Baru-baru ini, saya pulang ke kampung mentua di Melaka. Bertolak ke sana pada hari Sabtu yang lalu, 2 hari sebelum Hari Kebangsaan ke-52. Biarpun jarak hanya tinggal dua hari sebelum pemimpin 1Malaysia melaungkan slogan keramat: Merdeka, Merdeka, Merdeka!, namun suasana menyambut hari yang bersejarah itu langsung tidak kelihatan. Tiada kereta yang mengibarkan Jalur Gemilang, manakala kedai atau bangunan yang mengibarkan Jalur Gemilang boleh dikira dengan jari.
Oleh itu, apabila pihak kementerian yang diketuai Datuk Rais Yatim dan JKKR menyerahkan Jalur Gemilang kepada pekedai dan pengguna jalan raya, maka sudah jelas betapa "malas"nya rakyat di negara ini mengibarkan Jalur Gemilang. Daripada gambaran itu, kita sudah dapat meneka tahap patriotisme dalam kalangan rakyat di negara ini. Ada orang kata, penonjolan elemen patrotisme itu tidak penting, yang penting semangat cinta akan negara tersemat kukuh di dalam hati. Saya kata: kalau penonjolan semangat tersebut pada perbuatan pun tidak menunjukkan kita sayang akan negara, adakah niat di dalam hati itu sekuat semangat pejuang negara yang menentang Belanda, Portugis, Inggeris, Jepun, dan Komunis suatu ketika dahulu?
Bagi segelintir anak muda, Hari Merdeka setiap tahun ialah peluang untuk melakukan maksiat dan aktiviti yang mendatangkan keseronokan kepada mereka. Pada malam Hari Merdeka, anak-anak gadis sama ada yang masih perawan atau tidak akan di"merdeka"kan oleh ibu bapa masing-masing untuk di"korban"kan oleh anak-anak bangsa yang memuja budaya hedonisme. Itu bukan tohmahan, itulah realiti. Tanyalah tukang bersih di sekitar bandar-bandar besar di negara ini, berapa banyakkah kondom yang mereka kutip atau buang? Selesai meratah mangsa, anak-anak muda menggunakan malam ini istimewa untuk merempit dan menunjukkan kelakuan mereka kepada orang ramai. Ada juga yang berpeleseran hingga ke pagi meneguk air syaitan atau khayal dengan dadah sintetik hingga ke pagi. Tidak kurang juga hanyut dengan irama disko hingga matahari terbit di ufuk timur.
Namun, tidak dinafikan bahawa ada juga anak muda yang benar-benar mencari erti kemerdekaan sebenar. Mereka tercari-cari peluang untuk berbakti kepada negara. Namun, berapa keratkah anak muda yang berfikiran begitu? Berapa keratkah anak muda yang benar-benar sayang akan tanah air ini?
SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN KE-52, walaupun jauh di sudut hati kadang kala timbul persoalan MERDEKAKAH KITA?
0 comments:
Post a Comment