Sebenarnya, sudah lama teringin untuk membikin blog peribadi. Peribadi kerana ceritanya tentang perihal diri dan keluarga serta kawan-kawan, baik pada zaman kanak-kanak, sekolah, menara gading, mahupun di tempat kerja. Mungkin diselitkan gambar-gambar keluarga dan kawan-kawan.
Mengapa “Adakala Kesedihan Itu Indah”? Sedih juga bersifat subjektif. Segelintir orang menganggap kesedihan itu sebagai suatu yang indah. Indah kerana kesedihan itu memberikan dia semangat untuk mencapai kejayaan atau mungkin mendapat kekuatan untuk meneruskan sisa-sisa hidup. Bagi kebanyakan orang pula, kesedihan itu merupakan sesuatu yang amat pedih dan perit untuk dilalui. Oleh itu, kata “Adakala” ditambah untuk menggambarkan pro dan kontra yang dapat diperoleh daripada perasaan sedih itu.
Semangat tengah membara, tetapi tersekat dek kerana sibuk dengan kerja-kerja di pejabat yang tidak pernah “siap-siap” demi mengayakan lagi tiga orang tauke, tuan empunya syarikat. Memeras keringat untuk sedikit laba. Sedikit gambaran tentang betapa “bergesek” dan bosannya saya bekerja di tempat sekarang. Namun, bosan dan bergesek itu beransur-ansur hilang apabila memikirkan itulah rezeki yang Tuhan kurniakan kepada aku buat ketika ini. Lagipun saya perlu berusaha lebih keras untuk mendapat rezeki lebih.
Syukur kepada Tuhan dua orang anak saya kian membesar, Qhairul Danial Iskandar (5 tahun) dan Qhairul Danish Muqri (3 tahun). Insya-Allah jika tiada aral pada akhir bulan Jun atau awal bulan Julai saya bakal menimang cahaya mata ketiga. Kepingin betul hendak anak perempuan. Mudah-mudahan hajat termakbul. Namun, jika ditakdirkan mendapat “hero”, anugerah itu juga rezeki yang amat bernilai.
Sedar tidak sedar, sudah hampir setahun saya menetap di Desa Coalfields, Sungai Buloh. Memang tenang dan damai tinggal di sini. Suasana kampung, udara segar (kadang kala tercemar dengan bau tahi ayam-cerita kemudian), persekitaran yang tidak sibuk dengan kenderaan, dan rumah yang pada hemat aku amat berbaloi untuk dibeli dan diduduki. Rumah teres dua tingkat (lot tepi) berkeluasan 1810 kps dengan 4 bilik tidur dan 4 bilik air. Memang berbaloi.
Bersambung...
1 comments:
Salam kimmy
woit apsal tajuk blog sedih je? Ini mesti pasal terlayan lagu Doom lebih sangat nih. Pegila dengar hip hop, ceria sikit wahaha..
Post a Comment