Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Google+ Followers

Google+ Badge

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Saturday, April 11, 2009

OBSESI 1: MUZIK

Episod Satu
Saya memang obses dengan muzik. Obses yang dimaksudkan bukanlah sebagai pemain alat muzik, tetapi sebagai pendengar. Kisah obsesi terhadap muzik ini bermula dari sekolah rendah lagi. Pada zaman itu, muzik yang sedang meletup sudah tentulah rock kapak, rock glam, dan heavy metal. Kalau di Malaysia, zaman itu zaman kegemilangan kumpulan-kumpulan lama seperti Search, Wings, May, Sofea, SYJ, Lefthanded, Juntion, dan berpuluh-puluh lagi kumpulan termasuklah kumpulan Ustaz Akil Hayy, D’Riyard.

Seingat saya, pada masa itu gejala cetak rompak memang sudah bermaharajalela. Kaset cetak rompak pada waktu itu, berwarna hitam dengan kotak plastik yang boleh dilipat. Bukanlah tujuan saya hendak berbangga kerana membeli barangan cetak rompak, tetapi maklumlah pada masa itu, fulus terhad dan “ciput”. Usah katakan RM1, 50 sen pun payah hendak dapat. Adik-beradik masih kecil pada ketika itu. Dengan pendapatan yang tidak seberapa memang payah mak & abah hendak membesarkan kami enam beradik.

Namun, kepayahan mendapat duit bukanlah penghalang. Harga kaset cetak rompak pada masa itu kalau tidak silap sekitar RM4-RM5. Lokasi tempat untuk membeli kaset-kaset ini pula di pekan sehari Manong pada tiap-tiap hari Jumaat. Yang lucunya, pada masa itu, saya bersama-sama dengan kawan-kawan, Man, Kijun, Adi berbincang terlebih dahulu sebelum membeli kaset yang digemari. Kami tentukan kaset apa yang perlu dibeli oleh setiap orang. Selepas puas mendengar, kami bertukar-tukar kaset sampailah kaset itu rosak. Kualiti rendah, memang cepat rosak terutama selepas dimainkan dalam player kereta. Konsep bertukar-tukar kaset itu bukan saja menjimatkan, malah sesuai dengan keadaan kami pada masa itu, yang sentiasa tidak berduit. Sanggup kumpul duit belanja sekolah demi membeli kaset rock. Ada yang sanggup menolong mak&abah masing melakukan pelbagai kerja sebab hendak dapatkan duit. Kalau tidak disuruh, siap tawarkan diri untuk membuat sesuatu kerja. Oleh sebab obsesi yang melampau, sampai ada kawan saya yang pernah “kantoi” larikan kaset rock dari kedai pun ada. Kenangan ... kenangan.

Selain membeli kaset cetak rompak, satu lagi cara adalah dengan merakamkan kaset-kaset kumpulan yang menjadi pujaan. Yang kelakarnya, habis kaset 60-an dan kaset Mat Jais (Datuk Mohd. Jais) abah saya. Semuanya ditranfomasikan menjadi kaset rock. Hendak beli kaset kosong, tidak mampu, jadi kaset-kaset itulah yang menjadi mangsa. Apabila ditanya, pura-pura tidak tahu. Begitulah rutin hidup saya sampailah tamat sekolah rendah.

Pada zaman itu, memang susah untuk tengok konsert, walaupun pada zaman itu konsert boleh dikatakan ada dipersembahkan pada setiap hujung bulan. Lokasi yang sering menjadi pilihan termasuklah fun fair dan pesta laut. Kalau di Perak, Pesta Laut Lumutlah yang paling popular. Jika pak cik saya, Pak Lang (Maraddin) mempelawa ke Pesta Laut Lumut, maka merasalah saya melepaskan gian menonton konsert secara live. Kalau tidak dipelawa, terpaksalah mendengar kaset dan radio sahaja. Tetapi, Pak Lang aku memang best. Beliau memang rajin mengajak saya ke Pesta Laut Lumut. Seingat saya, kumpulan yang pernah ditonton secara live termasuklah Wings, May, Crossfire, Medicine, dan beberapa lagi kumpulan lain.

Episod 2
Apabila melangkahkan kaki ke sekolah menengah, obsesi itu masih sama. Yang berbeza, saya mula mendengar kumpulan rock dari luar negara. Kalau sebelum itu hanya layan rock Malaysia, mulai sekolah menengah saya sudah pandai layan Metallica (jika tidak silap sekolah rendah saya sudah mula dengar kumpulan ini), Megadeth, Gun N Roses, Def Lepard, Loudness, sampailah rock alternatif seperti Nirvana dan Bush (kumpulan yang dianggotai oleh suami Gwen Stefani, hahahaha) dan macam-macam lagi. Waktu itu, sekitar awal tahun 1990-an. Kumpulan-kumpulan grunge seperti Nirvana dan Bush ini baru hendak bertapak. Aku tidaklah terlalu obses dengan rentak rock alternatif kecuali beberapa kumpulan seperti Nirvana dan RadioHead. Yang lain hanya sekadar memuaskan halwa telinga saja.

Melangkah ke tingkatan dua, saya pindah ke sekolah baru. Dari Sekolah Menengah Sultan Tajul Ariffin, Manong ke Sekolah Menengah Iskandar Shah, Parit. Orang yang beria-ia mahu saya ke sekolah itu ialah mak cik saya, Cikgu Zaharah. Kebetulan pula pada waktu itu, beliau ialah warden asrama perempuan, jadi saya pun ditempatkan di asrama lelaki SMK Iskandar Shah (Meor Tamlikha mesti familiar dengan nama sekolah ini). Di sekolah baru itulah saya mula mendengar bermacam-macam lagu kumpulan dari luar negara. Tidak kiralah rock glam, rock kapak, atau heavy metal. Semua saya layan.

Saya betul-betul mula dengar lagu kumpulan metal underground waktu saya di tingkatan lima. Lagu daripada kumpulan Rotting Ch****, kumpulan black metal dari Greece. Tajuk album Thy Mighty Contract. Memang album ini berhantu. Inilah kumpulan yang menyebabkan saya menjadi terlalu obses terhadap muzik underground sampailah sekarang. Biarpun sudah berbelas tahun, album itu masih saya anggap sebagai antara album black metal terbaik yang pernah saya dengar. Orang yang meminjamkan saya kaset kumpulan hebat itu ialah Kamarul Hasni. Kawan sekampung, kawan ketika di sekolah rendah, sebelum masing-masing berpindah sekolah.


Episod 3

Selepas dapat keputusan SPM, dapat pula melanjutkan pelajaran ke Pusat Matrikulasi UIA. Di sinilah, saya betul-betul terdedah dan seterusnya berpeluang mendengar bermacam-macam kumpulan metal dari serata dunia. Daripada genre thrash metal seperti Kreator, Slayer, Sodom, Destruction kepada genre black metal seperti Darkthrone, Satyricon, Emperor kepada genre gothic metal seperti Anathema, Theatre of Tragedy, The Gathering, kepada genre death metal seperti Death, Morbid Angel, Sepultura dan beralih kepada bermacam-macam subgenre seperti speed metal, power metal, brutal death, black death, progressive, symphony dan berpuluh-puluh lagi subgenre termasuklah salah satu kumpulan idola aku Katatonia (daripada berkonsep black death/doom sampai sekarang ini sudah beralih kepada gothic/progressive hard rock). Kumpulan yang mengalunkan melodi keras-merdu yang memilukan, menyedihkan, dan menusuk jiwa.

Antara kawan yang bertanggungjawab memperkenalkan dan meminjamkan kaset kepada saya sudah tentulah Zoy aka Mohd Zulkifli Ramli aka Death Philosopher of Cryptic Malediction (saya pinjam dan rakam kaset-kaset yang dia ada) dan Asri Al-Baker aka Chip (saya siap beli kaset dubbing daripada dia...hahaha kenangan). Selepas itu mulalah era mengumpul kaset dan CD metal baik dari dalam mahupun dari luar negara. Yang menjadi tukang order pada masa itu ialah Zoy dan Chip. Kalau tidak order daripada label luar negara, order dari kedai kaset di Kompleks Pertama (Kedai Tommy) atau di Kompleks Campbell (Kedai Auntie). Di UIAlah saya mula berkawan dengan Hanif aka Siroto, Ejat, Lan Bohjan, Meor, Bawang, Czar, Ah long, Yon, Shah, Bestow, Parjoe, dan lain-lain (banyak sangat hendak disenaraikan, jangan marahlah kalau tidak sebut nama). Sewaktu di Matrik, aku juga mula ikut kawan-kawan pergi jamming dan layan kepala tengok gig di serata KL hingga ke Negeri Sembilan. Rambut pada masa itu pun sudah mula panjang. Bermulalah era kejar-mengejar dengan Hamzah aka pak guard perasan detektif polis.

Masuk kampus utama, saya mula kumpul CD. Memang banyak duit dihabiskan untuk membeli CD. Harga CD import pada masa itu sekitar RM60 – RM120. Punyalah obses membeli CD, sampai duit pinjaman JPA pun habis dibelanjakan untuk membeli CD. Akibatnya, terpaksalah selalu makan mi segera. Hujung minggu, saya, Zoy, Anip, Chip, dan kawan-kawan yang lain melepak di Restoran Ramzan (area Bangkok Bank). Pada masa itulah saya mula melepak dengan Aie&Faisal (Aradia), Mat, Zarin (Imperial), Syam aka Lord of Suffer (banyak saya kena kelentong dengan mamat ni...hahaha), Pojie (RavenLord, Cryptic Malediction dan etc) dan geng yang lain. Selama empat tahun di kampus utama, selain belajar, muziklah yang menjadi rutin harian. Bangun tidur dengar lagu, nak tidur pun dengar lagu.

Episod 4
Sekarang, biarpun anak nak masuk tiga, minat dan obsesi saya terhadap muzik metal masih sama. Rambut pun sudah mencecah dada (salah satu kelebihan bekerja di tempat sekarang). Bezanya, sekarang tidaklah berhabis duit membeli CD atau kaset seperti zaman belajar di UIA dahulu. Tidak lagi menghabiskan masa pada hujung minggu menyaksikan gig kumpulan muzik seperti dahulu (kadang-kadang bolehlah). Tidak lagi melepak di Restoran Ramzan sehingga pukul 11 malam seperti 10 tahun yang lalu. Sekarang, saya lebih banyak memuat turun lagu dari internet. Kaset dan CD yang ada masih lagi dijaga dengan baik. Selain ilmu, itulah harta yang saya warisi selama enam tahun di UIA. Sebenarnya, kalau hendak diceritakan secara terperinci memang terlalu panjang...boleh dijadikan sebuah buku...cukuplah sekadar bingkisan yang sekurang-kurangnya dapat mengimbau kenangan pada masa lalu. Dapatlah mengubat rindu saya terhadap kehidupan ketika masih bergelar pelajar di UIA dahulu. Rindu betul...


2 comments:

Anak Pendang Sekeluarga said...

Salam...tuan ...visit blog saya..tukar2 pandangan ke....

Syamsulfaiz said...

Best zaman tu, ada masa nak buat semua benda..cuma duit je takda. Sekarang duit dah OK tapi masa plak takde.
Koleksi CD tu kena simpan bro..rare.

Aku sekarang start balik beli CD kumpulan metal etc. Dulu dubbing je pasal duit takde.

Related Posts with Thumbnails