Sembilan hari bercuti sempena sambutan Adilfitri. Empat hari di Melaka dan selebihnya di Perak. Memang seronok dan meriah walaupun tahap keseronokan dan kemeriahan tersebut tidak dapat menandingi sambutan Aidilfitri dua dekad yang lalu. Itulah realitinya. Walaupun ada yang mengatakan bahawa usia yang semakin dewasa sebenarnya mempengaruhi kemeriahan Aidilfitri, namun realitinya jika difikirkan semula suasana hari ini jauh berbeza daripada situasi dahulu yang jalinan silaturahim antara anggota masyarakat lebih kukuh berbanding hari ini.
Dahulu budaya kunjung-mengunjung antara jiran tetangga amat-amat dititikberatkan. Hari ini budaya ini hanya diamalkan oleh sanak saudara terdekat sahaja. Dahulu suasana kampung pada waktu malam meriah dengan pancaran lampu pelita panjut dan suara kanak-kanak bermain bunga api diselang seli dengan dentuman meriam buluh. Ironinya, dahulu tiada kedengaran cerita jari atau anggota badan kanak-kanak yang tercedera sebagai akibat bermain mercun atau meriam buluh.
Biarpun begitu, hari raya Aidilfitri kali ini lebih bermakna kerana kami menyambutnya dengan seorang lagi anggota baru dalam keluarga. Qhairul Dhani Rayyan yang dilahirkan 14 Jun lalu, kini sudah mencecah usia empat bulan. Daripada dua porang cahaya mata, kini sudah bertambah menjadi tiga orang. Memang meriah apabila mempunyai cahaya mata yang banyak. Aidilfitri kali ini juga lebih bermakna apabila adik saya (nombor empat) Mohd Helmie mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya, Zanna pada Hari Raya yang ketiga dan keempat yang lalu. Semoga kedua-duanya berbahagia hingga ke anak cucu.
Walau apa-apa pun, kami sekeluarga bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberi kesempatan untuk berpuasa dan menyambut Aidilfitri pada tahun ini. Walaupun Aildifitri datang dan pergi, namun hari kemenangan bagi orang Islam menahan lapar dan dahaga di bulan Ramadan ini tetap disambut dengan pelbagai cara di seluruh dunia.
SELAMAT HARI RAYA AILDILTRI!
0 comments:
Post a Comment