Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Google+ Followers

Google+ Badge

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Friday, June 4, 2010

Antara Nazak dengan Tekanan

Saya mendapat panggilan daripada adik di kampung yang mengatakan bahawa mak saya berada dalam keadaan nazak. Perkhabaran yang tidak disangka-sangka itu benar-benar mengejutkan saya. Mak memang berada dalam keadaan lemah sejak dua tiga hari sebelum itu, namun panggilan yang mengatakan bahawa dirinya berada dalam keadaan nazak benar-benar sukar diterima.

Yang membingungkan saya, seminggu sebelum itu, doktor pakar mengesahkan bahawa kawasan yang dipenuhi tumor bersih. Kata doktor: "Mak cik dapat nyawa kedua." Mak yang gembira dengan hasil pemeriksaan doktor itu pulang dengan semangat yang baru.

Beberapa hari selepas itu, saya dikejutkan dengan perkhabaran bahawa mak saya berada dalam keadaan lemah, dan tidak mahu makan atau minum. Selepas itu, saya menerima berita bahawa mak berada dalam keadaan nazak pada 1 Jun yang lalu. Saya seolah-olah tidak percaya dengan apa-apa yang berlaku.

Saya sekeluarga bergegas pulang sambil berharap dapat berjumpa dengan mak buat kali terakhir. Hati pada ketika itu tersangat berdebar dan sayu. Sampai di rumah, adik -beradik sedang mengucapkan sahadah di telinga mak. Saya yang baru sampai terus meluru ke tempat mak sedang baring. Saya memohon ampun daripada mak dan berharap kata-kata saya itu didengarinya. Dalam keadaan sebak, saya turut mengajar mak mengucapkan sahadah.

Seketika kemudian, jemaah daripada masjid datang ke rumah. Mereka dijemput untuk membacakan surah Yasin untuk mak. Selesai bacaan Yasin, mak masih begitu. Matanya terpejam dan tidak memberikan sebarang respons. Mak seolah-olah sedang tidur.

Sekitar jam 2.00 pagi, pak cik saudara saya memanggil kami sekeluarga. Katanya, mak saya tidak menunjukkan sebarang tanda untuk meninggalkan kami sekeluarga. Nafasnya baik. Mak katanya seolah-olah sedang tidur. Yang membingungkan mereka ialah mak tidak menyahut setiap kali dipanggil. mak seolah-olah sedang berada dalam koma.

Tanpa berlengah kami memanggil pembantu perubatan di klinik berdekatan. Kata pembantu perubatan itu, kadar gula di dalam darah mak normal, cuma tekanan darahnya agak rendah. Tanpa berlengah juga, kami meminta budi bicara pembantu perubatan itu membawa mak ke hospital dengan seberapa segera. Alhamdullilah, pembantu perubatan dan pemandu ambulans menghantar mak ke hospital biarpun waktu itu jam sudah menunjukkan pukul 3.00 pagi.

Sampai di hospital , mak mula sedar. Air mula dimasukkan ke dalam badannya. Dalam keadaan lemah, mak mengadu bahawa badannya sakit. Mak seolah-olah baru tersedar daripada koma. Selepas semalaman di hospital itu, mak dipindahkan ke hopsital yang lebih besar. Di situ, mak menjalani imbasan CT. Hasilnya, doktor mengesahkan bahawa mak berada dalam keadaan normal. Mak tidak mengalami strok seperti dugaan kami sekeluarga. Tekanan darahnya normal, begitu juga kandungan gula di dalam darahnya.Dua hari di hospital itu, mak dibenarkan keluar.

Rupa-rupanya, mak mengalami tekanan melampau. Tekanan tersebut membuatkan dirinya hilang pertimbangan dan beliau gagal mengawal emosi dan dirinya. Mak tertekan kerana selepas pembedahan sekitar Mac lalu, beliau masih tidak berselera untuk menjamah makanan. Mak juga tertekan kerana tidak dapat berjalan dengan lancar sejak pembedahan itu. Untuk ke mana-mana, mak memerlukan bantuan orang lain.

Ini semua ialah kehendak Allah SWT. Biarpun hati berat untuk menerimanya, namun ajal itu ditentukan oleh-Nya. Kami masih optimis dan berharap mudah-mudahan mak akan segera sembuh seperti sedia kala. Insya-Allah!


0 comments:

Related Posts with Thumbnails