Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Tuesday, November 3, 2009

Pemergian Nenek Tersayang (HAMISIAH YEOP AMAT-1934-2009)

Agak terkilan kerana tidak sempat bertemu dengan nenek tersayang sebelum beliau kembali ke Rahmatullah pada pukul 4.30 petang, 1 November yang lalu. Kali terakhir kami sekeluarga bertemu dan berbual mesra adalah ketika kami sekeluarga mengadakan kenduri perkahwinan adik ketiga saya, Mohd Helmie pada Hari Raya Aildilfitri ke-3 yang lalu. Sebenarnya, pada majlis itu, nenek sudah menjadi agak pendiam, berlainan dengan sikap sebenarnya. Mungkin, kami kurang perasaan dan tidak menyangka beliau akan pergi selama-lamanya tidak lama selepas itu.

Kami bergegas ke kampung selepas menerima panggilan telefon daripada mak. Memang arwah dikatakan agak kurang sihat beberapa hari sebelum itu. Namun, kami tidak menyangka Allah SWT lebih menyayangi beliau dan menjemputnya kembali sebelum kami sempat bertemu dengannya. Namun, Allhamdullilah, syukur kepada Allah SWT kerana arwah "mudah" menghembuskan nafas terakhirnya dan "pergi" bertemu dengan penciptanya dengan tenang. Itulah yang dikatakan oleh mak seperti yang disampaikan oleh Yenyah (bapa saudara) dan Mak Yang (ibu saudara) yang berada di sisi arwah ketika beliau meninggal dunia.

Bagi saya, pemergian nenek memberi saya suatu pengalaman yang amat bermakna. Inilah kali pertama saya mengurus hal-hal berkaitan dengan jenazah. Inilah kali pertama saya membantu saudara mara mengangkat dan memandikan jenazah. Inilah kali pertama saya mendirikan solat jenazah. Inilah kali pertama saya mengiring dan membantu urusan pengembumian mayat di tanah perkuburan. Inilah juga kali pertama saya mendengar talkin dan mengaminkan doa yang diucapkan oleh imam. Pengalaman ini amat-amat menginsafkan dan sudah tentu menyedihkan.

Biarpun sedih tatkala mengingatkan kenangan ketika bersama-sama dengan arwah, kami sekeluarga redha dan mengharapkan Allah SWT mencucurkan rahmat ke atas roh arwah nenek dan semoga arwah ditempatkan di sisi orang yang dikasihi-Nya. Al fatihah:

0 comments:

Related Posts with Thumbnails