Dreams are renewable. No matter what our age or condition.

-Qimminas-

Bagasi Kiriman Popular

Terjemah

Thursday, April 16, 2009

OBSESI 2: FLORA BELANTARA

Terdapat unsur saspens pada tajuk kiriman kali ini. Walau bagaimanapun, itulah salah satu obsesi saya pada ketika ini. Flora belantara yang dimaksudkan ialah pokok hijau yang ditanam untuk hiasan sama ada di dalam rumah atau di luar rumah. Pokok hijau ini tidak termasuk dalam kategori pokok berbunga seperti bunga raya, bunga mawar, bunga kertas, dan segala macam pokok bunga yang lain. Secara ringkas, saya suka pokok hutan yang kebanyakannya tidak berbunga. Lagi jarang-jarang ditemukan, lagi unik, dan lagi seronok untuk ditanam.

Saya memang suka akan kehijauan. Dari dulu lagi. Jika diimbau zaman sekolah rendah dulu, kami (bersama-sama dengan kawan-kawan) sanggup mengayuh basikal sejauh 17 kilometer untuk ke Lata Ulu Kenas. Mandi-manda sambil menikmati keindahan alam (walaupun umur baru setahun jagung, tapi sudah pandai erti menikmati keindahan alam). Waktu sekolah menengah, kami pergi naik motor beramai-ramai. Ada yang bawa sauk (jaring untuk menangkap ikan), ada yang bawa pancing, dan saya waktu lebih gemar menggunakan tangan sendiri. Jangan terkejut, menggunakan tangan kosong adakalanya lebih banyak mendapat hasil daripada menggunakan alat bantuan menangkap ikan.

Yang syoknya, dari Manong ke Ulu Kenas (17 kilometer, lagi 8 kilometer sebelum sampai ke Kuala Kangsar) ada kira-kira empat kawasan air terjun. Lata Ulu Piol, Lata Guar, Lata Pecah Batu, dan yang paling popular Lata Ulu Kenas. Bayangkan, betapa meriah dan indahnya apabila terkenang akan kisah dulu-dulu. Boleh dikatakan tiap-tiap hujung minggu, kami mandi-manda sama ada di anak sungai atau bekas lombong (di belakang rumah saya) atau di kawasan air terjun yang dinyatakan tadi. Memang syurga apabila berada di kampung. Kampung Suak Petai (nama memang kelakar, tetapi suasana memang macam syurga, kedudukan di pinggir gunung/bukit) Sehingga hari ini, saya jarang-jarang terlepas untuk mandi manda di salah satu lata tersebut apabila berpeluang balik ke kampung.

Berbalik kepada cerita obsesi tadi, sejak berpindah ke rumah sendiri di Desa Coalfields hampir setahun yang lalu, minat saya terhadap pokok-pokok hijau semakin menjadi-jadi. Minat yang semakin tidak terkawal itu diterjemahkan pula pada perlakuan (kalau dulu teori sekarang sudah praktikal). Ada yang dibeli dari nurseri di sekitar Sungai Buloh & Kota Damansara, ada yang diimport dari kampung. Pokok yang diambil dari kampung sama ada diambil di sekeliling rumah, di semak/hutan berhampiran rumah, atau dibeli di nurseri di sekitar kawasan Manong. Yang syoknya, harga pokok di nurseri di kawasan kampung dengan kawasan Sungai Buloh memang bagai langit dengan bumi. Perbezaan harga sampai mencecah ratusan dan mungkin ribuan ringgit. Jadi kalau ingin membeli pokok eksotik, belilah di kawasan kampung. Cerita tentang harga, saya pergi ke Pesta Flora tahun 2008. Ada sebuah gerai menjual pokok-pokok hutan. Tanduk rusa ada, pokok langsuyar pun ada. Memang kena dengan cita rasa saya. Tapi apabila tanya tentang harga, rasa nak luruh seluruh rambut di kepala aku. Mahal melampau, misalnya tanduk rusa saiz kecil yang biasanya berharga RM45 di sekitar Sungai Buloh dijual serendah RM95 di gerai tersebut.

Gila-gila pun kawasan rumah agak terhad. Jadi bilangan pokok pun terhad. Yang membuatkan saya lebih bersemangat apabila kegilaan ini turut dikongsi bersama dengan jiran sebelah rumah, Ramli. Penuh kawasan rumah kami dengan pelbagai jenis pokok hijau. Ada yang ditanam di dalam pasu, ada yang ditanam di dalam sabut, ada yang digantung, dan ada yang dipakukan pada dinding. Tidak cukup di luar rumah, saya juga meletakkan beberapa jenis pokok yang sesuai di dalam rumah: di dalam tandas dan beberapa bahagian dalam rumah yang lain. Antara spesis pokok hijau yang ditanam termasuklah tanduk rusa (parasit dan atas tanah), langsuyar, keladi (pelbagai jenis), periuk kera, pokok menjalar (pelbagai spesis dan jenis, saya sendiri pun tidak tahu namanya), pokok parasit (pelbagai jenis), helicornia (pelbagai spesis), money plant, bemban, paku-pakis, palma, bakawali, orkid liar, harum sundal malam, dan bermacam-macam lagilah.

Kini sudah hampir setahun, rumah pun hampir penuh dengan pokok. Sampai tahap, sudah tidak ada tempat lagi untuk letak atau gantung pasu. Terkini, saya merancang membuat kolam kecil untuk ikan hiasan dan memasang pergola di atasnya. Bajet masih belum ada. Hendak buat sendiri, saya bukan golongan pandai tukang. Lagipun bakat tidak ada untuk bertukang (alasan yang biasa digunakan). Kalau buat sendiri kosnya jauh lebih murah. Jika mengupah orang lain, memang berdentum harganya nanti. Mahu tidak mahu, perlu juga mengupah orang. Mungkin hujung tahun ini atau mungkin tahun hadapan. Walaupun tidak sehebat, segah, semewah, secanggih, dan sebesar kolam orang lain, yang penting kolam itu dapat memberikan kepuasan kepada diri sendiri. Kalau mahu ikut rentak orang, sampai kiamat pun kita tidak akan berpuas hati. Lagipun ukurlah baju di badan sendiri.

3 comments:

Dewangga Sakti said...

Cantik

shaz said...

mane nak beli pokok periuk kera yg murah?

Unknown said...

Pokok sisik naga keluarga tali kasut tu tuan beli di mana?

If free boleh email lokasinya di azhanlink@yahoo.com

lwt blog saya azhan@wordpress.com

tq

Related Posts with Thumbnails