Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Thursday, November 26, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Monday, November 23, 2009

HUJAN: DAHULU & SEKARANG

Sudah agak lama tidak mengemas kini blog. Bukannya tiada cerita yang mahu dikongsikan sesama kita, tetapi kesibukan di tempat kerja amat membutuhkan perhatian dan komitmen saya. Tambahan pula, perkhidmatan jalur lebar yang kunun-kununnya hebat telah saya tamatkan perkhidmatannya pada awal bulan lalu. Sudahlah caj yang dikenakan mahal, tetapi perkhidmatan yang ditawarkan tidak sebagus mesej yang disampaikan melalui iklan. Retorik semata-mata.

Ada apa dengan hujan sekarang dan dahulu? Sebenarnya, saya bukan mahu menyentuh tentang banjir di Kelantan, di Terengganu, di Perak, atau di Kedah, malah tidak juga berhasrat mengaitkan hujan dengan demam denggi, selesema babi, atau musim penyakit demam/batuk/selesema sekarang. Cuma yang menarik perhatian saya ialah perbezaan nikmat tatkala air hujan membasahi muka pada hari ini dan suatu ketika dahulu. Bagi yang menaiki kereta atau kenderaan berbumbung yang lain, maka anda mungkin tidak merasai perbezaannya. Namun, bagi penunggang motosikal, terutama yang bertopi keledar biasa, anda mungkin perasaan akan perbezaannya.

Apakah bezanya? Kita sering mendengar hujan pada hari ini mengandungi pelbagai macam bahan kimia yang terserap hasil daripada aktiviti perindustrian di kilang-kilang mahpun pencemaran di sungai atau di kawasan tadahan air. Memang benar. Suatu ketika dahulu, ketika masih kanak-kanak, saya seperti juga anda sering mengambil kesempatan untuk mandi hujan, walaupun keras dilarang oleh ibu bapa, namun keseronokan mandi hujan memang sukar dilupakan. Airnya segar dan sejuk. Airnya sedap. Itu dahulu.

Air hujan yang membasahi muka saya pada hari ini bukan lagi nikmat seperti yang saya rasa suatu ketika dahulu. Bayangkan, baru beberapa minit air "rahmat" itu membasahi muka, saya sudah tidak dapat menahan kegatalan dan kepedihan di bahagian kulit yang terkena air tersebut. Memang gatal dan memedihkan kulit. Itulah bezanya, malah air hujan hari ini dibuktikan boleh menghakis logam, batu, cat kereta kerana kandungan bahan kimia di dalamnya terlalu tinggi. Kalau tidak masakan air hujan yang sepatutnya bersih dan tidak mengandungi klorin tidak lagi selamat untuk ikan peliharaan di dalam akuarium.

Apa nak buat? Tuhan turunkan rahmat-Nya, namun manusia yang kunun-kununnya bersyukur dan insaf akan kesilapan diri masih terus mengejar wang ringgit tanpa mengira akibat dan nasib golongan miskin seperti saya yang terpaksa menahan diri kesan daripada perbuatan mereka.

Tuesday, November 3, 2009

Pemergian Nenek Tersayang (HAMISIAH YEOP AMAT-1934-2009)

Agak terkilan kerana tidak sempat bertemu dengan nenek tersayang sebelum beliau kembali ke Rahmatullah pada pukul 4.30 petang, 1 November yang lalu. Kali terakhir kami sekeluarga bertemu dan berbual mesra adalah ketika kami sekeluarga mengadakan kenduri perkahwinan adik ketiga saya, Mohd Helmie pada Hari Raya Aildilfitri ke-3 yang lalu. Sebenarnya, pada majlis itu, nenek sudah menjadi agak pendiam, berlainan dengan sikap sebenarnya. Mungkin, kami kurang perasaan dan tidak menyangka beliau akan pergi selama-lamanya tidak lama selepas itu.

Kami bergegas ke kampung selepas menerima panggilan telefon daripada mak. Memang arwah dikatakan agak kurang sihat beberapa hari sebelum itu. Namun, kami tidak menyangka Allah SWT lebih menyayangi beliau dan menjemputnya kembali sebelum kami sempat bertemu dengannya. Namun, Allhamdullilah, syukur kepada Allah SWT kerana arwah "mudah" menghembuskan nafas terakhirnya dan "pergi" bertemu dengan penciptanya dengan tenang. Itulah yang dikatakan oleh mak seperti yang disampaikan oleh Yenyah (bapa saudara) dan Mak Yang (ibu saudara) yang berada di sisi arwah ketika beliau meninggal dunia.

Bagi saya, pemergian nenek memberi saya suatu pengalaman yang amat bermakna. Inilah kali pertama saya mengurus hal-hal berkaitan dengan jenazah. Inilah kali pertama saya membantu saudara mara mengangkat dan memandikan jenazah. Inilah kali pertama saya mendirikan solat jenazah. Inilah kali pertama saya mengiring dan membantu urusan pengembumian mayat di tanah perkuburan. Inilah juga kali pertama saya mendengar talkin dan mengaminkan doa yang diucapkan oleh imam. Pengalaman ini amat-amat menginsafkan dan sudah tentu menyedihkan.

Biarpun sedih tatkala mengingatkan kenangan ketika bersama-sama dengan arwah, kami sekeluarga redha dan mengharapkan Allah SWT mencucurkan rahmat ke atas roh arwah nenek dan semoga arwah ditempatkan di sisi orang yang dikasihi-Nya. Al fatihah:

Friday, October 2, 2009

APA SALAHNYA MEMAKAI KAIN PELEKAT?




Kain pelekat...ada apa dengan kain pelekat? Semalam saya ke EconSave Sungai Buloh dan Giant Kota Damansara. Kami sekeluarga mencari barang dapur dan sedikit keperluan/barangan untuk menjamu kawan-kawan yang hadir ke rumah nanti (jika ada yang sudi hadir). Seperti biasa, saya memakai kain pelekat dengan baju T. Bukan kali pertama, tetapi sudah beberapa kali berbuat demikian. Anak-anak dan isteri lengkap dengan baju yang cantik dan bersesuaian dengan pakaian untuk bersiar-siar di sekitar bandar.

Baru masuk ke kereta, isteri saya menegur dan meminta saya menukarkan kain pelekat yang dipakai. Saya jawab, tidak perlu. Dia menyambung dengan menanyakan sama ada saya malu atau tidak berpakaian seperti itu. Saya jawab ringkas, iaitu tidak malu walau sedikit pun. Kami meneruskan perjalanan. Sebelum ke Giant, kami singgah di EconSave. Selepas mendapat barangan yang dihajati, kami bergegas ke Giant, Kota Damansara.

Sampai di Giant, seperti juga di EconSave tadi, orang sekeliling memandang pakaian saya. Mereka seolah-olah pelik dengan cara saya berpakaian ketika mengunjungi pasar raya tersebut. Saya tetap selamba dan bersahaja. Ada apa hal dengan kain pelekat? Bukannya salah berkain pelekat ke pasar raya besar. Itulah masyarakat kita, apabila memandang perempuan berskirt pendek atau berseluar pendek mata mereka terbeliak kerana nafsu syahwat terliur melihat paha dan betis yang putih melepak. Apabila melihat orang memakai kain batik atau kain pelekat mata mereka terbeliak kerana "mengutuk" pakaian tersebut yang dianggap tidak sesuai untuk dipakai ke tempat seperti itu.

Semasa di Giant, saya katakan kepada isteri bahawa saya bangga memakai kain pelekat ke Giant, Tesco, dan pasar raya yang lain kerana memakai kain pelekat biarpun mengundang ratusan pasang mata memandang tetapi kain itu menutup aurat, lambang kemegahan budaya kita dan jauh lebih mulia daripada memakai seluar pendek atau seluar yang koyak rabak.

Monday, September 28, 2009

TELUK BATIK









Sebelum pulang ke Sungai Buloh, kami sempat meluangkan masa menikmati suasana nyaman di Pantai Teluk Batik pada hari Sabtu (26/9). Sudah lama saya tidak berkunjung ke pantai yang letaknya kira-kira satu jam lebih perjalanan dari Manong. Kali terakhir saya ke sana sewaktu mengikuti perkhemahan Jambori Persatuan Kadet Bersatu Malaysia pada tahun 1992. Setelah hampir 17 tahun, rupa-rupanya keindahan dan kejernihan air laut di Pantai Teluk Batik masih seperti dahulu. Jika dibandingkan dengan Pantai Teluk Kemang dan Tanjung Bidara, kebersihan pantai dan air di sini jauh berbeza. 

Saya akui bahawa selama ini saya jarang-jarang berkesempatan melancong dan menikmati keindahan pantai di negeri lain apatah lagi di negara lain. Belum ada kesempatan dan rezeki untuk berbuat demikian. Jika ada kelapangan pun, keadaan pula kurang mengizinkan untuk berjalan jauh. Pantai yang pernah saya kunjungi ialah Berserah, sekitar Teluk Kemang, Tanjung Bidara, dan sekitar Teluk Batik. Mudah-mudahan apabila anak-anak besar sedikit, kami akan berkesempatan untuk bercuti di kawasan peranginan yang di sebelah Timur atau di Sabah dan Sarawak.

Biar di mana-mana pun kita pergi bercuti, tujuannya adalah untuk merapatkan hubungan kekeluargaan dan meleraikan kekusutan minda akibat daripada pelbagai tekanan. Bukanlah lokasi percutian yang diutamakan, bukan juga kos yang mahal yang menjadi penentu percutian tersebut dapat mencapai tujuan yang diinginkan.



Related Posts with Thumbnails