Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Wednesday, December 30, 2009

Pengaruh METALLICA




Pagi tadi saya mendengar ulasan akhbar dalam rancangan Malaysia Hari Ini. Selepas menyorot beberapa tajuk utama akhbar, pengacara rancangan itu memerihalkan tentang sebuah acara yang berlangsung di Johor. Saya tidak dengar jelas butiran acara yang diperihalkan. Yang sempat saya "tangkap" ialah dua perkataan, iaitu "monsoon" dan "mayhem" dan lebih menarik pengaruh Metallica pada poster acara tersebut. Sampai di pejabat, saya terus meng"google" untuk mencari poster tadi. Hasilnya dapat anda lihat di atas.









Tuesday, December 22, 2009

Genap 5 Tahun DANIAL ISKANDAR

Danial (baju merah)

21 Disember yang lalu maka genaplah usia Qhairul Danial Iskandar, 5 tahun. Mudahan-mudahan Allah SWT menjadikannya anak yang soleh dan manusia yang mencintai ilmu pengetahuan bukan sahaja untuk dirinya tetapi menyebarkannya untuk kebaikan manusia sejagat.


Gambar-gambar lain:

















Thursday, December 17, 2009

Salam MAAL HIJRAH 1431



SUDAHKAH ANDA BERHIJRAH?
DARIPADA JAHAT KEPADA BAIK,
DARIPADA MUNGKAR KEPADA MAARUF,
DARIPADA JAHIL KEPADA BERILMU,
DARIPADA SEKULAR KEPADA ISLAM.
JIKA BELUM...
MASIH BELUM TERLAMBAT UNTUK BERBUAT DEMIKIAN.
SELAMAT BERHIJRAH!

Tuesday, December 15, 2009

KENDURI KAHWIN, PULUT DURIAN, CENDOL KK, & ULU KENAS



(Pulut Durian)

Kami sekeluarga pulang ke Suak Petai, Manong pada pagi Jumaat 11/12 yang lalu sempena majlis perkahwinan adik saya Haslinda Hanom dengan pasangannya Jeffri Khairol pada 12/12 dan 13/12 (telah menikah lebih dahulu pada bulan Ramadan yang lalu). Pada hari raya ketiga dan keempat Aidilfitri yang lalu, adik saya yang ketiga, Mohd Helmie telah melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya, Zanna. Maknanya, tahun ini dua orang adik saya melangsungkan perkahwinan, tinggal lagi dua orang adik saya yang belum berkahwin, iaitu Mohd Adam dan Nor'ain yang masing-masing sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dan Universiti Utara Malaysia.

Berbalik kepada cerita kenduri, majlis kenduri kahwin kedua-dua orang adik saya ini menggunakan khidmat penyedia makanan, malah khemah pun turut didirikan oleh syarikat yang menyediakan khidmat khemah sewa. Jadi tidak banyaklah perkara yang perlu kami sekeluarga fikirkan dan tidak banyak jugalah kerja-kerja yang perlu dilakukan berbanding jika majlis perkahwinan itu dijalankan secara gotong-royong seperti lazimnya pada waktu dahulu atau pada waktu saya melangsungkan perkahwinan kira-kira 6tahun yang lalu. Lagipun, agak sukar mengumpulkan sanak-saudara untuk bergotong-royong memasak/menyediakan makanan untuk majlis kenduri-kendara pada masa sekarang. Masing-masing ada kerja dan komitmen yang perlu dibereskan. Walaupun begitu, bagi yang berpeluang untuk mengadakan kenduri secara gotong-royong, buatlah kenduri secara gotong-royong kerana banyak manfaat yang dapat keluarga anda peroleh. Alhamdullilah kedua-dua majlis itu berlangsung dengan meriah dan khabarnya kedua-dua orang adik saya itu bakal bergelar ibu dan bapa sedikit masa lagi. Tahniah!

Selain pulang untuk mengurus dan menghadiri majlis perkahwinan adik, saya sebenarnya teringin sangat makan pulut durian. Jika tidak silap, sudah hampir berbelas tahun saya tidak menjamah makanan yang jarang-jarang ditemukan di luar negeri-negeri di sebelah utara tanah air dan tidak salah jika saya katakan bahawa makanan ini kian "pupus" dalam menu masyarakat pada hari ini. Namun yang mendebarkan saya apabila mak menyatakan bahawa musim durian di kawasan kami sudah berlalu. Nyaris-nyaris saya kempunan untuk menjamahnya kerana gagal menemukan orang/tempat yang menjual buah tersebut. Puas mencari, namun alhamdullilah, pagi Isnin semalam, saya berjaya membeli berbelas biji buah durian kampung pada harga yang agak murah, RM30. Dengan sepinggan penuh pulut, sedikit santan yang dicampur dengan garam, dan sudah tentu beberapa ulas durian, maka terkabullah keinginan saya untuk menjamah pulut durian. Memang sedap dan menyelerakan!


 
(Cendol KK)

Sudah menjadi kebiasaan juga apabila pulang ke Manong, kami sekeluarga akan singgah ke gerai yang menjual cendol dan laksa Kuala Kangsar (KK). Sudah menjadi satu kemestian dan seolah-olah tidak sah jika kami balik ke sana tanpa menjamah kelazatan cendol dan laksa KK. Walaupun masa agak suntuk dan sibuk dengan majlis kenduri, kami masih berkesempatan untuk singgah di gerai yang menjual cendol dan laksa KK. Bagi yang berpeluang ke KK, silalah ke Dataran Sungai Perak atau carilah gerai yang menjual cendol dan laksa. Sebagai tip, bagi saya, cendol dan laksa yang dijual oleh penjual berketurunan Mamak dan Melayu-Mamak lebih sedap berbanding dengan cendol dan laksa di gerai-gerai yang lain. Namun, tidak salah mencuba kerana di sekitar KK terdapat banyak gerai yang menjual makanan yang kini sudah menjadi "signature food" di KK.

Sebelum pulang ke Sungai Buloh, kami sekeluarga sempat singgah di Hutan Lipur Ulu Kenas pada pagi Isnin. Agak banyak juga pengunjung pada hari itu walaupun hari itu, hari bekerja. Mungkin cuti sekolah yang masih berbaki lebih daripada dua minggu ini dimanfaatkan oleh penduduk sekitar untuk meluangkan masa bersama-sama dengan keluarga. Suasana dan persekitaran di hutan lipur ini masih seperti dahulu, sama seperti 20 tahun yang lalu, sewaktu saya mengayuh basikal hampir setiap minggu ke hutan lipur ini bersama-sama dengan kawan sekampung yang lain. Yang berbeza, kini di Ulu Kenas sudah ada calet, gerai makanan, tandas awam, jambatan gantung, dan beberapa kemudahan lain yang disediakan oleh pihak berkaitan. Yang lain, tetap sama seperti dahulu.

Namun, kegembiraan dan keseronokan mandi-manda di situ terbantut apabila seorang lelaki yang mendakwa kakitangan (tanpa uniform rasmi) di situ menegur saya kerana mengambil tiga anak pokok hutan di sekitar hutan lipur itu. Tidak mengapalah jika mahu menegur. Yang kurang manisnya apabila lelaki itu tanpa memberi salam terus bertanyakan di mana saya mengambil pokok-pokok tersebut, walhal dia pun tahu bahawa pokok-pokok itu hanyalah pokok hutan biasa yang tumbuh secara liar di kawasan itu, bukannya pokok yang digazetkan atau pokok yang ditanam oleh agensi yang menjaga kawasan tersebut. Jauh sekali spesis pokok yang diancam kepupusan. Lagipun, tujuan saya mengambil anak pokok itu bukanlah untuk dijual, tetapi sekadar memenuhi hobi mengumpul dan menanam tumbuhan hutan di sekitar rumah. Kata orang itu, saya perlu minta kebenarannya lebih dahulu sebelum mengambil pokok-pokok tersebut. Katanya lagi, hutan libur itu di bawah pengawasannya. Mungkin betullah jika dia berkata demikian, tetapi nadanya yang sedikit angkuh itu membuatkan saya terkilan. Yang bodohnya, apabila tiada satu pun kaunter disediakan untuk orang ramai membuat pertanyaan di situ, tidak ada juga kakitangan yang memakai uniform di sekitar kawasan itu untuk kemudahan orang ramai membuat sebarang pertanyaan.



GENAP 6 TAHUN BERKAHWIN, 12 TAHUN MENGENALI HATI BUDI MASING-MASING


Pada 13 Disember lalu, genaplah enam tahun saya dan isteri, Roslinda Majid bergelar suami isteri. Selepas enam tahun bersama, kami bersyukur kerana dikurniakan tiga orang cahaya mata, iaitu Qhairul Danial Iskandar (5), Qhairul Danish Muqri (3), dan Qhairul Dhani Rayyan (6 bln). 

Tiada apa-apa majlis diadakan untuk menyambut ulang tahun tersebut, cukup sekadar masing-masing mengucapkan "selamat menyambut ulang tahun" dan mengenang kembali saat-saat kami diijabkabulkan sebelum menjadi suami isteri yang sah serta peristiwa-peristiwa kelakar sewaktu bercinta dahulu. Lagipun kebetulan pada tarikh ini kami sedang sibuk mengurus perkahwinan adik. Pada Oktober lalu juga genaplah 12 tahun kami mengenali antara satu dengan lain.

Semoga perkahwinan ini dirahmati Allah SWT dan mudah-mudahan kami bahagia hingga ke anak cucu.
Related Posts with Thumbnails