Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Monday, September 28, 2009

TELUK BATIK









Sebelum pulang ke Sungai Buloh, kami sempat meluangkan masa menikmati suasana nyaman di Pantai Teluk Batik pada hari Sabtu (26/9). Sudah lama saya tidak berkunjung ke pantai yang letaknya kira-kira satu jam lebih perjalanan dari Manong. Kali terakhir saya ke sana sewaktu mengikuti perkhemahan Jambori Persatuan Kadet Bersatu Malaysia pada tahun 1992. Setelah hampir 17 tahun, rupa-rupanya keindahan dan kejernihan air laut di Pantai Teluk Batik masih seperti dahulu. Jika dibandingkan dengan Pantai Teluk Kemang dan Tanjung Bidara, kebersihan pantai dan air di sini jauh berbeza. 

Saya akui bahawa selama ini saya jarang-jarang berkesempatan melancong dan menikmati keindahan pantai di negeri lain apatah lagi di negara lain. Belum ada kesempatan dan rezeki untuk berbuat demikian. Jika ada kelapangan pun, keadaan pula kurang mengizinkan untuk berjalan jauh. Pantai yang pernah saya kunjungi ialah Berserah, sekitar Teluk Kemang, Tanjung Bidara, dan sekitar Teluk Batik. Mudah-mudahan apabila anak-anak besar sedikit, kami akan berkesempatan untuk bercuti di kawasan peranginan yang di sebelah Timur atau di Sabah dan Sarawak.

Biar di mana-mana pun kita pergi bercuti, tujuannya adalah untuk merapatkan hubungan kekeluargaan dan meleraikan kekusutan minda akibat daripada pelbagai tekanan. Bukanlah lokasi percutian yang diutamakan, bukan juga kos yang mahal yang menjadi penentu percutian tersebut dapat mencapai tujuan yang diinginkan.



Sunday, September 27, 2009

AIDILFITRI DATANG & PERGI

Sembilan hari bercuti sempena sambutan Adilfitri. Empat hari di Melaka dan selebihnya di Perak. Memang seronok dan meriah walaupun tahap keseronokan dan kemeriahan tersebut tidak dapat menandingi sambutan Aidilfitri dua dekad yang lalu. Itulah realitinya. Walaupun ada yang mengatakan bahawa usia yang semakin dewasa sebenarnya mempengaruhi kemeriahan Aidilfitri, namun realitinya jika difikirkan semula suasana hari ini jauh berbeza daripada situasi dahulu yang jalinan silaturahim antara anggota masyarakat lebih kukuh berbanding hari ini.

Dahulu budaya kunjung-mengunjung antara jiran tetangga amat-amat dititikberatkan. Hari ini budaya ini hanya diamalkan oleh sanak saudara terdekat sahaja. Dahulu suasana kampung pada waktu malam meriah dengan pancaran lampu pelita panjut dan suara kanak-kanak bermain bunga api diselang seli dengan dentuman meriam buluh. Ironinya, dahulu tiada kedengaran cerita jari atau anggota badan kanak-kanak yang tercedera sebagai akibat bermain mercun atau meriam buluh.

Biarpun begitu, hari raya Aidilfitri kali ini lebih bermakna kerana kami menyambutnya dengan seorang lagi anggota baru dalam keluarga. Qhairul Dhani Rayyan yang dilahirkan 14 Jun lalu, kini sudah mencecah usia empat bulan. Daripada dua porang cahaya mata, kini sudah bertambah menjadi tiga orang. Memang meriah apabila mempunyai cahaya mata yang banyak. Aidilfitri kali ini juga lebih bermakna apabila adik saya (nombor empat) Mohd Helmie mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya, Zanna pada Hari Raya yang ketiga dan keempat yang lalu. Semoga kedua-duanya berbahagia hingga ke anak cucu.

Walau apa-apa pun, kami sekeluarga bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberi kesempatan untuk berpuasa dan menyambut Aidilfitri pada tahun ini. Walaupun Aildifitri datang dan pergi, namun hari kemenangan bagi orang Islam menahan lapar dan dahaga di bulan Ramadan ini tetap disambut dengan pelbagai cara di seluruh dunia.


SELAMAT HARI RAYA AILDILTRI!

Sunday, September 20, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN

Wednesday, September 2, 2009

MERDEKA & PATRIOTISME

Baru-baru ini, saya pulang ke kampung mentua di Melaka. Bertolak ke sana pada hari Sabtu yang lalu, 2 hari sebelum Hari Kebangsaan ke-52. Biarpun jarak hanya tinggal dua hari sebelum pemimpin 1Malaysia melaungkan slogan keramat: Merdeka, Merdeka, Merdeka!, namun suasana menyambut hari yang bersejarah itu langsung tidak kelihatan. Tiada kereta yang mengibarkan Jalur Gemilang, manakala kedai atau bangunan yang mengibarkan Jalur Gemilang boleh dikira dengan jari.

Oleh itu, apabila pihak kementerian yang diketuai Datuk Rais Yatim dan JKKR menyerahkan Jalur Gemilang kepada pekedai dan pengguna jalan raya, maka sudah jelas betapa "malas"nya rakyat di negara ini mengibarkan Jalur Gemilang. Daripada gambaran itu, kita sudah dapat meneka tahap patriotisme dalam kalangan rakyat di negara ini. Ada orang kata, penonjolan elemen patrotisme itu tidak penting, yang penting semangat cinta akan negara tersemat kukuh di dalam hati. Saya kata: kalau penonjolan semangat tersebut pada perbuatan pun tidak menunjukkan kita sayang akan negara, adakah niat di dalam hati itu sekuat semangat pejuang negara yang menentang Belanda, Portugis, Inggeris, Jepun, dan Komunis suatu ketika dahulu?

Bagi segelintir anak muda, Hari Merdeka setiap tahun ialah peluang untuk melakukan maksiat dan aktiviti yang mendatangkan keseronokan kepada mereka. Pada malam Hari Merdeka, anak-anak gadis sama ada yang masih perawan atau tidak akan di"merdeka"kan oleh ibu bapa masing-masing untuk di"korban"kan oleh anak-anak bangsa yang memuja budaya hedonisme. Itu bukan tohmahan, itulah realiti. Tanyalah tukang bersih di sekitar bandar-bandar besar di negara ini, berapa banyakkah kondom yang mereka kutip atau buang? Selesai meratah mangsa, anak-anak muda menggunakan malam ini istimewa untuk merempit dan menunjukkan kelakuan mereka kepada orang ramai. Ada juga yang berpeleseran hingga ke pagi meneguk air syaitan atau khayal dengan dadah sintetik hingga ke pagi. Tidak kurang juga hanyut dengan irama disko hingga matahari terbit di ufuk timur.

Namun, tidak dinafikan bahawa ada juga anak muda yang benar-benar mencari erti kemerdekaan sebenar. Mereka tercari-cari peluang untuk berbakti kepada negara. Namun, berapa keratkah anak muda yang berfikiran begitu? Berapa keratkah anak muda yang benar-benar sayang akan tanah air ini?


SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN KE-52, walaupun jauh di sudut hati kadang kala timbul persoalan MERDEKAKAH KITA?
Related Posts with Thumbnails