegang tali, ada yang memegang badan lembu, ada juga yang melihat tuk iman menyembelih lembu dengan penuh minat. Tanpa rasa takut dan gerun. Bagus!

Namun, tidak mengapalah kerana tahun ini saya berpeluang mengikut bapa mentua menolong jemaah surau melakukan kerja-kerja yang bersangkutan dengan ibadah itu. Mungkin itu hikmahnya saya beraya di Melaka tahun ini. Selesai kedua-dua ekor lembu disembelih, saya ditugaskan untuk memotong daging lembu kepada bahagian-bahagian yang kecil. Di sebelah saya, ada dua orang "brader" sedang membungkus daging mengikut timbangan yang ditetapkan. Ada yang melapah daging lembu dan ada juga yang memotong tulang lembu menjadi ketulan kecil. Suasana cukup meriah, diselang-seli dengan lawak jenaka.

Setiap penerima akan memperoleh sebanyak 1 kilo daging. Bagi orang yang membantu kerja-kerja korban pula, masing-masing menerima sekilogram daging bersama-sama dengan sebungkus tulang. Bagi orang kampung, ada yang menerima sekilogram daging, ada juga yang menerima lebih daripada tiga kilogram daging, bergantung pada "rezeki" masing-masing. Selain jemaah surau tadi, pihak masjid dan kumpulan lain turut mengadakan ibadah korban secara berasingan.

Sepanjang tiga hari di sana, kami menjamah nasi/ketupat berlaukkan daging. Hari-hari makan daging! Lebih menyelerakan, apabila sup tulang "kaw" yang dimasak oleh ibu mentua dimakan bersama-sama dengan roti perancis. Memang menyelerakan walaupun selepas ini terpaksa "berpuasa" daripada menjamah daging merah buat sementara waktu. Kolesterol! Bagi penghidap penyakit tiroid yang mempunyai ciri-ciri "hypo", istilah kolestrol amat menggerunkan dan menakutkan.

Kami bertolak pulang ke Sungai Buloh pada tengah hari Ahad. Seperti yang dijangka, jalan menuju ke tol Ayer Keroh sesak dengan kenderaan, namun mujurlah kesesakan itu tidak melarat ke lebuh raya. Perjalanan agak lancar di lebuh raya walaupun lalu lintas sedikit sesak di kawasan susur ke Senawang dan Seremban.

Thursday, November 26, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Monday, November 23, 2009

HUJAN: DAHULU & SEKARANG

Sudah agak lama tidak mengemas kini blog. Bukannya tiada cerita yang mahu dikongsikan sesama kita, tetapi kesibukan di tempat kerja amat membutuhkan perhatian dan komitmen saya. Tambahan pula, perkhidmatan jalur lebar yang kunun-kununnya hebat telah saya tamatkan perkhidmatannya pada awal bulan lalu. Sudahlah caj yang dikenakan mahal, tetapi perkhidmatan yang ditawarkan tidak sebagus mesej yang disampaikan melalui iklan. Retorik semata-mata.

Ada apa dengan hujan sekarang dan dahulu? Sebenarnya, saya bukan mahu menyentuh tentang banjir di Kelantan, di Terengganu, di Perak, atau di Kedah, malah tidak juga berhasrat mengaitkan hujan dengan demam denggi, selesema babi, atau musim penyakit demam/batuk/selesema sekarang. Cuma yang menarik perhatian saya ialah perbezaan nikmat tatkala air hujan membasahi muka pada hari ini dan suatu ketika dahulu. Bagi yang menaiki kereta atau kenderaan berbumbung yang lain, maka anda mungkin tidak merasai perbezaannya. Namun, bagi penunggang motosikal, terutama yang bertopi keledar biasa, anda mungkin perasaan akan perbezaannya.

Apakah bezanya? Kita sering mendengar hujan pada hari ini mengandungi pelbagai macam bahan kimia yang terserap hasil daripada aktiviti perindustrian di kilang-kilang mahpun pencemaran di sungai atau di kawasan tadahan air. Memang benar. Suatu ketika dahulu, ketika masih kanak-kanak, saya seperti juga anda sering mengambil kesempatan untuk mandi hujan, walaupun keras dilarang oleh ibu bapa, namun keseronokan mandi hujan memang sukar dilupakan. Airnya segar dan sejuk. Airnya sedap. Itu dahulu.

Air hujan yang membasahi muka saya pada hari ini bukan lagi nikmat seperti yang saya rasa suatu ketika dahulu. Bayangkan, baru beberapa minit air "rahmat" itu membasahi muka, saya sudah tidak dapat menahan kegatalan dan kepedihan di bahagian kulit yang terkena air tersebut. Memang gatal dan memedihkan kulit. Itulah bezanya, malah air hujan hari ini dibuktikan boleh menghakis logam, batu, cat kereta kerana kandungan bahan kimia di dalamnya terlalu tinggi. Kalau tidak masakan air hujan yang sepatutnya bersih dan tidak mengandungi klorin tidak lagi selamat untuk ikan peliharaan di dalam akuarium.

Apa nak buat? Tuhan turunkan rahmat-Nya, namun manusia yang kunun-kununnya bersyukur dan insaf akan kesilapan diri masih terus mengejar wang ringgit tanpa mengira akibat dan nasib golongan miskin seperti saya yang terpaksa menahan diri kesan daripada perbuatan mereka.

Tuesday, November 3, 2009

Pemergian Nenek Tersayang (HAMISIAH YEOP AMAT-1934-2009)

Agak terkilan kerana tidak sempat bertemu dengan nenek tersayang sebelum beliau kembali ke Rahmatullah pada pukul 4.30 petang, 1 November yang lalu. Kali terakhir kami sekeluarga bertemu dan berbual mesra adalah ketika kami sekeluarga mengadakan kenduri perkahwinan adik ketiga saya, Mohd Helmie pada Hari Raya Aildilfitri ke-3 yang lalu. Sebenarnya, pada majlis itu, nenek sudah menjadi agak pendiam, berlainan dengan sikap sebenarnya. Mungkin, kami kurang perasaan dan tidak menyangka beliau akan pergi selama-lamanya tidak lama selepas itu.

Kami bergegas ke kampung selepas menerima panggilan telefon daripada mak. Memang arwah dikatakan agak kurang sihat beberapa hari sebelum itu. Namun, kami tidak menyangka Allah SWT lebih menyayangi beliau dan menjemputnya kembali sebelum kami sempat bertemu dengannya. Namun, Allhamdullilah, syukur kepada Allah SWT kerana arwah "mudah" menghembuskan nafas terakhirnya dan "pergi" bertemu dengan penciptanya dengan tenang. Itulah yang dikatakan oleh mak seperti yang disampaikan oleh Yenyah (bapa saudara) dan Mak Yang (ibu saudara) yang berada di sisi arwah ketika beliau meninggal dunia.

Bagi saya, pemergian nenek memberi saya suatu pengalaman yang amat bermakna. Inilah kali pertama saya mengurus hal-hal berkaitan dengan jenazah. Inilah kali pertama saya membantu saudara mara mengangkat dan memandikan jenazah. Inilah kali pertama saya mendirikan solat jenazah. Inilah kali pertama saya mengiring dan membantu urusan pengembumian mayat di tanah perkuburan. Inilah juga kali pertama saya mendengar talkin dan mengaminkan doa yang diucapkan oleh imam. Pengalaman ini amat-amat menginsafkan dan sudah tentu menyedihkan.

Biarpun sedih tatkala mengingatkan kenangan ketika bersama-sama dengan arwah, kami sekeluarga redha dan mengharapkan Allah SWT mencucurkan rahmat ke atas roh arwah nenek dan semoga arwah ditempatkan di sisi orang yang dikasihi-Nya. Al fatihah:

Related Posts with Thumbnails