Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Tuesday, December 1, 2009

AILDILADHA TAHUN INI LEBIH BERMAKNA

Tahun ini kami sekeluarga merayakan Aidiladha di Melaka, walaupun sepatutnya perayaan itu disambut di Perak, namun demi persetujuan bersama (bayar hutang cuti Aidilfitri yang lalu) saya sekeluarga menyambutnya di Melaka. Secara jujurnya, sambutan Aidiladha sama ada di Melaka atau Perak bukanlah suatu isu, yang penting pengisian perayaan tersebut.

Alhamdullilah, Aidiladha tahun ini lebih bermakna kerana pada tahun inilah saya berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti ibadah korban. Seumur hidup, belum pernah saya menjejakkan kaki ke tempat ibadah korban dijalankan. Memalukan! Benar, pada usia 32 tahun, sepatutnya saya sudah biasa dengan kerja-kerja sebegini. Lebih menyentuh hati apabila saya mendapati kanak-kanak seawal usia 10 tahun pun berada di lokasi penyembelihan binatang korban. Ada yang memegang tali, ada yang memegang badan lembu, ada juga yang melihat tuk iman menyembelih lembu dengan penuh minat. Tanpa rasa takut dan gerun. Bagus!

Namun, tidak mengapalah kerana tahun ini saya berpeluang mengikut bapa mentua menolong jemaah surau melakukan kerja-kerja yang bersangkutan dengan ibadah itu. Mungkin itu hikmahnya saya beraya di Melaka tahun ini. Selesai kedua-dua ekor lembu disembelih, saya ditugaskan untuk memotong daging lembu kepada bahagian-bahagian yang kecil. Di sebelah saya, ada dua orang "brader" sedang membungkus daging mengikut timbangan yang ditetapkan. Ada yang melapah daging lembu dan ada juga yang memotong tulang lembu menjadi ketulan kecil. Suasana cukup meriah, diselang-seli dengan lawak jenaka.

Setiap penerima akan memperoleh sebanyak 1 kilo daging. Bagi orang yang membantu kerja-kerja korban pula, masing-masing menerima sekilogram daging bersama-sama dengan sebungkus tulang. Bagi orang kampung, ada yang menerima sekilogram daging, ada juga yang menerima lebih daripada tiga kilogram daging, bergantung pada "rezeki" masing-masing. Selain jemaah surau tadi, pihak masjid dan kumpulan lain turut mengadakan ibadah korban secara berasingan.

Sepanjang tiga hari di sana, kami menjamah nasi/ketupat berlaukkan daging. Hari-hari makan daging! Lebih menyelerakan, apabila sup tulang "kaw" yang dimasak oleh ibu mentua dimakan bersama-sama dengan roti perancis. Memang menyelerakan walaupun selepas ini terpaksa "berpuasa" daripada menjamah daging merah buat sementara waktu. Kolesterol! Bagi penghidap penyakit tiroid yang mempunyai ciri-ciri "hypo", istilah kolestrol amat menggerunkan dan menakutkan.

Kami bertolak pulang ke Sungai Buloh pada tengah hari Ahad. Seperti yang dijangka, jalan menuju ke tol Ayer Keroh sesak dengan kenderaan, namun mujurlah kesesakan itu tidak melarat ke lebuh raya. Perjalanan agak lancar di lebuh raya walaupun lalu lintas sedikit sesak di kawasan susur ke Senawang dan Seremban.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails