Ibu tersayang, Hamidah Mohd Nordin seperti yang saya uar-uarkan di sini telah kembali Rahmatullah pada pukul 11.05 malam 29 Jun yang lalu. Beliau meninggal dunia di Wad 6B Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh selepas mengalami keadaan yang tidak stabil sejak selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di saluran hempedunya di Hospital Selayang pada 6 Mac (tarikh hari lahirnya) yang lalu.
Pemergian arwah sememangnya tidak dijangka walaupun kami sekeluarga mengetahui keadaannya yang lemah dan separuh sedar sejak beberapa hari sebelum itu. Mak walaupun berada dalam keadaan begitu, tetapi menurut doktor keadaannya agak stabil. Ketumbuhan yang dialaminya juga disahkan oleh doktor telah berjaya dibuang dan menurut doktor arwah diumpamakan memperoleh "nyawa kedua" pada 25 Mei lalu ketika menjalani pemeriksaan di Hospital Selayang.
Biarpun begitu, selepas pulang ke kampung keadaan mak semakin tidak menentu. Sebelum dimasukkan ke hopsital baru-baru ini, mak juga dimasukkan ke hospital pada minggu kedua bulan Jun yang lalu. Selepas dimasukkan ke hospital beberapa hari, mak pulang ke rumah dan doktor mengesahkan mak tidak mengalami apa-apa masalah kesihatan yang serius. Menurut doktor, ibu mengalami amenia (kurang makan) dan badannya kurang air. Mak sememangnya tidak berselera makan sejak beberapa tahun lalu.
Selepas dimasukkan ke hospital pada hari Khamis (24/6), mak akhirnya kembali ke Rahmatullah pada hari Selasa (29/6) pada usia 54 tahun. Rupa-rupanya perasaan tidak sedap hati saya sepanjang hari itu terjawab dengan panggilan telefon yang memaklumkan berita sedih itu. Saya terkilan kerana tidak berada di sisinya sewaktu beliau menghembuskan nafas terakhir. Beliau meninggalkan suami, enam orang anak, serta enam orang cucu. Biarpun masih terkejut dan bersedih atas pemergiannya, namun kami pasrah dan menerima ketentuan Allah SWT.
Benarlah kata-kata mak sebelum beliau menjalani pembedahan pada Mac lalu, "Mak mimpi banyak sangat orang datang ke rumah kita." Lebih kurang 300 orang menziarahi jenazahnya. Ada yang datang dari Pahang, dari Kuala Lumpur, dan sudah tentu saudara mara yang bermaustautin di serata tempat di Perak. Selepas dimandikan sekitar pukul 9.00 pagi, jenazah mak dibawa ke tanah Perkuburan Ulu Piol sekitar pukul 11.15 pagi dan upacara pengembumiannya selesai sekitar pukul 12.00 tengah hari.
Kami sekeluarga mengadakan kenduri tahlil untuk arwah dan Alhamdullilah lebih kurang 60 orang menghadiri majlis itu setiap malam. Makanan yang dihidangkan kepada tetamu ialah masakan kegemaran arwah sebelum beliau meninggal dunia. Alhamdullilah, masjid Kampung Ulu Piol juga mengadakan majlis tahlil untuk mak. Kesudian imam dan jemaah masjid berbuat demikian sangat-sangat kami hargai.
Hari ini ialah hari keenam mak "meninggalkan" kami sekeluarga, hari kelima mak dikebumikan. Rindu benar pada arwah. Boleh dikatakan hampir setiap hari kami berhubung melalui telefon, tetapi kini semuanya menjadi kenangan. Kata orang, "Bersabarlah, apa-apa yang berlaku sudah ditentukan oleh Allah SWT." Namun bagi diri saya dan arwah yang melalui detik itu, hanya Allah sahaja yang mengetahui perasaan dan situasi yang dilalui. Mudah-mudahan Allah menempatkan arwah di sisi orang yang beriman dan sudah tentu kami sentiasa berdoa untuk kesejahteraan jasad dan rohnya.
"Semoga sejahtera di "sana", Mak!"
Al Fatihah...
0 comments:
Post a Comment