Sudah agak lama tidak mengemas kini blog. Bukannya tiada cerita yang mahu dikongsikan sesama kita, tetapi kesibukan di tempat kerja amat membutuhkan perhatian dan komitmen saya. Tambahan pula, perkhidmatan jalur lebar yang kunun-kununnya hebat telah saya tamatkan perkhidmatannya pada awal bulan lalu. Sudahlah caj yang dikenakan mahal, tetapi perkhidmatan yang ditawarkan tidak sebagus mesej yang disampaikan melalui iklan. Retorik semata-mata.
Ada apa dengan hujan sekarang dan dahulu? Sebenarnya, saya bukan mahu menyentuh tentang banjir di Kelantan, di Terengganu, di Perak, atau di Kedah, malah tidak juga berhasrat mengaitkan hujan dengan demam denggi, selesema babi, atau musim penyakit demam/batuk/selesema sekarang. Cuma yang menarik perhatian saya ialah perbezaan nikmat tatkala air hujan membasahi muka pada hari ini dan suatu ketika dahulu. Bagi yang menaiki kereta atau kenderaan berbumbung yang lain, maka anda mungkin tidak merasai perbezaannya. Namun, bagi penunggang motosikal, terutama yang bertopi keledar biasa, anda mungkin perasaan akan perbezaannya.
Apakah bezanya? Kita sering mendengar hujan pada hari ini mengandungi pelbagai macam bahan kimia yang terserap hasil daripada aktiviti perindustrian di kilang-kilang mahpun pencemaran di sungai atau di kawasan tadahan air. Memang benar. Suatu ketika dahulu, ketika masih kanak-kanak, saya seperti juga anda sering mengambil kesempatan untuk mandi hujan, walaupun keras dilarang oleh ibu bapa, namun keseronokan mandi hujan memang sukar dilupakan. Airnya segar dan sejuk. Airnya sedap. Itu dahulu.
Air hujan yang membasahi muka saya pada hari ini bukan lagi nikmat seperti yang saya rasa suatu ketika dahulu. Bayangkan, baru beberapa minit air "rahmat" itu membasahi muka, saya sudah tidak dapat menahan kegatalan dan kepedihan di bahagian kulit yang terkena air tersebut. Memang gatal dan memedihkan kulit. Itulah bezanya, malah air hujan hari ini dibuktikan boleh menghakis logam, batu, cat kereta kerana kandungan bahan kimia di dalamnya terlalu tinggi. Kalau tidak masakan air hujan yang sepatutnya bersih dan tidak mengandungi klorin tidak lagi selamat untuk ikan peliharaan di dalam akuarium.
Apa nak buat? Tuhan turunkan rahmat-Nya, namun manusia yang kunun-kununnya bersyukur dan insaf akan kesilapan diri masih terus mengejar wang ringgit tanpa mengira akibat dan nasib golongan miskin seperti saya yang terpaksa menahan diri kesan daripada perbuatan mereka.
0 comments:
Post a Comment